fb fb fb fb fb

3,000 Bas ekspres diperiksa, 10 notis saman dikeluarkan JPJ Perlis

Foto JPJ Perlis

KANGAR, 25 Disember- Sebanyak 3,000 buah bas ekspres diperiksa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Perlis menerusi Ops Patuh bagi tempoh Januari 2023 hingga kini.

Pemeriksaan dilakukan oleh Pasukan Operasi Khas JPJ Perlis di Terminal Bas Bukit Lagi.

Pengarah JPJ Perlis, Fatimah Mohamed Ali Piah dalam kenyataan memaklumkan, sebanyak 10 notis saman dikeluarkan kepada pemilik dan pemandu bas ekspres kerana kesalahan memandu melebihi empat jam secara berterusan atau kesalahan berkaitan tiada pemandu kedua bagi perkhidmatan bas ekspres mengikut Kaedah 10 (B), Kaedah-Kaedah Perkhidmatan Awam.

Beliau berkata pemeriksaan yang dilakukan ke atas bas ekspres ini melibatkan aspek keselamatan dan teknikal bagi memastikan para pengusaha dan pemandu bas ekspres mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya.

"Selain daripada pemeriksaan aspek teknikal bas, turut diperiksa dokumentasi pemandu bas ekspres seperti rekod buku log, permit dan laluan perjalanan serta pelesenan pemandu", katanya.

Bagi notis saman yang dikeluarkan kepada pemilik dan pemandu bas ekspres, jika disabitkan dengan kesalahan boleh didenda sehingga RM2,000 atau boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan.

ROSLINA BINTI DIN