fb fb fb fb fb

28 jenis permainan tradisional diisytihar Warisan Kebangsaan

 

KUALA LUMPUR, 16 September- Sebanyak 28 jenis permainan tradisional masyarakat Malaysia diisytihar sebagai Warisan Kebangsaan, bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645) melalui Majlis Perisytiharan Warisan kebangsaan.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Seri Tiong King Sing memaklumkan perkara itu dalam ucapan perasmian Festival Permainan Malaysia@ Kuala Lumpur (FPM) kali ke-8 yang berlangsung di Dataran Merdeka.
Tambahnya, sehingga kini, FPM merekodkan pulangan pendapatan melebihi RM1.5 juta dengan lebih 200,000 pengunjung, sejak diperkenal pada tahun 2015.

Teks ucapan beliau disampaikan Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) MOTAC, Mohd Yusri Mohd Yusoff.

Datuk Seri Tiong turut menyarankan Jabatan Warisan Negara (JWN) dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), supaya menjalin kerjasama yang lebih strategik dengan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Permainan Tradisional bagi mencungkil bakat dalam permainan seumpamanya.

Ini termasuk mengintegrasi serta mendigitalkan semua permainan tradisonal khususnya yang hampir pupus.

Sementara itu FPM kali ini, disertai lebih 1,500 peserta permainan tradisional pelbagai kaum dan etnik di negara ini.

Antaranya permaian yang diketengahkan, congkak, galah panjang, dam aji, kabaddi termasuk tarian buluh atau dikenali sebagai tarian Magunatip Sabah serta aktiviti menyumpit yang sinonim dengan etnik di Sarawak.

FPM 2023 berlangsung selama tiga hari bermula semalam sehingga esok, 17 September 2023.


(Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) MOTAC, Mohd Yusri Mohd Yusoff)

Media Baharu