
ARAU, 31 Mac – Seramai 25 asnaf di Perlis terpilih sebagai perintis dalam menyesuaikan diri dengan ekonomi moden melalui pemasaran digital, penjenamaan produk serta penggunaan teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI).
- Pengerusi FCoEE: peserta mempunyai produk dan kemahiran asas baik tetapi memerlukan bimbingan strategik untuk berkembang sebagai usahawan berjaya.
- Program menyediakan modul latihan tersusun: pemasaran digital, penjenamaan, strategi perniagaan dan pendedahan kepada teknologi termasuk kecerdasan buatan untuk daya saing praktikal.
- FCoEE menandatangani MoU dengan Dosz Coffee untuk melatih asnaf dalam bidang perniagaan.
- Program Keusahawanan Digital FCoEE bersama UMK menumpu golongan asnaf; peserta turut dari PPITM, ATAM dan komuniti peniaga Kampung Warna-Warni.
Menurut Pengerusi Eksekutif Pusat Kecemerlangan Pendidikan Faizuddin (FCoEE), Profesor Emeritus Datuk Dr Kamaruddin Hussin, kesemua peserta mempunyai produk dan kemahiran asas yang baik, namun memerlukan bimbingan strategik untuk berkembang dan muncul sebagai usahawan berjaya.
“Melalui program ini, peserta akan mengikuti modul latihan dan bengkel secara tersusun merangkumi pemasaran digital, penjenamaan dan strategi perniagaan, serta pendedahan kepada teknologi termasuk kecerdasan buatan bagi meningkatkan daya saing secara praktikal dan berorientasikan hasil,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Keusahawanan Digital Asnaf Dan Seri Aidilfitri FCoEE di Dewan Majlis Perbandaran Kangar,di sini.
Pada majlis ini, turut berlangsung sesi menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara FCoEE dan Dosz Coffee bagi melatih asnaf dalam bidang perniagaan.
Majlis diserikan dengan keberangkatan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, yang turut diiringi Warisnya Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.
Pusat Kecemerlangan Pendidikan Faizuddin (FCoEE) dengan kerjasama Universiti Malaysia Kelantan (UMK) mewujudkan Program Keusahawanan Digital yang memberikan tumpuan kepada golongan asnaf.
Kesemua peserta menyertai program Pemangkin Pembangunan Insan Terpilih Madani (PPITM) bawah FCoEE, usahawan Akademi Transformasi Asnaf MAIPs (ATAM) serta komuniti peniaga kecil Kampung Warna-Warni Kuala Perlis.