fb fb fb fb fb

23 kes ajaran sesat dikesan di Selangor sejak 2019

Dr Mohammad Fahmi Ngah memaklumkan 12 kes disabitkan kesalahan, manakala baki 11 lagi sedang dibicara di Mahkamah Syariah - Foto FB Dr Fahmi Ngah

SHAH ALAM, 8 Julai - Sebanyak 23 kes berhubung ajaran sesat dikesan dan diambil tindakan penguatkuasaan di negeri ini sejak 2019 hingga 2024, persidangan Dewan Negeri Selangor diberitahu hari ini.

Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi negeri Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata daripada jumlah itu, sebanyak 12 kes disabitkan kesalahan, manakala baki 11 lagi sedang melalui proses perbicaraan di Mahkamah Syariah.

"Antara ajaran sesat yang telah diambil tindakan ialah Syiah, ‘Millah Abraham’, ‘Hizbut Tahrir’, Rasul Melayu dan Tuhan Harun," katanya.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Chua Wei Keat (PH-Rawang) yang ingin tahu kes yang pernah berlaku di Selangor serta tindakan yang diambil selain tindakan kerajaan negeri untuk mengawal penyebaran ajaran sesat.

0807 SGR SIDANG DUN AJARAN SESAT 2Maklumat berkaitan ajaran sesat turut disampaikan dalam khutbah Jumaat - Foto FB Dr Fahmi Ngah

Mohammad Fahmi berkata antara pendekatan diambil kerajaan negeri bagi mengawal penyebaran ajaran sesat di Selangor adalah menerusi pendekatan intervensi melalui penjelasan, pendidikan, pemantauan dan penguatkuasaan kepada ajaran sesat yang dikenal pasti tersebar.

Beliau berkata maklumat berkaitan hal itu juga disebarkan melalui penerbitan bahan bercetak, serta media elektronik selain sesi khutbah Jumaat turut digunakan bagi memberi kesedaran berkait dengan ajaran sesat.

"Selain itu, kerajaan negeri menguatkuasakan undang-undang dengan kerjasama pelbagai agensi berkepentingan di samping melaksanakan proses pemulihan dan bimbingan kepada mereka yang terlibat," katanya. - BERNAMA

MUHAMMAD APENDY BIN ISSAHAK