IPOH, 22 Ogos – Jabatan Kesihatan Negeri Perak telah mengeluarkan sebanyak 7,968 notis kesalahan di bawah Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) dengan nilai kompaun berjumlah RM479,900 bagi tempoh 1 Oktober tahun lalu hingga semalam.
Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Negeri Perak, A. Sivanesan, berkata dalam tempoh tersebut, sebanyak 1,443 operasi penguatkuasaan telah dijalankan melibatkan pemeriksaan ke atas 21,556 premis di seluruh negeri.
“Diharapkan melalui operasi bersepadu ini, kita dapat mengawal penjualan rokok dan vape dengan lebih ketat, termasuk aktiviti pengiklanan dan promosi.
Usaha ini juga diharap dapat meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai kesalahan merokok dan menghisap vape di kawasan larangan,” katanya selepas merasmikan Operasi Selamat Paru-Paru (Op PaPa) Peringkat Negeri Perak, di Ipoh.
Op PaPa berlangsung selama dua hari bermula hari ini, melibatkan 114 pegawai daripada pelbagai pihak termasuk polis, pihak berkuasa tempatan (PBT), jabatan serta agensi kerajaan.
Sepanjang operasi, sebanyak 212 premis telah diperiksa dengan 41 notis kesalahan dikeluarkan, melibatkan nilai kompaun sebanyak RM9,500. Selain itu, 200 tindakan pendidikan kesihatan turut diberikan kepada pemilik premis dan orang awam.