fb fb fb fb fb

Cadangan pertimbangan khas bagi skim pembantu tadbir di bawah SSPA

Tiga perkara diusulkan sebagai penambaikan termasuklah gred 1 ditingkatkan kepada gred 5

KUANTAN, 22 Ogos – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) berharap kerajaan dapat mempertimbangkan penambahbaikan khas bagi skim Pembantu Tadbir di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).

Permintaan itu dibuat susulan skim berkenaan dilihat tidak mendapat kelebihan di bawah pelaksanaan SSPA berbanding skim-skim lain yang telah melalui perubahan ke arah yang lebih baik.

Presiden CUEPACS, Datuk Adnan Mat, berkata penambahbaikan tersebut penting bagi memberi kelegaan kepada lebih 350,000 penjawat awam yang berada di bawah skim berkenaan.

Tiga perkara utama telah diusulkan sebagai cadangan penambahbaikan, termasuk menaikkan Gred 1 kepada Gred 5.

“Sekiranya perkara itu tidak dapat dilaksanakan oleh kerajaan, penjawat awam yang memiliki kelayakan lebih tinggi dalam skim tersebut seharusnya digerakkan lebih awal kepada Gred 5,” katanya.

Cadangan lain adalah untuk mengekalkan skim Pembantu Tadbir bermula dari Gred 1, namun diberikan kenaikan pangkat kepada Gred 5 setelah genap 15 tahun tempoh perkhidmatan.

“Melalui cadangan ini, penjawat awam di bawah skim terbabit boleh dinaikkan pangkat dan waran perkhidmatan boleh kembali kepada Gred 1 selepas bersara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan taklimat dalam sesi Taklimat Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) Masa Depan dan Skim Pembantu Tadbir serta Promosi Keahlian Gabungan Kesatuan dan Bersekutu Kerajaan (AUEGCAS) Pahang Tahun 2025 yang diadakan di Kuantan.

HASRON BIN HASSAN