fb fb fb fb fb

203 pesara polis Sarawak terima anugerah Pingat Jasa Pahlawan Negara

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Dato’ Mancha Ata menyematkan Pingat Jasa Pahlawan Negara (PJPN) kepada mantan Pegawai Pemerintah PGA Batalion 12 Miri, Asisten Komisioner Polis (bersara) Fauzi Saadi Diol

SIBU, 16 Oktober - Seramai 203 pesara dan bekas polis dari Kontinjen Sarawak dianugerahkan Pingat Jasa Pahlawan Negara (PJPN) dalam majlis penganugerahan siri ke-5 tahun 2024 yang berlangsung di Dewan Canselor Tun Abdul Taib Mahmud, Universiti Teknologi Sarawak (UTS) di sini, hari ini.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Dato’ Mancha Ata, daripada jumlah itu, 121 pesara hadir menerima sendiri pingat mereka, manakala 82 lagi diwakili oleh waris.

"Penganugerahan kali ini diadakan di Sibu kerana majoriti penerima menetap di zon tengah, memudahkan mereka hadir majlis ini," katanya.

Mantan Pegawai Pemerintah Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 12 Miri, Asisten Komisioner Polis (bersara) Fauzi Saadi Diol, 73, mendahului senarai penerima pingat.

Mancha berkata, seramai 1,218 pesara dan bekas polis kontinjen Sarawak masih belum dianugerahkan PJPN, dengan sebahagian menolak untuk hadir atas faktor kesihatan dan lain-lain sebab.

"Penganugerahan ini untuk mereka akan dilakukan tanpa istiadat di peringkat daerah atau di rumah pesara," tambahnya.

Sejak tahun 2014, Kontinjen Sarawak telah mengadakan 17 majlis istiadat penganugerahan PJPN dan lima kali tanpa istiadat, melibatkan 2,517 penerima secara keseluruhan.

Majlis di Sibu merupakan yang terakhir dilakukan secara istiadat, dengan pengurniaan pingat seterusnya akan disampaikan oleh Ketua Polis Daerah masing-masing.

Pingat Jasa Pahlawan Negara dianugerahkan kepada petugas-petugas PDRM bagi menghargai jasa kepahlawanan, pengorbanan dan kebaktian mereka kepada negara semasa era darurat.

Antaranya melibatkan perkhidmatan Persekutuan Tanah Melayu bagi tempoh 12 Julai 1948 hingga 21 Julai 1960 dan era insurgensi komunis pada 17 Jun 1968 hingga 2 Disember 1989 di Malaysia.

Ini termasuk di Sabah dan Sarawak pada 1962 hingga 17 Oktober 1990 yang dikenali sebagai perkhidmatan semasa darurat.

GRACE AISYAH KEDAYAN