fb fb fb fb fb

200 orang tidak berdosa dibunuh, Malaysia kutuk serangan berterusan Israel di Gaza

FOTO AFP

KUALA LUMPUR, 27 Mei- Malaysia mengecam serangan berterusan dan tidak berperkemanusiaan oleh Israel di Gaza.

Menerusi satu kenyataan, Wisma Putra memaklumkan, Israel telah menyerang beberapa kem perlindungan Palestin di Tal as-Sultan, Jabalia, Nuseirat dan Bandar Gaza dalam tempoh 24 jam yang telah mengorbankan hampir 200 orang awam yang tidak berdosa.

"Seramai 35,984 rakyat Palestin, terutamanya wanita dan kanak-kanak, telah terbunuh dan lebih ramai lagi yang tercedera, dalam tempoh 234 hari konflik berlangsung.

"Tindakan Israel yang tanpa henti, tanpa belas kasihan dan dengan sengaja menyerang rakyat Palestin adalah melanggar keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (International Court of Justice - ICJ) pada 24 Mei 2024, yang menuntut agar serangan tentera di Rafah dihentikan serta-merta.

"Tindakan berterusan Israel yang tidak menghiraukan keputusan ini menunjukkan Israel tidak menghormati badan kehakiman tertinggi dunia dan prinsip-prinsip yang dipegangnya,"menurut kenyataan tersebut.

Wisma Putra memaklumkan, ketidakpedulian masyarakat antarabangsa terhadap kekejaman tersebut akan memburukkan lagi situasi kemanusiaan yang semakin genting di Gaza.

"Ia akan menggugat aturan dunia, yang jelas berdasarkan kepada prinsip keadilan dan undang-undang antarabangsa.

"Oleh itu, Malaysia menggesa agar masyarakat antarabangsa, termasuk negara anggota Konvensyen Genosid, untuk mengambil langkah-langkah yang perlu bagi melaksanakan keputusan ICJ, menghapuskan pengecualian hukuman dan terus berusaha ke arah mencapai keamanan yang berkekalan di Timur Tengah.

"Keganasan yang berterusan ini hanya akan dapat dihentikan melalui usaha komited ke arah perjanjian damai yang komprehensif, demi memastikan rakyat Palestin dapat hidup dengan bermaruah, rasa hormat dan selamat pada masa hadapan,"menurut Wisma Putra.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE