KULIM, 22 Jun- Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Kuala Perlis menjalin kerjasama dengan Inokom Corporation Sdn Bhd bagi melaksanakan Program Bootcamp Semburan Cat Automotif melibatkan 20 belia dari seluruh negara.
Program yang berlangsung selama sebulan sejak 23 Mei lalu yang berakhir semalam melayakkan kesemua peserta terpilih untuk ditawarkan bekerja di Inokom Corporation Sdn Bhd berkuatkuasa mulai esok.
Menurut Pengarah IKBN Kuala Perlis, Zurihanmi Zakariya, bersempena program ini juga Inokom turut menyumbangkan 440 liter cat kenderaan dengan anggaran kos bernilai RM 30,000 bagi kegunaan bengkel Semburan Cat Automotif di IKBN Kuala Perlis.
Menerusi kerjasama ini juga membolehkan para belia yang sedang mengikuti pengajian dalam bidang semburan cat automotif meningkatkan pengetahuan dan latihan kemahiran masing-masing.
Hadir sama pada majlis penutup program, Ketua Jabatan Teknologi Marin, Siti Aklima binti Shafie manakala pihak Inokom, diwakili Pengurus Bahagian Semburan Cat, Muhammad Izzwan Ismail.
(Pengurus Bahagian Semburan Cat Inokom Corporation Sdn Bhd, Muhammad Izzwan Ismail menyerahkan cat kenderaan kepada Pengarah IKBN Kuala Perlis, Zurihanmi Zakariya)