ALOR SETAR, 2 Julai- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) Kedah menahan dua individu termasuk seorang penjawat awam kerana disyaki bersubahat dengan sebuah syarikat penyelenggaraan dan pembersihan bagi menjalankan kerja-kerja berkaitan bernilai RM300,000.
Majistret Siti Nor Hasliza Md Ali membenarkan kedua-dua suspek direman selama 5 hari sehingga 6 Julai 2025 selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Alor Setar, pagi tadi.
Kedua-dua suspek lelaki berusia 30-an itu telah ditahan antara pukul 11 pagi hingga 2 petang ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Kedah, semalam.
Menurut kenyataan tersebut, Kedua-dua suspek disyaki melakukan perbuatan itu antara tahun 2020 dan 2021.
Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek bersubahat dengan suspek utama yang merupakan seorang penjawat bagi membolehkan kedua-duanya mendapat keuntungan daripada syarikat yang dilantik.
Pengarah SPRM Kedah, Datuk Nazli Rasyid Sulong ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut. Kes disiasat bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.