fb fb fb fb fb

2,612 penduduk terjejas banjir di tiga negeri

FOTO RTM

KUALA LUMPUR, 13 Oktober- 2,612 penduduk terjejas daripada 819 keluarga di Kedah, Perak dan Johor masih berlindung di 26 Pusat Pemindahan Sementara (PPS), setakat 8 pagi.

Menurut kemas kini Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), angka tertinggi melibatkan di Kedah dengan seramai 2,301 orang daripada 723 keluarga yang berlindung di 20 PPS.

Kesemua PPS dibuka di enam daerah iaitu Pendang, Kota Setar, Kubang Pasu, Pokok Sena, Baling dan Sik.

PPS Sekolah Menengah Kebangsaan Pendang merekodkan jumlah penduduk terjejas paling tinggi iaitu 276 orang daripada 83 keluarga, diikuti Dewan Kompleks Rakan Sukan Tanah Merah 236 orang daripada 57 keluarga, manakala SK Sri Gunong 205 orang daripada 61 keluarga.

Di Perak, 166 penduduk terjejas daripada 51 keluarga kini berlindung di tiga PPS yang dibuka di dua daerah iaitu Kerian dan Hulu Perak.

PPS Sekolah Kebangsaan Changkat Lobak menyaksikan seramai 71 orang daripada 20 keluarga, disusuli 65 orang daripada 20 keluarga di Sekolah Kebangsaan Parit Haji Aman 34300 Bagan Serai, dan 30 orang daripada 11 keluarga pula berlindung di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Idris Shah 2.

Manakala, di Johor pula, 145 penduduk terjejas daripada 45 keluarga kini berlindung di tiga PPS yang dibuka di tiga daerah iaitu Kulai, Kluang dan Batu Pahat.

Seramai 17 orang daripada 3 keluarga mendapatkan perlindungan di PPS Sekolah Kebangsaan Seri Bunut, 61 orang daripada 26 keluarga di Sekolah Kebangsaan Seri Kampung Rengam, dan 67 orang daripada 16 keluarga di Dewanraya Kampung Murni Jaya, Layang-layang, Kulai.

Trainee2