fb fb fb fb fb

178 projek sakit dikenal pasti, kerajaan cari penyelesaian atasi masalah projek Laman Changkat Jering

(Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed dalam sidang Dewan Rakyat hari ini)

KUALA LUMPUR, 3 Mac- Sebanyak 178 daripada 6,755 projek pembangunan yang dipantau bawah Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU) pada tahun ini dikategorikan sebagai projek sakit atau mengalami kelewatan; melebihi 20 peratus berbanding jadual dirancang.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata 92 daripada projek tersebut sedang dan telah diambil tindakan intervensi pihak ICU.

Mengulas lanjut, Mustapa memaklumkan di Bukit Gantang, terdapat satu projek iaitu di Changkat Jering yang mungkin boleh dianggap sebagai projek 'gajah putih'.

Projek itu ialah projek Laman Changkat Jering dan menurut pihak Majlis Perbandaran Taiping, pada awalnya projek tersebut mendapat peruntukan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan sebanyak RM2.8 juta.

"Selepas itu, pada tahun 2012, ICU menyediakan sebanyak RM3 juta. Projek ini siap sepenuhnya pada tahun 2014. Adalah difahamkan projek ini mempunyai empat komponen, iaitu 20 gerai basah, 150 gerai kering, 30 gerai makanan dan 12 kios. Pada masa ini, 20 gerai basah dan 150 gerai kering masih kosong. Saya difahamkan bahawa pihak Majlis Perbandaran Taiping sedang berbincang dengan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia untuk mencari penyelesaian," katanya semasa sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat pagi ini.

Persoalan mengenai perkara itu dibangkitkan Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal.

(Ahli Parlimen Bukit Gantang bertanya soalan semasa sesi soal jawab lisan hari ini)

Tambah Mustapa, beliau bersama dengan Ketua Setiausaha Negara mempengerusikan Jawatankuasa Pemudahcara Pelaksanaan Projek Pembangunan Negara untuk mempercepatkan pelaksanaan projek pembangunan.

Sejak penubuhan pada Disember 2020, jawatankuasa tersebut telah bermesyuarat sebanyak 10 kali dan terakhir adalah pada 31 Januari lalu.

Media Baharu