fb fb fb fb fb

Konflik Rusia-Ukraine: Malaysia ulangi komitmen berprinsip dan hormati kedaulatan negara

(Foto Facebook Wisma Putra)

PUTRAJAYA, 3 Mac - Malaysia menyambut baik rundingan antara Rusia dan Ukraine di Belarus, menurut Wisma Putra di sini hari ini.

Wisma Putra melalui kenyataan media memaklumkan resolusi “Tindakan keganasan ke atas Ukraine” telah diterima pakai pada sesi khas kecemasan ke-11 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York, semalam.

Menurut kenyataan itu, resolusi tersebut telah mendapat sokongan sebanyak 141 undian berpihak, lima (5) membantah dan 35 berkecuali.

"Walaupun Malaysia tidak bersetuju sepenuhnya dengan kandungan resolusi tersebut, Malaysia telah menyatakan sokongan dan membuat undian ke atas resolusi berkenaan atas pendirian berprinsip negara yang menghormati kedaulatan, kemerdekaan serta integriti wilayah sesebuah negara yang amat penting kepada Malaysia."

Bagi menjelaskan undi negara, Malaysia sekali lagi mengulangi komitmen terhadap Piagam PBB, yang selari dengan prinsip asas integriti wilayah serta kedaulatan sesebuah negara yang seharusnya tidak dicabuli oleh mana-mana negara.

"Menggariskan hubungan kerjasama yang erat dengan kedua-dua buah negara, Rusia dan Ukraine, Malaysia sedar situasi konflik ini adalah kompleks dan rumit berikutan keadaan geopolitik serta perbezaan dalam pelbagai aspek yang terus menjadi kebimbangan bagi kedua-dua buah negara.

"Dalam hal ini, Malaysia berpandangan supaya negara–negara terlibat perlu mencari jalan penyelesaian melalui dialog dan rundingan damai," menurut kenyataan Wisma Putra pada Khamis.

Oleh itu, Malaysia menggesa supaya Majlis Keselamatan PBB terus mencari jalan penyelesaian terhadap konflik tersebut dan melaksanakan peranan utamanya dalam memastikan keamanan dan keselamatan sejagat.

"Sebagai sebuah negara anggota PBB yang bertanggungjawab, Malaysia mengulangi komitmen berterusan negara terhadap penyelesaian secara damai.

"Malaysia akan terus menyokong usaha-usaha di peringkat antarabangsa untuk mencari jalan penyelesaian terhadap konflik tersebut demi mengekalkan keamanan dan keselamatan serantau dan antarabangsa, serta kemakmuran sejagat," jelas Wisma Putra.

(Wakil Tetap Malaysia, ketika berucap pada sesi ke-11 UNGA di ibu pejabat PBB, New York lewat semalam. – WISMA PUTRA)

Semalam, Wakil Tetap Malaysia, Datuk Syed Mohamad Hasrin Aidid ke PBB pada sesi ke-11 UNGA di ibu pejabat PBB, New York.

Persidangan itu untuk mendesak Presiden Rusia, Vladimir Putin menghentikan konflik di Ukraine dengan segera dan kali terakhir Malaysia mengundi menyokong resolusi UNGA yang mengutuk keras Rusia ialah apabila kuasa dunia itu menceroboh wilayah Crimea milik Ukraine pada 2014 lalu.

Media Baharu