KUALA LUMPUR, 6 November- Seramai 161 penjawat awam dari pelbagai kementerian dan agensi, ditauliahkan sebagai Munsyi Muda Bahasa, hari ini.
Pentauliahan tersebut bakal membolehkan mereka bergelar sebagai perujuk Bahasa Melayu di organisasi masing-masing, dalam memastikan penggunaan laras bahasa yang betul dalam aspek komunikasi dan dokumen rasmi.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berharap pertambahan jumlah Munsyi Muda Bahasa itu mampu memperkasa mutu penggunaan Bahasa Melayu di kementerian, jabatan dan agensi sekali gus menjadi penggerak aktiviti kebahasaan.
"Penggunaan Bahasa Melayu dalam dokumen rasmi kerajaan perlulah menepati ejaan dan tatabahasa yang standard.
“Penggunaan bahasa Melayu dalam sektor kerajaan sering kali menjadi penanda aras bagi sektor swasta dan pihak di luar negara yang berniat untuk mengamati atau menggunakan Bahasa Melayu," kata Tan Sri Wan Dahlan dalam ucapannya.
Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Operasi), Datuk Mohd Shaiful Ibrahim yang turut merasmikan Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan dan Pentauliahan Munsyi Muda Bahasa Tahun 2023/2024, di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN), di sini hari ini.
Dalam majlis berkenaan, Norfadhilah Ahmad Mawawi, Pegawai Seksyen Dasar dan Penyelidikan, Bahagian Pembangunan Strategik RTM, turut dianugerahkan pentauliahan.
"Saya perlu lulus Ujian Kursus Pembinaan Munsyi Muda dan menghadiri Kursus Pemantapan Munsyi Muda Bahasa bagi melayakkan peserta menerima Sijil Penuh Munsyi Muda Bahasa," ujar Norfadhilah.
Dalam pada itu, Jackie Mary Fernandis dari Parlimen Malaysia dipilih sebagai peserta terbaik 2023, Mohamad Haziq Mohd Fauri dari Jabatan Perdana Menteri (Peserta Terbaik 2024) manakala Zulkifli Mohd Yunus dari Istana Negara (Peserta Terbaik Keseluruhan).
Program Munsyi Muda Bahasa diperkenal sejak 2015 dengan kerjasama INTAN dan Dewan Bahasa Pustaka (DBP).
"Sebagai Munsyi Muda Bahasa, pegawai ini akan menjadi perujuk bahasa kepada kementerian supaya dokumen rasmi dan bahan bercetak agensi menggunakan bahasa Melayu yang baik, betul dan santun serta mahir dalam bidang kebahasaan.
Ini seperti yang termaktub dalam Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 1 Tahun 2020: Pemerkasaan Penggunaan Bahasa Kebangsaan dalam Perkhidmatan Awam," menurut laman web INTAN.