NIBONG TEBAL, 21 Februari- Sebanyak 16 buah lagi tangki statik komuniti akan ditambah di tiga kawasan strategik dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Nibong Tebal.
Penambahan itu menjadikan jumlah keseluruhan tangki statik di kawasan berkenaan sebanyak 32 buah, yang berupaya menangani masalah bekalan air.
Ahli Parlimen Nibong Tebal, Datuk Mansor Othman berkata, kerja-kerja penambahan tangki itu ditanggung sepenuhnya oleh pusat khidmatnya membabitkan kos berjumlah RM16,000.
"Kami salurkan 16 tangki ini agar mampu menyalurkan air dengan segera kepada penduduk dalam masa terdekat bagi tempoh mitigasi masa pendek,
"Untuk rekod gangguan bekalan air yang melibatkan 14 kawasan penempatan sekitar Nibong Tebal memberi kesan kepada 33 ribu penduduk sejak 2020," jelasnya kepada pemberita di Nibong Tebal pada Ahad, di Nibong Tebal, Pulau Pinang.
Kebanyakan penduduk terlibat adalah mereka yang tinggal di kawasan tinggi atau dihujung paip agihan.