KUALA LUMPUR, 21 Februari- Tiada sebarang unsur pilih kasih dalam pemilihan tuan rumah penganjuran temasya Sukan Malaysia (SUKMA).
Demikan penjelasan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berhubung kenyataan Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang mendakwa negeri Kelantan dinafikan hak sebagai penganjur SUKMA oleh mantan Menteri Belia dan Sukan sebelum ini.
Khairy menegaskan negeri Cik Siti Wan Kembang itu tidak pernah dianaktirikan dalam pemilihan sebagai penganjur.
Malah katanya, negeri itu juga pernah ditawarkan menjadi penganjur temasya berkenaan ketika beliau menyandang portfolio Menteri Belia dan Sukan pada 2013.
Tawaran itu diajukan melalui beberapa Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi SUKMA selepas SUKMA Perlis 2014 berjaya dianjurkan dengan cemerlang.
"Mengikut penggiliran negeri penganjur, selepas Sukma Sarawak 2016, hak penggiliran penganjuran akan kembali ke negeri di Pantai Timur. Kelantan yang belum pernah menganjurkan Sukma merupakan pilihan namun kerajaan Kelantan ketika itu tidak bersedia untuk menganjurkannya atas beberapa kekangan.
"Kita juga semasa membuat keputusan Sukma 2018 kepada Perak dan Sukma 2020 kepada Johor turut mengalu-alukan agar Kelantan mempertimbangkan untuk menjadi tuan rumah Sukma 2022 supaya temasya sukan itu dapat dibawa kepada rakyat Kelantan,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Sabtu lalu, Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dalam video TikToknya mendakwa beliau ingin ‘mengembalikan semula hak penganjuran’ SUKMA kepada Kelantan.
Mengulas lanjut, Khairy yang kini Menteri Kesihatan berkata, kenyataan Syed Saddiq itu yang menerajui Kementerian Belia dan Sukan dari 2018 hingga 2020, seolah-olah memperlihatkan menteri Belia dan Sukan sebelum ini menafikan hak negeri berkenaan menjadi tuan rumah temasya sukan tersebut.
Kelantan tidak dianaktirikan anjur SUKMA
powered by social2s