100 pengusaha bas pelancongan berdepan gulung tikar akibat kos diesel

Naib Presiden Penyelidikan dan Teknologi MATA, Mohd Hizzat Mohd Shah / BERNAMA

KUALA LUMPUR, 26 Mac– Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta) menggesa kerajaan mempertimbangkan pemberian subsidi diesel kepada syarikat bas pelancongan susulan kenaikan kos bahan api berkenaan akibat konflik Asia Barat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kenaikan harga diesel yang tidak menentu memberi tekanan besar kepada pengusaha bas pelancongan.
  • Kira-kira 100 pengusaha bas mempertimbangkan menghentikan operasi kerana tidak mampu menanggung kos semasa.
  • Kebanyakan pengusaha bergantung sepenuhnya kepada diesel; peningkatan harga terus menjejaskan kos operasi dan daya saing pelancongan.

Naib Presiden Penyelidikan dan Teknologi MATTA, Mohd Hizzat Mohd Shah berkata, kenaikan harga diesel yang tidak menentu memberi tekanan besar kepada pengusaha bas pelancongan.

Menurut beliau, situasi itu turut mendorong kira-kira 100 pengusaha bas untuk mempertimbangkan menghentikan operasi kerana tidak lagi mampu menanggung kos semasa.

“Kita menerima maklumat bahawa kira-kira 100 pengusaha bas tidak lagi mahu meneruskan perniagaan mereka disebabkan harga minyak yang tidak menentu susulan konflik di Asia Barat.

“Bagi kami, subsidi bahan api amat penting bagi membantu semua pemain industri terus bertahan. Memastikan kelancaran inisiatif Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya kepada RTM pada sidang media Destinasi Kegemaran Antarabangsa sempena Matta Fair 2026 di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) hari ini.

Tambahnya, kebanyakan pengusaha bas pelancongan bergantung sepenuhnya kepada diesel, justeru peningkatan harga bahan api tersebut memberi kesan langsung terhadap kos operasi harian.

Sehubungan itu, MATA berharap kerajaan khususnya Kementerian Kewangan Malaysia dapat mempertimbangkan penyaluran subsidi bagi membantu pemain industri yang terjejas.

Dalam masa sama, beliau berharap penyelesaian dapat dicapai dalam masa terdekat bagi memastikan sektor pelancongan negara terus kekal berdaya saing.