KUALA LUMPUR, 22 Mac – Pejabat AI Kebangsaan (NAIO) di bawah Kementerian Digital hari ini mencapai 100 hari pertama dalam usaha mentransformasikan Malaysia sebagai negara yang dipacu Kecerdasan Buatan (AI).
Menteri Digital, Gobind Singh Deo menegaskan aspirasi kerajaan untuk menjadikan Malaysia bukan sekadar pengguna AI, tetapi sebagai pencipta dan inovator AI yang berupaya mewujudkan lebih banyak pekerjaan berkualiti serta meningkatkan produktiviti negara.
"Ini hanyalah permulaan dan semua pihak perlu bersama-sama membangunkan Malaysia yang digerakkan oleh AI, bagi memacu daya saing negara, pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan masyarakat," katanya dalam satu kenyataan.
Sejak dilancarkan pada 12 Disember lalu, NAIO berperanan sebagai pemangkin utama dalam membentuk landskap AI negara, mempercepat pembangunan sosioekonomi, serta mengukuhkan daya saing Malaysia di peringkat global.
Dalam tempoh 100 hari ini, NAIO telah menggerakkan AI sebagai pemacu pertumbuhan negara berlandaskan empat tema strategik, iaitu AI untuk Masyarakat, AI untuk Ekonomi yang Lebih Kukuh, AI untuk Kepercayaan dan Tadbir Urus, serta Bakat AI untuk Kemajuan Negara.