fb fb fb fb fb

1,436 penduduk terjejas banjir di empat negeri

(Foto fail)

KUALA LUMPUR, 11 Disember- Empat negeri terjejas banjir melibatkan 1,436 penduduk daripada 400 keluarga yang ditempatkan di 19 pusat pemindahan sementara (PPS) di Terengganu, Pahang, Kelantan dan Perlis, setakat pukul 7.00 pagi tadi.

Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dalam kenyataan memaklumkan, Terengganu mencatatkan penduduk terjejas tertinggi iaitu 585 penduduk daripada 150 keluarga di daerah Kemaman, Kuala Nerus, Kuala Terengganu dan Setiu.

"PPS Dewan Abd Rahman Limbong menempatkan 228 penduduk, PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Baru Kerteh (21), PPS SK Kemasik menempatkan 21 penduduk di daerah Kemaman. Di Kuala Nerus menempatkan 133 penduduk di PPS SK Tok Jembal, PPS SK Bukit Nenas (76), PPS SK Chendering menempatkan 16 penduduk. Di daerah Setiu melibatkan PPS SK Kg Seri Kasar menempatkan 25 penduduk, PPS Balairaya Kampung Bukit Nenas
(13) dan PPS Surau Mak Bakas menempatkan 8 penduduk," menurut kenyataan.

Jelas NADMA, Pahang pula mencatatkan 517 penduduk terjejas daripada 155 keluarga melibatkan tujuh PPS di empat daerah iaitu Temerloh, Lipis, Jerantut dan Bera.

Di Temerloh, 379 penduduk ditempatkan di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Semantan, manakala 52 penduduk di SK Lubuk Kulit dan 27 lagi di PPS Masjid Beletik bagi daerah Lipis.

Sementara itu, di daerah Jerantut iaitu PPS Balairaya Kampung Sempadan menempatkan 20 penduduk dan PPS SK Batu Balai (14), manakala daerah Bera melibatkan PPS SK Seri Buntar dan SK Kerayong yang masing-masing mencatatkan 17 dan lapan penduduk.

Menurut kenyataan itu lagi, Kelantan merekodkan 280 penduduk terjejas di daerah Pasir Mas yang ditempatkan di PPS SK To Deh.

Dalam pada itu, satu daerah terjejas banjir di Perak iaitu Hilir Perak melibatkan 54 penduduk yang ditempatkan di PPS Dewan Smart Batu 4.

 (Foto fail)

Media Baharu