PRN Sarawak: 156 NADI dibuka kepada pengamal media

Foto RTM

SIBU, 16 November – Sebanyak 156 Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di seluruh Sarawak akan dibuka sebagai ruang kerja pengamal media sepanjang Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-13.

RINGKASAN BERITA AI
  • Akses Internet sekurang-kurangnya 100 Mbps disediakan untuk memudahkan liputan media, khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman.
  • Jabatan Penerangan menyediakan tiga pusat media khas di Kuching, Sibu dan Miri dengan Internet, pencetak dan makanan.
  • Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan penamaan calon 28 November, pengundian awal 8 Disember dan hari pengundian 12 Disember.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, kemudahan itu membolehkan petugas media mendapatkan akses Internet berkelajuan sekurang-kurangnya 100 megabit sesaat (Mbps), khususnya ketika membuat liputan di kawasan luar bandar dan pedalaman.

Selain itu, tiga pusat media khas turut akan disediakan oleh Jabatan Penerangan (JaPen) bagi menyokong kelancaran tugasan pengamal media sepanjang pilihan raya berkenaan.

“Kami telah membuat keputusan untuk menyediakan tiga pusat media, satu di Kuching, satu di Sibu dan satu lagi di Miri.

“Pusat media ini akan menyediakan Internet, pencetak dan juga makanan untuk rakan-rakan media yang bertugas supaya mereka mempunyai tempat bekerja yang selesa,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke RTM Sibu, di sini.

Daripada keseluruhan 156 pusat NADI di Sarawak, enam terletak di bahagian Sibu, manakala semua pusat berkenaan dikendalikan di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Disember sebagai hari pengundian PRN Sarawak ke-13, manakala penamaan calon pada 28 November dan pengundian awal pada 8 Disember.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.