fb fb fb fb fb

Industri halal, kuasa ekonomi ASEAN

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid pada program Malaysia–Indonesia Halal Industry Collaboration Roundtable di Jakarta, Indonesia. Beliau yakin sinergi Malaysia-Indonesia mampu memperkasa industri halal serantau/Foto FB Zahid Hamidi

ULASAN BERITA

Industri halal ASEAN kian berkembang pesat sebagai sektor ekonomi strategik dengan potensi besar dalam perdagangan global, didorong oleh populasi Muslim yang besar dan peningkatan permintaan global terhadap produk halal.

Malaysia misalnya di kedudukan nombor satu dalam Petunjuk Ekonomi Islam Global (GIEI) 2023 untuk tahun ke-10 berturut-turut. Laporan State of the Global Islamic Economy (SGIE) edisi 2023/2024 turut menyenaraikan Kuala lumpur di tempat pertama dalam sektor makanan halal global, dengan skor 128. Diikuti Indonesia 94.4, Turkiye 85.1 dan Singapura 67.7.

Perbelanjaan Muslim global untuk makanan dan minuman disasarkan mencecah USD1.89 trilion menjelang 2027. Tempat pertama juga diraih dalam sektor kewangan Islam, media dan rekreasi halal.

Sehubungan itu, untuk terus diiktiraf sebagai hab industri halal utama dunia, beberapa dasar telah dilancarkan. Termasuk Pelan Induk Industri Halal 2030 (HIMP 2030) dan Dasar Halal Negara (DHN 2025-2035). Diperingkat Nusantara pula, Indonesia ada Master Plan Industri Halal Indonesia (MPIHI 2023-2029), bertujuan memperkukuh industri halal di pasaran global.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang baharu menamatkan lawatan rasmi ke Jakarta juga menekankan kepentingan industri halal. Pelbagai kerjasama strategik dirangka, termasuk usaha mewujudkan pengiktirafan bersama pensijilan halal.

Menurut Datuk Seri Dr Ahmad Zahid, Malaysia dan Indonesia sepakat untuk mencari penyelesaian berkenaan perkara itu. Sebagai Pengerusi Majlis Halal Negara, beliau berpandangan isu itu perlu ditangani segera, kerana ini melibatkan aspek penting seperti fatwa, fiqh dan kebersihan.

Semua itu penting demi memacu pertumbuhan industri halal serantau. Katanya lagi, hasil pertemuan bersama Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, kata sepakat dicapai. Kedua-dua negara bersetuju membenarkan penggunaan sijil halal JAKIM ke atas produk Malaysia yang dieksport ke Indonesia. Tanpa keperluan prosedur operasi standard (SOP) baharu. Langkah itu akan mempercepatkan proses pembangunan industri halal dan produk halal di kedua-dua negara. Itu sudah tentu.

Turut mengiktiraf pensijilan halal Malaysia, Dewan Perniagaan Thailand (TCC). Naib Pengerusinya, Dr. Visit Limlurcha begitu yakin dengan Rangka Kerja Pensijilan Halal Malaysia. Katanya dengan kekayaan bahan mentah pertanian Thailand, ia menjadi asas kukuh untuk menjalin sinergi antara kedua-dua negara dalam pembangunan produk yang diperakui halal.

Namun perlu juga gerakkan langkah lebih jauh, ASIA dan lain-lain benua. Bulatkan tekad untuk sama-sama iktiraf hanya satu sijil halal untuk kegunaan dunia. Melalui satu badan pensijilan halal induk yang dianggotai negara-negara Islam dan negara sepemikiran.

Bagaimanapun, pengembangan agenda halal perlu tertumpu kepada negara-negara ASEAN terlebih dahulu. Tidak mustahil kita boleh guna hanya satu sijil halal untuk semua produk halal ASEAN. Betul, ia tidak mudah. Tetapi tidak juga mustahil, sekiranya semua negara anggota mempunyai cita-cita yang sama atau mempunyai hasrat untuk terlibat secara tidak langsung.

Dalam cabaran yang besar ini, penulis yakin ASEAN mampu realisasikannya. Tetapkan matlamat dan tempoh untuk mencapai persetujuan melalui satu memorandum persefahaman (MoU). Sidang Kemuncak Halal Global dan Sidang Kemuncak ASEAN boleh dijadikan pentas utama. Boleh jemput peneraju industri untuk cari kesepakatan dalam membentuk SOP yang sama. Terutamanya aspek halal itu sendiri. Selain kualiti, Amalan Perkilangan Baik, Amalan Hijau, import dan eksport serta teknologi.

Berkenaan isu keraguan halal terhadap produk-produk berlogo halal. Boleh guna Kecerdasan Buatan (AI) sebagai pegawai pemantau. Isu halal haram bukan boleh dibuat main. Gunakan kecerdikan AI untuk mengesan sebarang kemusykilan, jika mampu bangunkan sistem secara bersama. Untuk apa?, bagi depani cabaran jangka pendek, sederhana dan panjang. Banteras berterusan penyalahgunaan logo dan sijil halal. Ia merugikan, sekali gus mencemarkan keyakinan pengguna Islam.

Berkaitan kritikan beberapa negara terhadap proses persijilan halal yang ketat, ASEAN kena bertegas. Perlu satu suara bagi menyuarakan pandangan demi keuntungan bersama. Tidak berkompromi dengan SOP yang telah ditetapkan. Dengan benar-benar bersatu, segala cubaan menduga dan mengagalkan kemakmuran ekonomi serantau dapat ditepis. Seterusnya tiada lagi hambatan untuk ASEAN membentuk "kuasa ekonomi halal global".

Ulasan berita ini disediakan oleh Editor Berita Radio RTM, Zamzuri Zawawi.

MAT YUNUS BIN SABRI