SAUDARA PENGARANG
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Ambillah zakat daripada sebahagian harta mereka, dengan zakat itu kamu membersihkan dan menyucikan mereka…” (Surah at-Taubah: 103). Ayat ini menjadi dalil kepada kefarduan melaksanakan zakat dalam Islam.
Zakat merupakan salah satu daripada lima rukun Islam yang wajib dilaksanakan oleh setiap individu Muslim yang memenuhi syarat-syarat tertentu. Sebagai ibadah harta, zakat memainkan peranan penting dalam menjaga kesejahteraan sosial dan ekonomi umat Islam.
Kepentingannya bukan hanya kepada individu yang membayar zakat, tetapi juga kepada keseluruhan masyarakat Islam. Dalam konteks ini, terdapat lima kepentingan utama zakat yang boleh dilihat dari sudut sosial, ekonomi, dan spiritual.
Kepentingan dan hikmah berzakat
Pertama, zakat berperanan dalam menyucikan harta dan jiwa. Islam menekankan bahawa harta yang diperoleh seseorang bukanlah miliknya secara mutlak, tetapi merupakan amanah daripada Allah SWT.
Dengan membayar zakat, seseorang dapat menyucikan hartanya daripada sebarang unsur yang tidak bersih serta membersihkan jiwa daripada sifat tamak dan kedekut. Rasulullah SAW bersabda dalam sebuah hadis yang bermaksud:
“Sesungguhnya Allah telah mewajibkan zakat sebagai pembersih harta.”(Riwayat Abu Daud, No. 1584).
Oleh itu, zakat bukan sekadar kewajipan, tetapi juga satu cara untuk memperbaiki diri dan menjadi insan yang lebih baik dari segi moral dan spiritual.
Kedua, zakat dapat mengurangkan jurang sosial dalam masyarakat. Ketidakseimbangan ekonomi merupakan salah satu punca utama kepada pelbagai masalah sosial seperti jenayah, kemiskinan dan pergolakan sosial. Melalui pengagihan zakat, golongan yang kurang bernasib baik dapat dibantu untuk memperbaiki taraf hidup mereka.
Sebagai rujukan bagi tahun 2023, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) misalnya, telah mengagihkan sebanyak RM952.27 juta dana zakat kepada lapan golongan asnaf melalui pelbagai program dan inisiatif, termasuk skim bantuan zakat, al-Wakalah, institusi pendidikan, dan kebajikan.
Apabila jurang ekonomi dapat dikurangkan, keharmonian sosial akan lebih terjamin, dan ini akan membawa kepada kehidupan yang lebih stabil dan aman dalam kalangan masyarakat Islam.
Selain itu, zakat berfungsi sebagai instrumen yang sangat efektif untuk membantu golongan yang memerlukan. Islam sangat menitikberatkan keadilan sosial dan kebajikan terhadap mereka yang kurang bernasib baik.
Zakat diagihkan kepada lapan golongan asnaf yang layak menerima zakat, seperti yang dinyatakan dalam al-Quran, iaitu fakir, miskin, amil, mualaf, hamba yang ingin memerdekakan diri, mereka yang berhutang, mereka yang berjuang di jalan Allah dan musafir yang kehabisan bekalan.
Bantuan ini bukan sahaja meringankan beban golongan tersebut, tetapi juga memberi para asnaf peluang untuk memperbaiki kehidupan mereka.
Dari sudut ekonomi, zakat berperanan penting dalam membangunkan ekonomi ummah. Dana zakat yang terkumpul boleh digunakan untuk membiayai pelbagai projek yang memberi manfaat kepada masyarakat, seperti pembangunan institusi pendidikan, klinik kesihatan dan program keusahawanan.
Apabila golongan miskin dibantu untuk berdikari melalui projek-projek ini, mereka bukan sahaja dapat keluar daripada kemiskinan, tetapi juga mampu menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara secara keseluruhan.
Seterusnya, zakat mampu memupuk persaudaraan dalam kalangan umat Islam. Zakat adalah satu bentuk ibadah yang mengeratkan hubungan antara golongan kaya dan miskin.
Apabila golongan yang mampu berkongsi sebahagian daripada harta mereka dengan golongan yang memerlukan, ia mewujudkan rasa kasih sayang, simpati dan tanggungjawab sosial. Ukhuwah yang terjalin ini penting untuk memperkukuh perpaduan ummah dan mengukuhkan kekuatan masyarakat Islam dalam menghadapi cabaran dunia moden.
Jelas bahawa zakat berperanan penting dalam membangunkan masyarakat Islam dari pelbagai aspek. Ia bukan sahaja membersihkan jiwa dan harta, tetapi juga mengurangkan jurang sosial, membantu golongan yang memerlukan, membangunkan ekonomi, dan memperkukuh perpaduan ummah.
Oleh itu, setiap individu Muslim yang berkemampuan haruslah melaksanakan kewajipan ini dengan penuh keikhlasan demi kesejahteraan bersama. Dengan pengurusan zakat yang berkesan, masyarakat Islam akan lebih maju, harmoni, dan diberkati oleh Allah SWT.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.
Muhamad Ismail bin Abdullah
Pensyarah Jabatan Syariah
Fakulti Syariah & Undang-Undang
Universiti Islam Selangor