SAUDARA PENGARANG
Rejab berada pada kedudukan bulan ketujuh dalam sistem kalendar Hijrah. Ia termasuk dalam kelompok bulan haram, iaitu bulan keempat selepas tiga bulan lain berturutan, termasuklah bulan Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharram. Dalam bulan Rejab, berlaku banyak peristiwa sejarah penting bagi umat Islam, khususnya peristiwa besar Israk dan Mikraj.
Bulan ini dinamakan dengan Rejab, iaitu kehormatan kerana orang Arab Jahiliyyah menghormatinya dan mereka tidak berperang dalam bulan tersebut di samping mereka mengorbankan haiwan (‘atirah) pada mana-mana hari dari sepuluh hari awal bulan Rejab.
Jadi, dengan kedatangan Islam, pantang larang ini diteruskan; diharamkan untuk berperang dalam bulan haram melainkan dalam situasi diperangi oleh musuh Islam. Selain itu, bulan haram juga mempunyai keistimewaan khusus, iaitu gandaan yang bukan sahaja melibatkan perkara berkaitan pahala, bahkan dosa.
Saban tahun apabila menjelang bulan Rejab, polemik ibadah puasa sunat dan amalan lain dalam bulan Rejab yang dianggap sebagai bid’ah kerana Nabi tidak melakukannya, di samping dakwaan bahawa kelebihan yang tersebar dalam masyarakat adalah lemah dan palsu. Tambahan tiada kelebihan berpuasa di bulan Rejab berbanding bulan yang lain.
Namun, terdapat hadis Nabi SAW yang menunjukkan baginda berpuasa pada bulan Rejab. Dalam hadis Nabi SAW:
Uthman bin Hakim al-Ansari RA berkata: Aku telah bertanya kepada Sa’id bin Jubair tentang puasa dalam bulan Rejab. Ketika itu kami berada dalam bulan Rejab. Sa’id bin Jubair pun menjawab: Aku mendengar Ibn ‘Abbas radiallahu ‘anhuma berkata: Rasulullah SAW berpuasa sehingga kami berkata beliau tidak berbuka. Baginda berbuka sehingga kami berkata baginda tidak berpuasa. (HR Muslim, no. hadis: 1157).
Seiring dengan itu juga, tiada larangan tegas dan khusus untuk berpuasa pada bulan Rejab sama ada secara penuh atau tidak penuh. Bagi mereka yang berpuasa penuh bukanlah bermakna amalan ini tidak sah atau tidak memperolehi ganjaran pahala. Nabi SAW menganjurkan untuk berpuasa pada bulan haram kerana apa yang jelas bahawa bulan haram dijanjikan dengan ganjaran pahala yang berganda.
Namun begitu, dalam hadis lain menjelaskan tentang kebimbangan Nabi kepada umatnya bahawa mungkin akan jemu, lesu dan tidak konsisten. Hadis Nabi SAW:
Aisyah RA berkata:"Rasulullah SAW tidak berpuasa dalam mana-mana bulan dalam setahun lebih banyak daripada bulan Syaaban." Baginda juga bersabda: "Ambillah daripada amalan apa yang kamu mampu, kerana Allah tidak sekali-kali akan jemu sehingga kamu merasa jemu." Baginda juga bersabda: "Amalan yang paling dicintai oleh Allah ialah amalan yang dilakukan secara konsisten oleh pelakunya, walaupun sedikit."(HR Muslim, no. hadis: 1156)
Dalam banyak keadaan, Nabi SAW tidak melakukan amalan yang berstatus Sunat secara berterusan atau lengkap sebulan agar tidak memberatkan umat. Kekhuatiran timbul sekiranya mereka yang berpuasa penuh pada bulan Rejab dan Syaaban, akan gagal melaksanakan ibadah puasa wajib pada bulan Ramadan kelak dengan sempurna dan berkualiti kerana jemu, kehabisan tenaga serta keletihan.
Ini menyebabkan mereka gagal kerana lebih mengutamakan ibadah sunat hingga tidak dapat melaksanakan puasa wajib. Bagi segelintir orang yang mampu dan biasa menjalankan rutin berpuasa sunat, situasi ini mungkin tidak timbul bagi mereka untuk berpuasa selama tiga bulan dengan sempurna sebagai amalan untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT.
Namun, amalan ini tidaklah diwajibkan atau mendatangkan kemudaratan kepada pihak yang berkenaan. Jelasnya, bagi yang tidak mampu, mereka wajib menfokuskan puasa pada bulan Ramadan. Ini disebabkan berpuasa pada bulan Rejab dan Syaaban secara penuh ini akan memberatkan buat mereka yang tidak mampu.
Bagi masyarakat Islam, kehadiran bulan Rejab ibarat latihan awal untuk memanaskan enjin sebelum memasuki bulan Ramadan kelak. Bulan Rejab diibaratkan sebagai fasa membajak tanah, iaitu permulaan usaha membersihkan hati dan jiwa serta mempersiapkan diri untuk memasuki bulan-bulan berikutnya.
Seterusnya, bulan Syaaban menjadi fasa menyemai, yang mana amalan kebaikan diperbanyakkan dan benih-benih keimanan serta ketakwaan ditingkatkan seiring kesungguhan sebagai persediaan menyambut bulan Ramadan.
Manakala bulan Ramadan pula adalah fasa menanam, yang mana segala usaha yang dimulai pada bulan-bulan sebelumnya diperkukuhkan melalui ibadah puasa, solat, zikir, membaca al-Quran, bersedekah dan pelbagai amal saleh.
Akhirnya, bulan Syawal menjadi fasa menuai, yang mana umat Islam meraih ganjaran atas usaha dan amalan yang telah dilakukan sepanjang bulan-bulan tersebut, disertai dengan kegembiraan dan kesyukuran yang melambangkan kejayaan memperbaiki diri dan mendekatkan diri kepada Allah SWT serta menjadi insan bertaqwa.
Dengan itu, latihan sedikit demi sedikit bermula dari bulan Rejab dalam bentuk amalan yang sunat, sama ada puasa, zikir, baca Quran, solat sunat dan amal kebajikan yang lain dilengkapkan lagi dalam bulan Ramadan dengan amalan yang wajib dan sunat.
Bagi golongan yang masih belum menyempurnakan qadha bagi puasa wajib yang ditinggalkan sama ada dengan uzur atau tanpa keuzuran Syar’ie, maka rebutlah peluang pada bulan Rejab dan Sya’aban yang masih berbaki untuk menggantikannya agar tidak dikenakan bayaran fidyah kerana melewatkan qadha melebihi bulan Ramadan tahun semasa.
Sehubungan dengan itu, dalam bulan haram khususnya, kurangkan perbalahan serta polemik dan fokuslah mempersiapkan diri dengan ibadah sunat. Ini disebabkan bulan Rejab merupakan fasa awal dalam perjalanan kita menuju ke bulan Ramadan.
Sewajarnya ia diisi dengan pelbagai amal saleh lantaran ganjarannya yang berganda berbanding bulan yang lain. Di samping itu, perbuatan maksiat dan mungkar yang boleh mengundang dosa perlu dielakkan agar tidak mendapat murka Allah. Semoga kita diberkati di bulan Rejab dan mendapat limpahan rezki untuk bertemu bulan Ramadan.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.
Prof. Madya Dr Mohd Anuar Ramli
Pensyarah Jabatan Fiqh dan Usul
Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya
E-mel: