SAUDARA PENGARANG
Di era digital ini, meluangkan masa berkualiti bersama keluarga tanpa gangguan skrin menjadi semakin sukar. Gajet seperti telefon pintar dan tablet sentiasa mengiringi. Di Malaysia, kebanyakan remaja serta orang dewasa memiliki peranti mereka sendiri. Kanak-kanak kecil juga sering diberikan gajet, sama ada untuk tujuan pembelajaran, hiburan atau sebagai alat untuk membantu ibu bapa menenangkan mereka.
Hal ini membuktikan bahawa gajet bukan lagi sekadar alat komunikasi tetapi telah menjadi alat yang menyediakan pelbagai fungsi dalam kehidupan seharian. Namun, adakah ia benar-benar membantu dalam membentuk masa berkualiti bersama keluarga, atau sebaliknya menjadi penghalang?
Teknologi telah mewujudkan komunikasi tanpa sempadan dan membolehkan ahli keluarga yang berjauhan tetap berhubung dengan mudah. Gajet juga memberikan akses yang lebih luas dan mudah untuk ahli keluarga meluangkan masa berkualiti melalui teknologi seperti bermain permainan video atau menonton filem bersama.
Penggunaan gajet boleh dianggap sebagai suatu pendekatan baru untuk mendapatkan masa yang berkualiti bersama keluarga. Pendekatan ini dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan melalui penggunaan gajet secara seimbang dan terkawal. Namun, pada masa sama, ia boleh menyebabkan pengurangan interaksi fizikal dalam persekitaran rumah.
Di era ini, ahli keluarga cenderung untuk lebih asyik dengan telefon masing-masing ketika meluangkan masa bersama. Jika kita melihat kembali kehidupan tanpa gajet, interaksi secara bersemuka antara ahli keluarga lebih banyak berlaku melalui perbualan dan aktiviti bersama yang menjadi keutamaan.
Situasi ini telah menjadi fenomena dalam kalangan masyarakat kerana budaya masyarakat yang sering bergantung kepada gajet sepanjang masa. Kehidupan yang sibuk dan tekanan harian sering membuatkan individu mencari hiburan atau mendapatkan berita terkini melalui gajet mereka. Malah, ketiadaan peraturan yang jelas mengenai penggunaan gajet di rumah ketika bersama keluarga turut menyumbang kepada masalah ini. Pada masa ini, interaksi lebih banyak berlaku dalam dunia digital berbanding secara bersemuka, yang membawa perubahan ketara dalam hubungan kekeluargaan.
Kesannya, hubungan kekeluargaan akan renggang apabila ahli keluarga merasa diabaikan dan terasing akibat kurangnya perhatian serta komunikasi yang bermakna. Contohnya, apabila seorang anak ingin bercerita tentang harinya di sekolah, tetapi ibu bapa lebih fokus pada skrin telefon, anak tersebut mungkin merasa tidak dihargai dan mula menjauh.
Aktiviti yang dahulunya menjadi ruang untuk membina keakraban, kini semakin terpinggir. Ini boleh mengurangkan keterlibatan emosi seperti empati, sokongan, dan kasih sayang dalam keluarga kerana ahli keluarga tidak lagi meluangkan masa untuk berbual atau berkongsi cerita secara langsung. Hubungan yang sepatutnya menjadi tempat berteduh dan sokongan emosi akhirnya berubah menjadi sekadar kehadiran fizikal tanpa keterikatan yang erat.
Jika situasi ini berterusan dalam jangka masa yang panjang, ia bukan sahaja menjejaskan hubungan kekeluargaan tetapi juga menjejaskan perkembangan sosial dan pembangunan emosi ahli keluarga, terutama kanak-kanak. Kanak-kanak memerlukan interaksi fizikal untuk membina kemahiran sosial, seperti mengenali dan memahami isyarat emosi serta mentafsir isyarat sosial melalui ekspresi wajah dan bahasa tubuh.
Kanak-kanak yang kurang berinteraksi secara langsung mungkin sukar mengekspresikan emosi mereka, lebih selesa berkomunikasi melalui skrin, dan akan menghadapi cabaran dalam membentuk hubungan yang erat dengan keluarga serta rakan sebaya. Keadaan ini menyekat perkembangan sosial serta pembangunan emosi kerana mereka tidak mendapat peluang yang mencukupi untuk berinteraksi.
Tanda-tanda awal keluarga yang menghadapi masalah komunikasi kerana penggunaan gajet boleh diperhatikan melalui sikap serta perubahan emosi. Daripada segi sikap, amalan berbual dan berbincang tentang sesuatu isu bersama ahli keluarga semakin jarang dipraktikkan, dan ahli keluarga juga dilihat kurang melakukan aktiviti secara bersama. Sebaliknya, mereka lebih memilih untuk senyap bermain gajet masing-masing semasa berkumpul, terutamanya pada waktu makan.
Tanda-tanda emosi pula jelas kelihatan apabila wujudnya frustasi dan ketidakpuasan, terutama apabila melihat ahli keluarga sibuk bermain gajet. Keterikatan dan sokongan emosi dalam keluarga turut merenggang kerana setiap ahli keluarga sibuk dengan urusan masing-masing.
Sekiranya terdapat tanda-tanda seperti ini, adalah penting bagi ahli keluarga untuk mengambil langkah awal dan memainkan peranan dalam mengawal penggunaan gajet di kalangan mereka. Salah satu strategi yang boleh digunakan ialah mengadakan perbincangan terbuka mengenai penggunaan gajet dalam keluarga untuk memastikan setiap ahli memahami kesan negatif penggunaan gajet yang berlebihan terhadap hubungan dan komunikasi keluarga. Selepas perbincangan, langkah seterusnya ialah menetapkan peraturan atau waktu tertentu serta zon tanpa gajet bagi meningkatkan interaksi keluarga.
Selain itu, ibu bapa boleh mengatur aktiviti yang menarik seperti aktiviti luar, permainan keluarga, aktiviti kreatif, atau sukarela yang melibatkan semua ahli keluarga. Ibu bapa juga perlu menjadi contoh yang baik dengan mengurangkan penggunaan gajet semasa masa kualiti keluarga dan sentiasa menunjukkan kepada anak-anak bahawa komunikasi secara langsung, seperti berbual, adalah sangat penting.
Namun, sekiranya terdapat ketagihan terhadap penggunaan gajet, adalah penting untuk mendapatkan bantuan daripada profesional. Walaupun ini bukan satu perkara yang mudah, dengan sokongan dan galakan yang betul, ia mampu mendorong ahli keluarga untuk sama-sama memperbaiki dan meningkatkan masa kualiti keluarga.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.
Prof Madya Dr. Azmawaty Mohamad Nor, Nor Aisyah Md Nor
Timbalan Dekan Ijazah Dasar
Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya
Ahli Lembaga, Lembaga Kaunselor Malaysia dan Kaunselor Berdaftar
Lembaga Kaunselor Malaysia
Emel:
Nor Aisyah Md Nor
Kaunselor Pelatih di Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling
Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya