fb fb fb fb fb

Kedudukan CPI Malaysia, perlu lebih fokus kepada tadbir urus

Foto Hiasan

SAUDARA PENGARANG

Malaysia sekali lagi mencatatkan skor 50 Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2024 dengan kedudukan ke-57 untuk tahun kedua berturut-turut.

Pengumuman oleh Presiden Transparency International Malaysia (TI-M), Dr. Muhammad Mohan pada 11 Februari lalu telah mengundang pelbagai reaksi.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam responnya menyatakan bahawa badan tersebut sedang menganalisis pencapaian Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2024 negara yang baru diumumkan.

Pengarah Kanan Bahagian Perancangan Governans Nasional (BPGN) SPRM, Datuk Idris Zaharudin berkata analisis berkenaan akan dibawa kepada Pasukan Petugas Khas CPI yang ditubuhkan tahun lalu yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara (KSN) dan selepas itu barulah SPRM akan mengeluarkan kenyataan berhubung isu ini.

Sehari sebelum pengumum CPI dibuat, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki menzahirkan harapan untuk melihat negara memperoleh skor CPI terbaik.

Beliau berkata, kerajaan sudah melaksanakan banyak insiatif dalam usaha meningkatkan integriti dan tatakelola yang baik.

“Peningkatan integriti dan tatakelola yang baik dilakukan kerajaan dalam usaha meningkatkan ketelusan, mengurangkan ketirisan, memberi perkhidmatan yang terbaik untuk masyarakat termasuklah komitmen dalam memerangi rasuah,” kata beliau.

Mengulas lanjut mengenai hal ini, Dr. Muhammad Mohan menyatakan, untuk mencapai kedudukan ke-25 CPI global seperti yang disasarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2033, negara memerlukan usaha dan komitmen daripada semua pihak.

Bagi mencapai matlamat ini negara memerlukan skor 68-70, di mana perlunya peningkatan skor sekurang-kurangnya dua mata setiap tahun.

Jika diteliti usaha dan komitmen SPRM dalam menjalankan fungsinya sebagai sebuah badan utama dalam usaha pencegahan, penyiasatan, dan pendakwaan kes rasuah di Malaysia, semua tanggungjawab ini telah dilaksanakan dengan baik dan telah mencapai tahap maksimum.

Hampir setiap hari ada sahaja berita penangkapan, penyiasatan, pendakwaan kes-kes rasuah dan sehingga Disember 2024, SPRM telah melaporkan sebanyak 1,334 kes tangkapan berkaitan rasuah.

Justeru, langkah seterusnya ialah memberikan fokus yang lebih kepada aspek "good governance" oleh semua agensi kerajaan.

Ini kerana CPI bukanlah semata-mata tentang rasuah tetapi mencakupi hal berkaitan "good governance" dan aspek ini dilihat masih belum digerakkan sepenuhnya.

Perlu dijelaskan di sini bahawa kerajaan telah memulakan beberapa langkah positif bagi menambah baik tatakelola pentadbiran kerajaan.

Antaranya ialah memperkasa tatakelola dalam perkhidmatan awam bagi memastikan perkhidmatan yang adil, telus dan bertanggungjawab kepada rakyat.

Selain itu, penubuhan Ombudsman Malaysia bagi meningkatkan mekanisme semak dan imbang yang bebas daripada pengaruh eksekutif, pelaksanaan Strategi Pembenterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024-2028 sebagai kesinambungan kepada Pelan Antirasuah Nasional, penggubalan Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal bagi meningkatkan tatakelola, akauntabiliti dan ketelusan dalam pengurusan fiskal negara dan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Tatakelola Nasional (JKKTN).

Usaha murni ini perlu diteruskan dan diluaskan pelaksanaannya kepada semua agensi kerajaan.

Sehubungan itu, antara langkah besar yang boleh dicadangkan ialah skor CPI negara dijadikan sebagai salah satu KPI (Key Performance Index) penting di semua kementerian.

Perkara ini telah dijadikan sebagai salah satu resolusi Persidangan Penyelidikan Governans, Integriti dan Antirasuah, Peringkat Kebangsaan Kali ke-3 pada 26 hingga 27 September 2024.

Sekiranya cadangan ini diterima sudah pasti semua kementerian akan mengambil serius tentang skor CPI negara dan tidak meletakkan tanggungjawab ini dibahu SPRM semata-mata.

Strategi ini boleh dilihat sebagai serampang dua mata yang dapat membantu meningkatkan sistem penyampaian agensi kerajaan dan pada masa yang sama ia dapat meningkatkan skor CPI.

Yang pasti, dengan kerjasama semua pihak, peluang negara untuk mencapai kedudukan 25 terbaik pada tahun 2033 dalam carta CPI sebagaimana yang dihasratkan kerajaan adalah lebih baik.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Prof. Madya Dr. Abd Hakim Mohad

Prof. Madya Dr. Abd Hakim Mohad
Pensyarah Kanan
Pusat Pengajian Teras
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

 

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM