fb fb fb fb fb

Mengukuh kerjasama halal dan ekonomi Malaysia-Turkiye

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdoğan dalam sidang media di Seri Perdana sempena lawatan pemimpin Turkiye di Malaysia pada awal Februari 2025/FB Anwar Ibrahim

SAUDARA PENGARANG

Lawatan rasmi Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan ke Malaysia pada 10 hingga 11 Februari 2025 telah mengukuhkan hubungan perdagangan, pelaburan dan kerjasama halal antara kedua-dua negara. Sepanjang lawatan ini, sebanyak 11 Memorandum Persefahaman (MoU) telah dimeterai, melibatkan pelbagai sektor strategik termasuk peralihan tenaga, pengurusan bencana, kerjasama media, serta industri semikonduktor, elektrik dan elektronik, serta makanan dan minuman halal.

Nilai perdagangan antara Malaysia dan Turkiye terus menunjukkan peningkatan, daripada RM18.7 bilion pada 2023 kepada RM24.13 bilion pada 2024. Kedua-dua negara juga diiktiraf sebagai pemain utama dalam industri halal global, dengan sistem pensijilan dan akreditasi masing-masing.

Malaysia melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengendalikan sistem pensijilan halal yang diiktiraf di peringkat antarabangsa, manakala di Turkiye, Halal Accreditation Turkiye (HAK) memainkan peranan sebagai badan akreditasi rasmi. Turkiye juga menjadi tuan rumah kepada Standard Metrology Institute for Islamic Countries (SMIIC), bawah Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), dengan Malaysia menjadi ahli sejak 2014.

Dari sudut perdagangan, hubungan dua hala ini terus diperkukuh menerusi Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-Turkiye (MT-FTA) yang dimeterai bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI). Pada September 2024, perjanjian ini diperluaskan menerusi Perjanjian JETC, bertujuan memperkukuh lagi hubungan perdagangan antara kedua-dua negara.

Perdagangan halal dan isu pensijilan

Ketika ini, Malaysia sedang membangunkan Dasar Halal Negara bagi mengukuhkan ekosistem halal di peringkat domestik dan antarabangsa. Sehubungan itu, pasukan perunding telah menjalankan lawatan penanda aras (benchmarking) ke Turkiye bagi memahami lebih mendalam pendekatan negara tersebut dalam pensijilan dan akreditasi halal. Lawatan ini turut merangkumi pertemuan dengan Duta Besar Malaysia di Turkiye serta badan-badan pensijilan halal utama seperti Gimdes dan Kascert.

Gimdes dan Kascert merupakan antara badan pensijilan halal di Turkiye yang mendapat pengiktirafan daripada Halal Accreditation Turkiye (HAK). HAK berperanan sebagai badan akreditasi utama di Turkiye yang mengawal selia dan mengesahkan standard halal yang diguna pakai oleh pelbagai entiti pensijilan. Ia berfungsi selari dengan peranan Jabatan Standard Malaysia (JSM) di Malaysia, sekali gus memastikan pematuhan kepada standard halal antarabangsa yang ditetapkan oleh SMIIC di bawah OIC.

Penulis juga telah mengadakan lawatan ke Kedutaan Besar Malaysia di Turkiye dan bertemu dengan Duta Besar Malaysia bagi membincangkan perkembangan serta cabaran yang dihadapi dalam perdagangan halal antara kedua-dua negara. Pertemuan ini turut memberi peluang untuk mendapatkan perspektif mengenai peluang kerjasama ekonomi dan strategi memperkukuhkan hubungan perdagangan halal antara Malaysia dan Turkiye.

Dalam perbincangan bersama Duta Besar Turkiye, persoalan timbul mengenai isu perdagangan halal antara kedua-dua negara, termasuk laporan mengenai beberapa produk dari Malaysia yang tidak dibenarkan memasuki pasaran Turkiye. Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa isu tersebut bukan berpunca daripada pengiktirafan logo halal Malaysia, sebaliknya cabaran perdagangan utama adalah ketidakseimbangan perdagangan, di mana Malaysia mencatatkan lebihan sebanyak RM14 bilion berbanding Turkiye.

Selain itu, banyak badan pensijilan halal di Turkiye menunjukkan minat untuk mendapatkan pengiktirafan Malaysia. Terdapat cadangan agar Malaysia mengenakan caj terhadap pengiktirafan ini, seperti pendekatan digunakan oleh Indonesia dan Arab Saudi.

Bagaimanapun, caj yang dikenakan disarankan dalam mata wang lebih stabil seperti Dolar AS, bagi memastikan daya saing dalam pasaran antarabangsa. Sebarang keputusan dalam hal ini juga perlu mengambil kira peraturan yang ditetapkan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO).

Potensi kerjasama ekonomi dan pelaburan

Dari segi pelaburan, Turkiye kini telah melabur sekitar USD127 juta di Malaysia, manakala pelaburan Malaysia di Turkiye telah mencecah USD200 bilion. Namun, terdapat ketidakseimbangan dalam sektor pelancongan dan pendidikan. Setiap tahun, kira-kira 100,000 pelancong Malaysia mengunjungi Turkiye, berbanding hanya 17,000 pelancong Turkiye ke Malaysia.

Dalam bidang pendidikan pula, seramai 342 pelajar Malaysia sedang melanjutkan pengajian di Turkiye, manakala hanya 187 pelajar Turkiye menuntut di Malaysia.

Selain sektor pembuatan, Malaysia digalakkan untuk memperluaskan pelaburan dalam sektor lain yang boleh memberikan impak ekonomi lebih besar. Turkiye juga menunjukkan minat tinggi untuk menjalinkan kerjasama perniagaan dengan Malaysia, namun terdapat cabaran dari segi pemantauan dan kawalan operasi syarikat Turkiye yang sering diserahkan sepenuhnya kepada rakan kongsi tempatan.

Malaysia sebagai peneraju ekosistem halal global

Dalam usaha mengekalkan Malaysia sebagai peneraju industri halal global, peranan JAKIM sahaja tidak mencukupi. Kerjasama lebih erat dengan pelbagai pihak termasuk kerajaan, industri dan badan antarabangsa diperlukan. Kementerian Luar Negeri (KLN) melalui Halal Desk di Bahagian Diplomasi Digital (BDD) juga memainkan peranan penting dalam mengembangkan ekosistem halal Malaysia di peringkat antarabangsa.

Turkiye pula telah mengambil inisiatif dengan menubuhkan Halal Center of Excellence menunjukkan komitmen mereka dalam membangunkan kapasiti halal global. Malaysia boleh mencontohi langkah ini dengan memperkukuh latihan dan pembangunan kapasiti halal yang sudah pun dijalankan. Selain itu, Malaysia Technical Cooperation Programme (MTCP) bawah KLN boleh digunakan sebagai platform memperluaskan kerjasama antarabangsa dalam industri halal.

Bagi meningkatkan kesedaran global mengenai standard halal Malaysia, lebih banyak bahan promosi seperti video, podcast, dan kandungan digital lain perlu dihasilkan. Malaysia juga dicadangkan untuk berbincang dengan MITI bagi memperkenalkan dasar pelaburan yang lebih strategik untuk menyokong perkembangan industri halal.

Kerjasama Malaysia dan Turkiye dalam sektor halal dan ekonomi terus berkembang dengan potensi besar. Walaupun terdapat cabaran dalam aspek pensijilan dan akreditasi halal, usaha berterusan harus dilakukan bagi mencari penyelesaian yang menguntungkan kedua-dua pihak. Dengan strategi yang tepat, sokongan kerajaan, dan kerjasama erat antara pemain industri, Malaysia berupaya mengekalkan kedudukannya sebagai peneraju industri halal global.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

PROF MADYA DR ZALINA ZAKARIA
Prof. Madya Dr. Zalina Zakari
Pengarah
Pusat Kajian Halal Universiti Malaya (UMHRC)
e-mel: Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.

MAT YUNUS BIN SABRI