SAUDARA PENGARANG
Sektor ekonomi tidak formal memainkan peranan penting dalam menyokong kelangsungan hidup jutaan individu, khususnya di negara membangun. Di Malaysia, sektor ini menjadi sumber pendapatan utama bagi ramai wanita, terutamanya golongan B40 yang sering terpinggir daripada ekonomi arus perdana.
Namun hakikatnya, sektor ini menawarkan peluang besar kepada wanita dan ia berpotensi untuk maju dalam menyumbang kepada aliran ekonomi negara. Walaupun begitu, ia disertai dengan pelbagai cabaran yang memerlukan perhatian dan intervensi daripada pelbagai pihak.
Artikel ini membincangkan peluang dan cabaran yang dihadapi wanita dalam sektor ekonomi tidak formal serta cadangan untuk memperkasakan peranan mereka.
Pentingkah sektor ekonomi tidak formal?
Sektor ekonomi tidak formal merujuk kepada aktiviti ekonomi yang tidak dikawal oleh peraturan rasmi atau tidak didaftarkan dengan pihak berkuasa. Ini termasuk pekerjaan seperti penjaja kecil, pekerja rumah tangga, penjual di pasar malam, dan perkhidmatan penjagaan anak.
Walaupun sektor ini sering dipandang sebelah mata, tetapi ia memberikan pelbagai manfaat yang signifikan. Sektor ini menyediakan peluang pendapatan, terutamanya bagi wanita yang tidak dapat bekerja dalam sektor formal sekali gus membuka ruang untuk mereka meningkatkan ekonomi keluarga.
Selain itu, sektor ini turut menggalakkan kemahiran keusahawanan dengan membolehkan wanita memulakan perniagaan kecil dengan modal rendah, lantas menyumbang kepada peningkatan ekonomi peribadi dan komuniti.
Lebih penting lagi, sektor ini berperanan dalam mengurangkan kadar kemiskinan dengan menjadikan ia sebagai sumber pendapatan tambahan bagi keluarga yang berpendapatan rendah, sekali gus dapat meningkatkan taraf hidup dan kestabilan ekonomi mereka. Melihat kepada kepentingan tersebut, boleh dikatakan terdapat banyak peluang untuk golongan wanita terlibat dalam sektor ekonomi tidak formal.
Peluang signifikan untuk wanita
Sektor ekonomi tidak formal memberi peluang signifikan kepada wanita di Malaysia. Melihat kepada syarat sektor ini yang lebih fleksibel dan modal yang rendah, malah ia membantu meningkatkan kemahiran keusahawanan mereka. Contoh lebih spesifik dapat dilihat pada kebanyakan golongan wanita menceburkan diri dengan perniagaan di pasar malam atau sebagai peniaga kecil di sekitar kejiranan mereka.
Fleksibiliti masa dan tempat adalah salah satu kelebihan utama bagi sektor ini. Sebagai contoh, seorang ibu, Noraini tinggal di kawasan bandar dengan menjalankan perniagaan menjual kuih tradisional dari rumah, dan menggunakan laman sosial untuk menerima tempahan.
Dia dapat menyusun masa untuk menyiapkan kuih pada waktu lapang, sambil menjaga anak-anaknya. Fleksibiliti ini membolehkan wanita seperti Noraini menyeimbangkan tanggungjawab keluarga dan kerja tanpa perlu berpisah jauh dari rumah.
Dalam aspek modal rendah, banyak wanita memanfaatkan peluang perniagaan yang memerlukan sedikit pelaburan awal. Sebagai contoh, Siti Aisyah, seorang ibu tunggal, memulakan perniagaan menjual pakaian terpakai menerusi platform dalam talian seperti Shopee dengan modal sangat minimum.
Dia hanya membeli pakaian terpakai daripada pembekal tempatan dengan harga berpatutan dan menjualnya semula melalui media sosial. Modal rendah ini memungkinkan wanita seperti Siti Aisyah memulakan perniagaan tanpa perlu modal besar.
Dari segi peningkatan keupayaan keusahawanan, wanita yang terlibat dalam sektor ekonomi tidak formal sering kali mengasah kemahiran penting dalam perniagaan. Contohnya, Farah yang memulakan perniagaan kecil menjual makanan segera di pasar malam. Dia tidak hanya belajar tentang cara menyediakan makanan yang menyelerakan tetapi juga belajar mengurus kewangan perniagaan dan memasarkan produknya melalui media sosial.
Farah kini sudah mempunyai pengikut yang ramai dan dapat menguruskan keuntungannya untuk menambah variasi menu, sekali gus memperkukuh kemahiran keusahawanannya.
Pengukuhan jaringan sosial juga menjadi faktor penting dalam sektor ini. Sebagai contoh, Aida, yang menjual bunga segar di sekitar kawasan perumahan, telah membina hubungan yang baik dengan pelanggannya. Selain menjual bunga, Aida sering kali berinteraksi dengan komuniti sekitarnya, memberikan nasihat tentang penjagaan bunga dan berkongsi tip berkebun.
Ini bukan sahaja mempererat hubungan sosial tetapi turut membantu meningkatkan jualan dan meningkatkan sokongan moral dalam menjalankan perniagaan.
Secara keseluruhannya, sektor ekonomi tidak formal memberi peluang kepada wanita untuk mencapai kebebasan ekonomi, menambah baik kemahiran, dan mengembangkan jaringan yang kukuh, yang akhirnya meningkatkan kualiti hidup mereka dan komuniti sekeliling. Namun, terdapat beberapa cabaran dalam sektor ekonomi tidak formal antaranya:
Cabaran dihadapi wanita
Walaupun sektor ekonomi tidak formal memberi peluang kepada wanita untuk menjana pendapatan, terdapat beberapa cabaran besar yang mereka hadapi. Seperti ketiadaan perlindungan sosial. Kebanyakan wanita dalam sektor ini tidak mempunyai akses kepada perlindungan seperti insurans kesihatan, pencen, atau faedah pekerjaan.
Ini menjadikan mereka terdedah kepada risiko besar jika berlaku penyakit atau kemalangan, kerana mereka mungkin tidak dapat bekerja dan seterusnya kehilangan pendapatan yang sangat diperlukan.
Selain itu, pendapatan tidak stabil juga merupakan masalah utama bagi ramai wanita yang terlibat dalam sektor ini. Pendapatan mereka sering kali bergantung kepada musim, permintaan pasaran, atau keadaan ekonomi.
Sebagai contoh, peniaga makanan di pasar malam mungkin mendapat pendapatan yang lebih tinggi semasa musim perayaan, tetapi pendapatan mereka boleh merosot pada musim lain apabila permintaan kurang. Ketidakpastian pendapatan ini menyukarkan wanita untuk merancang kewangan jangka panjang.
Akses kepada modal dan kredit juga menjadi cabaran besar. Ramai wanita yang ingin mengembangkan perniagaan mereka menghadapi kesukaran mendapatkan pinjaman atau pembiayaan mikro, terutama jika mereka tidak mempunyai cagaran atau dokumen rasmi yang diperlukan. Ini mengehadkan peluang mereka untuk mengembangkan perniagaan atau melabur dalam peningkatan produk dan perkhidmatan.
Di samping itu, wanita dalam sektor ini sering berdepan dengan stigma sosial dan pengiktirafan . Pekerjaan mereka sering dipandang rendah atau dianggap tidak penting dan kurang berprestij, walaupun mereka bekerja keras untuk menyara keluarga. Stigma ini menghalang mereka daripada mendapatkan pengiktirafan yang sewajarnya, baik dari segi sosial mahupun kewangan.
Akhir sekali, isu perundangan dan peraturan juga memberi tekanan kepada wanita dalam sektor ini. Kekurangan dokumen rasmi atau lesen perniagaan menyebabkan mereka terdedah kepada penguatkuasaan undang-undang yang ketat, yang mungkin menghalang mereka daripada menjalankan perniagaan dengan bebas.
Misalnya, peniaga kecil yang tidak mempunyai lesen sah mungkin dikenakan denda atau diarah untuk menghentikan perniagaan mereka, walaupun mereka hanya mencari cara untuk menyara hidup.
Semua cabaran ini menunjukkan bahawa walaupun sektor ekonomi tidak formal memberikan peluang, ia juga membawa risiko yang perlu ditangani. Untuk membantu wanita dalam sektor ini, sokongan daripada kerajaan dan masyarakat adalah penting, termasuk memberikan akses kepada perlindungan sosial, pembiayaan mikro, dan pengiktirafan yang lebih tinggi terhadap pekerjaan mereka.
Bagaimana mereka boleh dibantu?
Untuk memperkasakan wanita dalam sektor ekonomi tidak formal, beberapa langkah praktikal boleh diambil. Program latihan dan pendidikan adalah langkah pertama yang penting. Ini termasuk menawarkan latihan kemahiran seperti pemasaran digital, perakaunan asas, dan pengurusan perniagaan kecil untuk membantu wanita menguruskan perniagaan mereka dengan lebih efektif.
Selain itu, pendidikan literasi kewangan dapat membantu wanita mengurus pendapatan mereka dengan bijak, memastikan perniagaan mereka kekal stabil dan berkembang. Seterusnya, akses kepada pembiayaan mikro perlu diperbaiki. Menyediakan skim pinjaman mikro dengan syarat mudah dan kadar faedah rendah akan membantu wanita yang ingin memulakan atau mengembangkan perniagaan mereka.
Ini akan memberi mereka peluang untuk memulakan perniagaan tanpa perlu terbeban dengan hutang yang tinggi, memberi mereka peluang yang lebih adil untuk berjaya.
Selain itu, perlindungan sosial juga perlu diberi perhatian. Menggalakkan skim insurans yang khusus untuk wanita dalam sektor ekonomi tidak formal adalah penting untuk memberi mereka perlindungan daripada risiko kehilangan pendapatan akibat kecederaan atau penyakit.
Di samping itu, program sokongan kewangan semasa krisis, seperti pada waktu pandemik atau bencana alam, boleh membantu wanita untuk terus bertahan dan menjaga perniagaan mereka dalam tempoh sukar.
Pengiktirafan dan mengawal selia juga penting dalam memperkasakan wanita dalam sektor ini. Mewujudkan dasar yang mengiktiraf sektor ekonomi tidak formal sebagai penyumbang penting kepada ekonomi negara akan memberi penghargaan kepada wanita terlibat.
Selain itu, mempermudah proses pendaftaran perniagaan kecil akan memberikan wanita perlindungan undang-undang dan memastikan mereka dapat menjalankan perniagaan mereka dengan lebih selamat dan terjamin.
Akhir sekali, promosi dan sokongan pasaran boleh memperkukuhkan kedudukan wanita dalam sektor ini. Pihak kerajaan boleh menyediakan platform untuk memasarkan produk dan perkhidmatan mereka seperti bazar komuniti atau laman e-dagang akan membantu wanita mencapai lebih ramai pelanggan.
Kempen kesedaran mengenai kepentingan sektor ini juga boleh meningkatkan penghargaan terhadap wanita dalam ekonomi tidak formal, memberikan mereka lebih banyak peluang dan sokongan.
Dengan melaksanakan langkah-langkah ini, wanita dalam sektor ekonomi tidak formal dapat diberi lebih banyak peluang untuk berkembang, sambil mendapatkan sokongan yang mereka perlukan untuk berjaya dalam perniagaan mereka.
Kesimpulan
Sektor ekonomi tidak formal menawarkan peluang besar untuk memperkasakan wanita, khususnya golongan B40, dengan menyediakan sumber pendapatan, fleksibiliti, dan peluang keusahawanan.
Namun, cabaran seperti ketiadaan perlindungan sosial, stigma, dan akses terhad kepada modal perlu diatasi melalui sokongan dasar, program latihan, dan pengiktirafan. Dengan pendekatan yang holistik, wanita dalam sektor ekonomi tidak formal bukan sahaja dapat meningkatkan taraf hidup mereka, tetapi juga menyumbang secara signifikan kepada pembangunan ekonomi negara.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.
Dr. Aza Shahnaz Azman
Pensyarah di Jabatan Ekonomi & Kewangan
Universiti Islam Selangor
Fadilah Mat Nor
Pensyarah di Jabatan Ekonomi & Kewangan
Universiti Islam Selangor