SURAT PEMBACA
Seperti kita sedia maklum, dunia bergerak semakin pantas, teknologi berkembang semakin pesat seiring dengan lidah dalam mengungkapkan kata-kata kesat. Ini menjadi bukti bahawa perubahan berikut tidak hanya mengubah kaedah komunikasi, malah turut mempengaruhi cara berinteraksi dan tingkah laku individu.
Akan timbulnya ucapan kebencian seiring dengan kemajuan teknologi seperti penggunaan platform media sosial antaranya menerusi Instagram, X, WhatsApp, Facebook dan Telegram.
Ucapan kebencian merupakan ucapan awam yang menyatakan kebencian atau menggalakkan keganasan terhadap individu serta kumpulan berdasarkan sesuatu perkara seperti jantina, bangsa, agama dan orientasi seksual.
Tanpa disedari, ucapan kebencian ini boleh disamakan dengan racun mahupun dadah yang berbahaya kerana kesannya meluas dan berlarutan.
Ketersediaan media sosial pula menjadi pengaruh amat kuat sehingga berjaya mengawal fikiran dan mengisi jiwa masyarakat. Lebih malang, kandungan-kandungan yang terdapat di media sosial mampu memberi impak besar terhadap emosi dan pandangan individu.
Kesannya, masyarakat acap kali berdepan dengan pertarungan antara realiti dan persepsi yang dibentuk oleh media. Tidak hanya setakat itu, pandangan orang ramai terhadap sesuatu isu juga akan dipengaruhi oleh ucapan kebencian; akhirnya akan mendorong kepada permusuhan dan jenayah kemanusiaan yang tidak terkawal.
Individu yang melakukan ucapan kebencian secara dalam talian ini turut digelar sebagai keyboard warrior juga penyerang tidak berwajah yang lantang menaip papan kekunci atau skrin telefon bagi menyampaikan hujah dan pendapat mereka tanpa peduli akan rasional, adab serta perasaan mangsa.
Mereka ini mendorong terjadinya buli siber atau cyberbullying yang kian menjadi-jadi pada masa kini. Buli siber merupakan ancaman siber ketiga terbesar di Malaysia, sejurus selepas penipuan dan penggodaman dalam talian.
Berdasarkan statistik mengenai buli siber di Malaysia sehingga Oktober 2023 menunjukkan peningkatan signifikan sebanyak 4,994 kes berbanding tahun sebelumnya, 2022 iaitu sebanyak 3,887 kes.
Statistik ini agak membimbangkan kerana peningkatan kes buli siber semakin serius saban tahun. Peningkatan masalah disiplin dalam kalangan pelajar sekolah juga turut meningkat dek berhubung kait dengan masalah buli siber.
Sejak akhir-akhir ini, isu ucapan kebencian dalam talian sudah menjadi norma dalam kehidupan harian, terutama sekali kalangan warma muda termasuk pelajar sama ada di peringkat sekolah mahupun institusi pengajian tinggi. Malah, tidak keterlaluan seakan menjadi trend menular dalam kalangan mereka.
Pada masa kini, remaja dibesarkan dengan kewujudan teknologi yang semakin canggih dan kebanyakan ibu bapa juga semakin tidak cakna dan tidak mengambil serius akan pentingnya untuk mendidik anak-anak mereka tentang had pendedahan teknologi.
Jika perkara ini tidak dibendung, isu seperti penyalahgunaan media sosial akan menjadi semakin berleluasa sehingga mampu memberi impak mendalam terhadap mangsa yang dibuli.
Faktor-faktor berlakunya gejala buli dan siber buli dikenal pasti berkait rapat antara satu sama lain. Antara isu hangat yang menjadi penyebab berlakunya gejala buli siber dalam kalangan pelajar adalah isu perkauman ataupun sering dikenali sebagai racism.
Sebagai sebuah negara yang wujud dengan masyarakat berbilang kaum, isu perkauman bukanlah perkara asing yang dialami oleh masyarakat di negara ini. Hal ini melibatkan semua masyarakat daripada pelbagai peringkat umur termasuklah pelajar sekolah.
Budaya membuli berdasarkan status taraf hidup pelajar juga merupakan salah satu faktor utama berlakunya buli siber. Lebih-lebih lagi kepada pelajar yang berasal daripada keluarga kurang berkemampuan.
Perkongsian gambar atau video yang tidak sesuai juga merupakan salah satu faktor berlakunya gejala buli siber ini. Pembuli akan menyebarkan gambar ataupun video peribadi, hubungan intim dengan niat untuk memalukan atau memeras ugut mereka.
Penyebab utama pelajar cenderung melakukan buli siber ini adalah untuk kepuasan diri selain mendapatkan populariti atau kuasa daripada rakan sebaya.
Kegagalan pihak tertentu dalam mengambil inisiatif untuk menangani isu ini menyebabkan keadaan menjadi semakin sukar untuk diatasi.
Terdapat beberapa aspek kesan buli siber iaitu psikologi, fizikal, sosial dan akademik. Mangsa buli akan mula berasa tertekan, seterusnya mendorong berlakunya perkara yang tidak diingini seperti masalah kemurungan atau lebih serius bunuh diri.
Ia berlaku kerana lazimnya mangsa tiada lagi upaya untuk menghadapi tekanan jiwa melampau dihadapinya.
Mengambil contoh, kejadian di Padawan, Sarawak, melibatkan seorang remaja dilaporkan membunuh diri selepas hasil undian dalam talian dilakukannya lebih banyak menyuruh berbuat demikian. Kes ini telah menarik perhatian penaung Persatuan Psikiatrik Malaysia (MPA), Tan Sri Lee Lam Thye.
Sebenarnya, pencegahan awal dapat dibuat dengan memberi perhatian sepenuhnya kepada mangsa buli. Ia kerana kebanyakan kes mangsa buli takut untuk mengadu atau meluahkan masalah dialami.
Ini adalah kerana wujudnya persepsi dan ugutan yang menentang mangsa buli untuk tampil berterus-terang akan masalah dihadapi.
Berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada di negara ini, terdapat tiga undang-undang yang berkait dengan isu kesalahan penyebaran ucapan kebencian.
Seksyen 504 Kanun Keseksaan iaitu sengaja mengaibkan seseorang dengan niat hendak memecahkan keamanan awam.
Seksyen 505 Akta Kanun Keseksaan iaitu membuat, menerbitkan atau menyebarkan khabar angin yang menyebabkan ketakutan kepada orang awam. Kedua-dua akta itu boleh dikenakan hukuman denda dan atau penjara sehingga dua tahun.
Undang-undang terakhir bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia adalah kesalahan penggunaan tidak wajar perkhidmatan atau kemudahan internet yang boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM50,000 dan atau penjara sehingga 1 tahun.
Dalam Islam, wujud satu tuntutan yang menyuruh umatnya untuk mengeluarkan perkataan dan ucapan yang baik kerana ia merupakan perbuatan terpuji dan mendatangkan kebaikan.
Allah SWT memerintah untuk mengucapkan perkataan yang baik dan memberi kesenangan kepada orang lain. Ini terbukti dalam surah al- Baqarah ayat 83 Allah SWT berfirman: “Ucapkanlah kata-kata yang baik kepada manusia.”
Peribahasa juga mengatakan “dikulum menjadi manikam, dimuntahkan menjadi sekam” yang membawa maksud diam itu lebih baik dari berkata-kata. Maka, fikir kembali apa yang ingin diperkatakan. Adakah ia memberi kebaikan mahupun kemudaratan?
Bertepatan dalam usaha untuk mewujudkan kesedaran dan menangani ucapan kebencian dalam konteks undang-undang di Malaysia, pelajar dari Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam bakal menganjurkan program bawah inisiatif Service Learning Malaysia-University for Society (SULAM) dengan kerjasama program Generasi Madani (GenMADANI).
Ia antara wadah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk membina karakter bangsa Malaysia menjadi generasi beradab, berakhlak dan berintegriti.
Program Apa Ke Hei Kome Ni Yeop? bertemakan “Hate Speech” ini akan memberi kesedaran dan membuka mata pelajar tingkatan empat Kolej Vokasional Ipoh, Perak iaitu seramai kira-kira 105 orang pelajar berkaitan isu ungkapan kebencian atas talian.
SULAM merupakan program komuniti dijayakan pelajar komunikasi daripada program MC244, Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa (Kepujian) Periklanan, UiTM Shah Alam.
Fatin Nabilah Anuar
Jabatan Perhubungan Awam
Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahupun pendirian rasmi RTM.