fb fb fb fb fb

Empati dan rungkai stigma terhadap bekas penagih dadah

Foto hiasan/Arkib Bernama

SURAT PEMBACA

Dalam kancah yang seringkali dicerobohi oleh bayangan stigma dan kebencian, setiap hari adalah cabaran yang seakan-akan tiada penghujung bagi bekas penagih dadah dek kerana mereka sering menjadi sasaran wacana kebencian tiada alasan.

Stigma terhadap mereka masih lagi teguh berakar, menyebabkan mereka dikecam tanpa kita fahami proses pemulihan yang mereka jalani. Dengan menghadapi stigma masyarakat dan mungkin juga pergolakan dalaman yang sukar difahami oleh orang ramai, mereka memerlukan lebih daripada sekadar keberanian untuk bangkit semula.

Bekas penagih dadah bukanlah sekadar angka statistik atau suatu label negatif. Mereka adalah manusia yang mengalami penderitaan dan berusaha untuk mencari jalan keluar akibat kecanduan mereka.

Namun, ungkapan kebencian seringkali dilontarkan kepada mereka. Ini membawa kepada stigma yang merosakkan, menghalang proses pemulihan, dan menafikan hak asasi manusia yang mesti dihormati oleh semua individu.

Sebagai seorang individu yang hidup dalam sebuah masyarakat, kita perlu meneliti fenomena ini dan mencari jalan untuk mengubahnya.

Bukan rahsia lagi bahawa penyalahgunaan dadah adalah masalah serius yang memerlukan penyelesaian komprehensif dan empati.

Namun, apabila individu yang terlibat dalam masalah ini dihukum dengan ucapan kebencian dan pengecaman, ia hanya menambah beban kepada mereka serta menghalang proses untuk pulih.

Apa yang membimbangkan adalah kita sering terjebak dalam jerat stigma yang memisahkan kita daripada realiti sebenar bekas penagih dadah. Bekas penagih dadah adalah individu yang telah melalui perjalanan sukar dan mencabar.

Mereka telah mengalami tekanan emosi, fizikal, dan mental semasa bergelut dengan kecanduan dadah. Melontarkan ucapan kebencian kepada mereka tanpa memahami perjalanan serta usaha mereka untuk berubah adalah tindakan yang amatlah tidak bermoral.

Sebagai masyarakat yang prihatin, adalah penting untuk menggantikan kebencian dengan pemahaman dan sokongan. Kita seharusnya beri peluang kepada bekas penagih dadah untuk membuktikan bahawa mereka mampu berubah sekali gus menyumbang kepada masyarakat.

Sokongan daripada ahli keluarga, rakan sebaya dan masyarakat adalah kunci untuk membantu mereka pulih dan bangkit semula.

Justeru untuk mengubah ungkapan kebencian terhadap bekas penagih dadah, pendidikan dan kesedaran perlu disemai dalam diri kita.

Masyarakat perlu diberi pengetahuan yang tepat mengenai isu dadah dan pemulihannya, serta pentingnya memberi sokongan kepada individu terlibat. Dengan memperluaskan persepsi dan menggalakkan empati, kita dapat membangun masyarakat yang lebih inklusif dan berdaya maju.

Justeru, bagi melahirkan individu bermoral, kita perlu menolak stigma dan memilih untuk berempati dengan mereka yang berusaha untuk berubah. Memberi sokongan moral dan praktikal kepada bekas penagih dadah adalah langkah penting dalam memupuk persekitaran yang menyokong pemulihan dan reintegrasi mereka ke dalam masyarakat.

Bukankah mereka juga layak juga untuk dihormati dan diberi peluang untuk mengubah kehidupan mereka?

Untuk itu, seramai 33 pelajar Sarjana Muda Komunikasi Massa (Kepujian) Perhubungan Awam, UiTM Shah Alam mengambil satu initiatif untuk memberi kesedaran kepada masyarakat melalui program “One’s Aid Society 3.0: PaHATE” yang bakal dijalankan di Madrasah Khairul Insan (HATI), Hulu Terengganu.

Seramai 60 orang peserta dalam kalangan bekas penagih dadah akan turut menyertai program tersebut.

Uzma Adanee Mohd Fauzi
Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media
Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahupun pendirian rasmi RTM.

MAT YUNUS BIN SABRI