SURAT PEMBACA
Era pascaperindustrian dan pascaglobalisasi yang serba mencabar akal dan minda kita telah menyebabkan fenomena ‘troll’ dalam talian semakin meningkat dan membawa cabaran baharu dalam usaha membendung ucapan kebencian di Malaysia.
Troll dalam talian bukan sekadar mengeluarkan ucapan kebencian malah akan memberi kesan kepada keharmonian negara kita. Persoalannya, pernahkan terlintas dalam minda kita, apakah akan berlaku sekiranya troll semakin menjadi-jadi, bagai cendawan tumbuh selepas hujan?
Troll didefinisikan sebagai hasut maya. Istilah ini merujuk kepada individu atau kumpulan yang sengaja mencetuskan hasutan dalam talian untuk menimbulkan provokasi dan kontroversi dalam ruang maya.
Mereka menggunakan platform seperti Facebook, Instagram, X, dan Tiktok untuk menyebarkan hasutan sama ada berkaitan perkauman, agama, politik, dan lain-lain. Hal ini akan mengakibatkan ucapan kebencian semakin meningkat.
Sebenarnya, hasut maya dipengaruhi banyak faktor seperti ketidakpuasan politik, perkauman, dan perbezaan agama. Sesetengah individu yang melakukan hasut maya semata-mata untuk keseronokan. Mereka berasa kuat dan berpengaruh tatkala melihat reaksi marah atau sedih dari pengguna lain.
Hasut maya sering digunakan sebagai alat propaganda pentas siasah untuk menyebarkan maklumat palsu atau separa benar untuk mencemarkan imej parti atau individu tertentu. Hasut maya juga menggunakan isu-isu perkauman dan agama untuk menimbulkan ketegangan dan menyebabkan perbalahan. Isu ini sangat sensitif dan mudah menimbulkan perbalahan kerana Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum, bangsa dan agama.
Rentetan senario itu, ucapan kebencian menerusi dalam talian semakin menjadi-jadi dan menyebabkan kesukaran dalam mencegah perkara itu. Justifikasinya, individu akan menyebarkan hasut maya yang berbaur ucapan kebencian supaya masyarakat akan menjadi huru hara dan bergaduh sesama sendiri.
Situasi ini akan menjadi masalah harian yang kerap berlaku dan sukar dibendung jika tiada akar yang dapat menyelesaikan. Ucapan kebencian ini akan memberi banyak kesan kepada ramai pihak seperti kesan terhadap individu , masyarakat dan negara.
Kesan-kesan hasut maya kepada mangsa adalah pelbagai dan boleh memberikan impak mendalam merangkumi pelbagai aspek kehidupan. Mangsa-mangsa hasut maya pula sering mengalami masalah kesihatan mental tamsilnya tekanan emosi dan kemurungan.
Justeru, ucapan kebencian dan serangan peribadi boleh memberi kesan mendalam terhadap kesejahteraan mental masyarakat. Selain Itu, kesan hasut maya juga boleh menyebabkan negara menjadi huru hara seterusnya memberi kesan kepada ekonomi, keharmonian masyarakat juga kestabilan negara.
Kesan ucapan kebencian adalah meluas. Ia boleh menghakis kepercayaan sosial, menghasut keganasan, dan meminggirkan kumpulan yang sudah terdedah. Berdasarkan statistik dikeluarkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) pada tahun 2022 menunjukkan bahawa sebanyak 1,700 aduan berkaitan ucapan kebencian mengenai kaum, agama dan institusi Diraja.
Ini menyerlahkan kelaziman isu dan potensi bahaya dunia sebenar. Lantaran itu, kami pelajar komunikasi dari program MC242, Sarjana Muda Komunikasi Massa (Kepujian) Perhubungan Awam, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, UiTM Shah Alam telah mengambil inisiatif mengadakan program untuk meningkatkan kesedaran tentang ucapan kebencian.
Program dinamakan "SeeMeThru: Tegur Jangan Sampai Menyindir," itu melibatkan pelajar sekolah di SMK Khir Johari, Sungai Petani. Program ini menekankan kepentingan menangani ucapan kebencian dan menyebarkan impak akan bahana ucapan kebencian pada masa akan datang.
Matlamat utama program “SeeMeThru: Tegur Jangan Sampai Menyindir” adalah untuk mendidik para pelajar cara mengenali dan mencegah ucapan kebencian setertusnya menggalakkan mereka supaya berkomunikasi dengan cara baik dan sopan.
Selain itu, ia juga dilihat sebagai langkah proaktif dalam mendidik pelajar berhubung ucapan kebencian persis peribahasa Melayu iaitu melentur buluh biarlah dari rebungnya.
Sebagai kesimpulan usaha menangani hasut maya dalam talian dan penyebaran ucapan kebencian di Malaysia berdepan cabaran besar apatah lagi dalam era digital yang semakin pesat berkembang.
Meskipun teknologi telah membawa banyak kebaikan, hakikat yang tidak dapat dielak telah membuka ruang bagi penyalahgunaan. Justeru, usaha berterusan daripada semua pihak, termasuk kerajaan, platform media sosial dan masyarakat sivil diperlukan untuk memastikan ruang maya yang lebih selamat dan harmoni.
Menerusi kerjasama padu, kita boleh mengurangkan kesan negatif hasut maya dalam talian dan memupuk budaya komunikasi yang lebih baik dan beradab.
Nur Marlissa Indah
UiTM Shah Alam
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahupun pendirian rasmi RTM.