fb fb fb fb fb

Kawal selia penilaian saham untuk ECF

Foto hiasan/Fail RTM

SAUDARA PENGARANG

Pendanaan awam berasaskan ekuiti (ECF) adalah pasaran berbentuk dua hala bertujuan untuk menghubungkan usahawan dengan pelabur. Platform ini membolehkan usahawan mengiklankan perniagaan permulaan mereka di laman web. Ahli platform ini boleh melihat peluang pelaburan tersebut dan kemudian memutuskan sama ada untuk melabur berdasarkan syarat yang dicadangkan dalam dokumen pelaburan.

Bergantung kepada struktur platform, pelaburan memberi hak kepada pelabur dari ahli platform tersebut untuk membeli saham secara langsung dari perniagaan usahawan tersebut. Di Malaysia ECF dikawal selia oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC). ECF harus menjadi pilihan pembiayaan alternatif berdaya maju untuk meningkatkan pemulihan PKS.

Berdasarkan Laporan Tahunan 2022, Malaysia Co-Investment Fund (MyCIF), jumlah dana diperoleh daripada ECF berjaya membuat sebanyak 241 kempen dan mendapatkan dana untuk pelaburan sebanyak RM461 juta. 100% daripada dana ECF yang dikumpulkan oleh industri PKS.

Pada tahun 2022, 28% daripada kempen dilancarkan dengan ECF ini adalah untuk perniagaan di luar lembah Klang, 8% adalah berlandaskan Shariah dan 26% adalah kempen dalam industri pertanian.

Bagaimanapun, terdapat kebimbangan mengenai permintaan mendadak dalam pasaran ECF, yang boleh menghakis keyakinan pelabur. Salah satu daripadanya ialah keperluan mendesak untuk amalan penilaian saham yang adil.

Penilaian saham adalah sangat penting di ECF, bukan sahaja semasa fasa penjanaan modal (penilaian prawang) tetapi juga apabila pelabur keluar daripada pelaburan mereka (penilaian selepas wang).

ECF perlu mengambil kira cara menampung kerugian supaya secara purata pelabur daripada ahli platform mendapat pulangan berbaloi dengan risiko diambil. Pelabur boleh menjual saham mereka pada masa depan untuk mendapatkan semula wang dilaburkan.

Walaupun ini merupakan cabaran kerana bilangan pilihan keluar kemungkinan lebih rendah. Saluran keluar paling biasa digunakan adalah melalui penjualan saham sama ada kepada pelabur lain atau pemilik perniagaan tersebut.

Secara ideal, bagi usahawan yang menunjukkan prestasi pernigaan yang baik, penjualan saham boleh dibuat melalui penawaran awam permulaan supaya saham pelabur juga disenaraikan secara awam di pasaran saham.

Antara aspek yang membimbangkan ialah, tidak seperti saham yang didagangkan secara terbuka, memandangkan tiada pasaran sekunder untuk saham ECF, pengendali platform ECF membenarkan usahawan kebebasan yang ketara dalam memilih alat penilaian untuk menilai syarikat mereka.

Fleksibiliti tanpa had ini boleh membawa kepada penilaian yang melambung tinggi, sekali gus memberi kesan negatif kepada pelabur. Selain itu, pengendali platform ECF menjana pendapatan berdasarkan dana yang diperoleh melalui kempen. Saiz modal berkait rapat dengan penilaian yang ditetapkan oleh penerbit.

Akibatnya, kekurangan ketelusan risiko memberi beban lebih tinggi kepada pelabur ECF, memaksa mereka untuk mengambil bahagian risiko lebih besar daripada keseluruhan risiko perniagaan berbanding dengan pulangan dijangkakan.

Rangka kerja kawal selia yang ditubuhkan oleh SC berfungsi sebagai asas yang baik untuk memastikan kemampanan ECF. Untuk mencapai hasil ECF yang adil, dasar SC harus mencari keseimbangan antara peranan SC dalam melindungi pelabur ECF dan memudahkan akses kepada kewangan serta dapat mengurangkan kekangan kewangan PKS.

Peraturan yang lebih ketat bukanlah jalan penyelesaian kepada penilaian saham yang adil kerana ia akan meningkatkan kepada kos yang lebih tinggi untuk pengendali platform ECF dan kedua; usahawan yang memilih dana dikumpul melalui ECF memerlukan lebih fleksibiliti dan kos urus niaga ebih rendah disebabkan risiko tinggi yang wujud bagi perniagaan sebegini untuk lebih maju.

Oleh itu, adalah penting bagi pelabur untuk menjalankan penilaian risiko secara menyeluruh dan bersedia menghadapi sebarang kemungkinan dari pelaburan mereka.

PENULIS DR MOHAMED HISHAM HANIFA Pensyarah Kanan Jabatan Kewangan, Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaya dan DR ANNA AZRIATI CHE AZMI Profesor Madya Jabatan Perakaunan, Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaya.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahupun pendirian rasmi RTM.

MAT YUNUS BIN SABRI