fb fb fb fb fb

Terus konsisten dengan ibadah sunat Aidilfitri

Foto BERNAMA

SAUDARA PENGARANG

Aidilfitri telah menjelang tiba.

Perasaan bercampur baur di antara dua rasa, iaitu rasa sedih disebabkan bulan Ramadan berlalu pergi dan belum kepastian untuk bertemu kembali dan rasa gembira atas kehadiran Syawal setelah berjaya mengharungi sebulan Ramadan.

Pada dasarnya, Aidilfitri merupakan hari kemenangan umat Islam setelah berjaya menahan lapar dan dahaga, juga melawan nafsu.

Ia merupakan perayaan yang khusus buat umat Nabi Muhammad SAW sebagai ganti dua perayaan besar di zaman jahiliah.

Menurut Imam al-Suyuti, solat raya pertama yang dilakukan baginda adalah Solat Sunat Aidilfitri yang dilakukan pada tahun kedua hijrah.

Dengan kata lain, Solat Sunat Aidilfitri disyariatkan pada tahun berkenaan.

Bagi umat Islam, tauladan dan panduan Nabi SAW menjadi ikutan dalam menyambut kedatangan Syawal.

Nabi SAW telah menunjukkan banyak sunnah ketika meraikan Aidilfitri.

Ia bermula daripada sebelum solat hinggalah selesai solat Aidilfitri.

Secara terperincinya, Nabi SAW telah mewariskan sunnah kepada umatnya seperti berikut:

Pertama, mandi, membersihkan tubuh badan dan memakai wangian.

Sunat bagi umat Islam untuk mandi di pagi Hari Raya sebelum berkumpul untuk mengerjakan solat berjemaah.

Sunat dilewatkan mandi hingga hampir waktu solat.

Ia adalah simbol penyucian diri dan memulakan hari kemenangan dengan semangat yang baharu.

Kebersihan seseorang itu perlu dijaga dan wangian sunat dipakai terutama apabila bercampur dengan orang ramai ketika mengerjakan Solat Sunat Aidilfitri kerana bau yang busuk itu makruh hukumnya kerana mengganggu konsenterasi jemaah lain.

Kedua, memakai pakaian yang terbaik.

Disunatkan juga untuk memakai pakaian yang terbaik sebagai tanda bersyukur kepada Allah SWT dan menzahirkan kegembiraan dengan kejayaan mengharungi bulan Ramadan.

Jadi, memakai pakaian terbaik adalah bergantung kepada kemampuan masing-masing dan sesuai dengan bajet yang ada.

Bagi orang yang mampu, mereka boleh memakai baju baharu.

Bagi yang kurang mampu, mereka boleh memakai pakaian terbaik yang mereka ada dan bagi mereka yang tidak mampu, boleh memakai pakaian yang bersih untuk mengerjakan Solat Sunat Aidilfitri.

Meskipun begitu tindakan sesetengah masyarakat berbelanja dengan sangat tidak wajar dan boros, tanpa memikirkan bulan yang berikutnya untuk berbelanja keperluan keluarga.

Peminjaman wang daripada ah long atau koperasi untuk mengenakan pakaian dan perhiasan baharu adalah bertentangan dengan objektif hari raya.

Meskipun syariat menyuruh pakaian yang terbaik tidak bermakna perlu menghabiskan wang yang melampaui kemampuan dalam menyediakan pakaian baharu.

Ketiga, bersarapan dengan menikmati juadah sebelum mengerjakan solat.

Disunatkan juga untuk memakan di awal waktu sebelum ke masjid sebelum keluar untuk pergi ke masjid.

Disunatkan untuk makan atau menjamah sedikit dan paling terbaik makan tamar dalam bilangan yang ganjil.

Ini kerana Rasulullah SAW tidak keluar (menuju ke tempat solat) pada hari Aidilfitri sehingga baginda makan...” (HR al-Tirmidzi dan Ibnu Majah).

Hadis ini menunjukkan bahawa disunatkan makan di awal pagi sama ada di rumah atau di dalam perjalanan dan juga makruh meninggalkan makan sebelum solat.

Ia adalah sebagai bukti kegembiraan menyambut Aidilfitri.

Keempat, menggunakan laluan berbeza ketika pergi dan pulang dari masjid.

Mengambil jalan yang jauh untuk ke masjid antara sunnah yang diamalkan oleh Rasulullah SAW.

Baginda berjalan menuju ke masjid dengan mengambil jalan yang panjang dan berjalan dengan tenang tanpa terkejar-kejar dan pulang dari masjid dengan mengambil jalan yang lain.

Namun sekiranya lokasi masjid sangat jauh, tidak mengapa untuk pergi ke masjid dengan menaiki kenderaan kerana akan menyebabkan kepada letih dan tidak khusyuk di dalam solat.

Sekiranya berjalan kaki itu menimbulkan kesukaran dan melambatkan untuk hadir awal ke masjid, maka lebih afdal untuk seseorang itu menaiki kenderaan dan tidak ada pengurangan daripada sudut pahala seperti yang disebutkan di dalam kitab Tuhfat al-Muhtaj.

Perbuatan menganiayai diri sendiri dengan sengaja mengambil jalan jauh untuk Solat Sunat Aidilfitri sehingga membebankan dan menyusahkan diri sendiri bukanlah sesuatu yang dituntut dalam agama.

Kelima, mengalunkan takbir sebagai membesarkan Allah SWT.

Rasulullah SAW menganjurkan umatnya untuk melafazkan takbir dari malam hari hingga waktu solat Aidilfitri.

Takbir adalah sebagai mengingati tentang kebesaran Allah.

Ia juga adalah pernyataan tentang rasa syukur, gembira dengan kemenangan dalam mengharungi sebulan penuh beribadah kepada Allah SWT.

Jadi, disunatkan memperbanyakkan takbir.

Keenam, mengerjakan Solat Sunat Aidilfitri dan mendengar khutbah.

Kemuncak kepada sambutan Aidilfitri adalah mengerjakan Solat Sunat Aidilfitri.

Ia merupakan antara solat sunat yang sangat digalakkan untuk dilakukan secara berjemaah.

Daripada Said al-Khudri menyebut bahawa perkara pertama yang dilakukan oleh Rasulullah SAW di awal pagi raya sama ada Aidilfitri atau Aidiladha ialah mendirikan solat, lalu menyampaikan khutbah dan pesanan kepada para sahabat.

Jadi mengerjakannya adalah sunat muakkad dengan maksud makruh meninggalkannya.

Ketujuh, mengucapkan tahniah kepada umat Islam dan menzahirkan keceriaan serta kegembiraan.

Disunatkan juga untuk saling mengucapkan tahniah antara umat Islam.

Ia boleh dilakukan dengan pelbagai (lafaz) dan mendoakan mereka antara ucapan yang boleh diucapkan ketika bersalaman, di antaranya adalah ungkapan taqabbal Allah Minna waminkum dan ucapan balasnya adalah amin atau minna wa minkum, ungkapan kullu ‘am wa antum bi khair dan ucapan balasnya adalah wa antum kazalik, atau ungkapan ‘idukum mubarak dan ucapan balasnya adalah ‘alaina wa’alaikum dan seumpamanya.

Ucapan ini sebagai tanda tahniah kepada umat Islam yang menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Kelapan, bersilaturahim setelah Solat Sunat Aidilfitri.

Rasulullah SAW memilih jalan pulang yang berbeza untuk menyantuni umat Islam.

Rasulullah SAW menggalakkan umatnya untuk bersilaturahim dan menziarahi kaum keluarga, sahabat handai dan jiran tetangga.

Ini adalah waktu yang sesuai untuk mempereratkan tali persaudaraan kerana ramai yang berkumpul.

Jelasnya, Aidilfitri merupakan bulan yang penuh dengan kegembiraan dan silaturahim.

Ia adalah manifestasi kejayaan dalam beribadah di bulan Ramadan.

Jadi rebutlah peluang untuk menikmati sambutan Aidilfitri tanpa mengabaikan sebarang kewajipan dan sunnah, juga tanpa melupakan tarbiyah yang diperolehi daripada madrasah Ramadan.

Teruskan secara konsisten dalam mengamalkan ibadah sunat, membaca al-Quran, bersedekah, menyantuni golongan fakir miskin, dan amal kebajikan lain.

Ia adalah bukti kejayaan proses tarbiyah yang dilalui selama sebulan kerana dapat diimplementasi secara konsisten dalam sebelas bulan yang lain.

PENULIS, PROF MADYA DR MOHD ANUAR RAMLI merupakan Pensyarah di Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya. Boleh dihubungi melalui e-mel Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya..

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM