SAUDARA PENGARANG
Menyambut Hari Raya bukan sekadar mengenai kegembiraan dan keseronokan, namun juga melibatkan tanggungjawab dan kemahiran kewangan.
Sebagai masyarakat Malaysia yang menyambut Aidilfitri selama sebulan, kita sering terjebak dalam perangkap perbelanjaan berlebihan semasa sambutan perayaan ini.
Namun, sebagai pengguna yang bijak, kita perlu mengambil langkah-langkah proaktif untuk menguruskan kewangan kita dengan bijaksana.
Punca utama perbelanjaan berlebihan Untuk memahami punca utama di sebalik perbelanjaan yang berlebihan di musim perayaan ini, kita perlu memahami gabungan faktor psikologi, sosial, dan persekitaran yang mempengaruhi tingkah laku pengguna.
Tidak dinafikan, faktor psikologi memainkan peranan paling penting dalam perbelanjaan berlebihan. Terkadang, perbelanjaan dilakukan secara emosi tanpa kawalan diri yang mencukupi.
Tekanan sosial juga memainkan peranan yang signifikan, di mana individu mungkin terdedah kepada tekanan dari rakan, jiran dan ahli keluarga untuk berbelanja dengan lebih banyak.
Fenomena ini turut dipengaruhi oleh media sosial yang sering menimbulkan perasaan kekurangan dan sentiasa tidak mencukupi berbanding dengan orang lain.
Di samping itu, persekitaran juga memainkan peranan dalam mempengaruhi tabiat pengguna dalam berbelanja. Kemudahan teknologi kewangan seperti e-dompet dan perkhidmatan pembayaran atas talian, sebenarnya boleh menjadi kawan dan lawan, pada masa yang sama.
Benar, kemudahan-kemudahan ini dapat memudahkan pengurusan kewangan kita, tetapi pada masa yang sama, ia memudahkan perbelanjaan yang tidak
terkawal dengan membeli barangan yang tidak perlu di atas talian.
Selain pembelian barangan, perbelanjaan musim Hari Raya juga melibatkan adat dan tradisi lain yang berkaitan, terutamanya pemberian duit raya dan penganjuran rumah terbuka.
Tidak dinafikan, faktor psikologi dan persekitaran amat memainkan peranan dalam menjadi punca kepada perbelanjaan luar jangka untuk kedua-dua tradisi yang sebenarnya bermanfaat ini.
Strategi mengelakkan ‘pokai’ selepas raya Untuk permulaan, kemahiran perancangan kewangan paling asas adalah dengan membuat simpanan sepanjang tahun khusus untuk kegunaan semasa Aidilfitri.
Jangan bergantung sepenuhnya pada pendapatan bulanan semasa bulan tersebut untuk meraikannya. Jika perlu, sediakan satu akaun khas atau e-dompet yang dikhaskan khusus untuk keperluan Hari Raya.
Pastikan dana dalam akaun ini tidak mudah dikeluarkan untuk tujuan-tujuan lain. Selain itu, sediakan bajet yang terperinci dan munasabah mengikut kategori keutamaan seperti makanan, pakaian, dan perhiasan rumah.
Di bawah setiap kategori, letakkan subkategori yang sesuai untuk memudahkan pengurusan. Contohnya, di bawah pakaian, masukkan subkategori baju, samping, songkok, jubah, tudung, kasut dan lain-lain.
Susun perbelanjaan mengikut keutamaan dan tetapkan amaun yang diperlukan untuk setiap kategori daripada dana khas Hari Raya tadi. Jika betul-betul perlu, pertimbangkan juga sumber kewangan tambahan untuk setiap kategori, sama ada daripada gaji, simpanan, atau perlukan pengambilan hutang.
Berikut adalah beberapa strategi yang turut boleh membantu mengelakkan situasi ‘pokai’ selepas Syawal:
1. Mulakan dari awal. Beli barang keperluan raya secara berperingkat dan jangan menunggu sehingga bulan Ramadan sahaja. Manfaatkan jualan murah dan promosi yang diadakan sepanjang tahun untuk mendapatkan nilai yang lebih baik untuk wang anda.
2. Gunakan wang tunai apabila berbelanja. Menggunakan wang tunai membantu anda mengawal perbelanjaan dengan lebih baik berbanding menggunakan kad kredit atau debit,
atau pembayaran di atas talian, yang boleh menyebabkan pembelian barangan tidak perlu, dan menghasilkan hutang yang tidak terkawal. Namun diakui strategi ini tidak begitu sesuai jika melibatkan amaun yang besar, kerana terdapatnya risiko kecurian atau kehilangan.
3. Kongsikan dengan orang lain. Sebelum membuat apa-apa pembelian besar, pertimbangkan untuk berkongsi dengan seseorang yang dipercayai untuk mendapatkan pandangan kedua, terutamanya pasangan atau rakan karib masing-masing. Soalan-soalan seperti “perlukah saya membeli ini” atau “di mana lagi saya akan pakai baju ini” dapat
membantu anda membuat keputusan pembelian yang lebih bijak.
4. Ikuti pempengaruh kewangan di media sosial. Ambil manfaat daripada nasihat pakar kewangan dengan mengikuti pempengaruh kewangan yang boleh memberikan tips dan strategi pengurusan kewangan yang berguna. Hindari terlalu terpengaruh dengan pempengaruh dalam bidang kecantikan atau fesyen yang mungkin lebih cenderung untuk menggalakkan perbelanjaan yang tidak perlu.
Apabila perbelanjaan berlebihan telah berlaku, langkah-langkah yang perlu diambil termasuklah menilai dan menjejaki semula perbelanjaan dengan teliti. Rujuk kepada transaksi akaun bank, kad kredit, dan resit untuk mendapatkan gambaran yang jelas. Selain itu, hentikan perbelanjaan yang tidak penting dan tidak menjadi keperluan, termasuklah melancong, untuk sementara waktu.
Sediakan perancangan untuk menampung jumlah yang terlebih belanja, sama ada dengan membuat kerja lebih masa atau menyesuaikan bajet bulanan. Jika perlu, dapatkan nasihat daripada pakar kewangan atau agensi bertauliah seperti AKPK untuk membantu merangka semula perbelanjaan dan pengurusan hutang anda.
Dengan mengamalkan strategi-strategi yang digariskan ini, diharapkan kita dapat mengelakkan diri daripada menghadapi masalah kewangan yang besar selepas sambutan Hari Raya kelak. Ini juga membantu kita mempertahankan keseimbangan kewangan yang sihat dalam jangka masa panjang.
PENULIS PROFESOR MADYA DR. NURUL SHAHNAZ AHMAD MAHDZAN merupakan Profesor Madya dan mantan Ketua, Jabatan Kewangan, Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaya. Beliau boleh dihubungi di
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.