fb fb fb fb fb

Sukar mengandung, sokongan pasangan amat penting

Foto hiasan/RTM

SAUDARA PENGARANG

Keinginan untuk mempunyai zuriat bagi setiap pasangan suami dan isteri adalah fitrah manusia yang tertanam sejak azali. Namun sebahagian pasangan, perjalanan menuju keibuan dan kebapaan bukanlah satu pelayaran yang tenang. Cabaran dalam proses mengandung seringkali menjadi ujian berat, bukan sahaja menguji kesabaran malah menggoncang emosi mereka.

Apabila harapan untuk mempunyai anak kandung semakin pudar, perasaan kosong dan kehilangan menjadi emosi yang menyelimuti jiwa buat pasangan berkahwin. Kekosongan ini bukanlah sekadar kesedihan semata-mata, tetapi satu jurang emosi yang dalam dan boleh membawa impak negatif sekiranya tidak ditangani atau diuruskan dengan baik.

Pasangan yang mengalami kesukaran mengandung sering kali merasa terasing, seolah-olah mereka sedang melalui perjuangan bersendirian. Antaranya, mungkin disebabkan melihat pasangan lain lebih mudah mendapat zuriat. Selain itu perasaan bersalah, marah dan kecewa juga kerap timbul, terutamanya apabila pasangan sentiasa meletakkan harapan tinggi setelah berusaha mendapatkan zuriat.

Kesukaran mengandung mempunyai impak psikologi yang luas dan kompleks. Selain perasaan kosong, pasangan juga mungkin mengalami perasaan sedih berpanjangan. Contohnya mengasingkan diri daripada orang lain dan menangis di dalam bilik dalam tempoh lama. Kesannya, akan hilang minat untuk melakukan sebarang aktiviti serta berlaku perubahan pola tidur dan makan. Ini merupakan beberapa gejala kemurungan yang sering muncul terhadap mereka yang mempunyai kesukaran untuk mengandung.

Impak lain termasuklah terlalu bimbang tentang masa depan dan pandangan orang lain. Ia kerana terdapat segelintir masyarakat, amat mudah mengeluarkan kata-kata berunsur hinaan dan cemuhan. Begitu juga dengan kerisauan akan kegagalan menjalani rawatan kesuburan, sekali gus menyebabkan tahap kegelisahan yang tinggi.

Selain itu, proses rawatan kesuburan terlalu panjang dan meletihkan serta ketidakpastian akan hasil, juga boleh menyebabkan tekanan bertambah tinggi. Sememangnya tiada jaminan akan kejayaan setiap kitaran rawatan yang diambil.

Kesukaran mengandung bukan sahaja memberi kesan kepada individu tetapi juga kepada hubungan pasangan. Perbezaan dalam cara mengatasi tekanan, harapan tidak realistik dan komunikasi yang buruk boleh menyebabkan konflik dan ketegangan dalam hubungan pasangan. Salah seorang mungkin menyalahkan diri sendiri dan bertindak menarik diri atau putus asa.

Oleh itu, disarankan supaya setiap pasangan yang menghadapi kesukaran untuk mendapatkan cahaya mata, dapat membantu serta menyokong antara satu sama lain dengan cara berkomunikasi secara terbuka, membuat perbincangan tanpa menghakimi, meminta pendapat dan memahami emosi yang dirasai masing-masing.

Hal ini penting kerana sekiranya pasangan itu sendiri tidak menyokong dan memahami antara satu sama lain menyebabkan emosi semakin terjejas dan merosakkan hubungan perkahwinan. Justeru penglibatan serta sokongan pasangan amat penting dalam rumah tangga. Pasangan juga perlu mensyukuri kebahagiaan dan kemanisan perkahwinan, meskipun belum dikurniakan cahaya mata.

Beberapa faktor boleh mempengaruhi intensiti dan tempoh emosi dialami pasangan yang mengalami kesukaran mengandung. Bagi pasangan lebih berusia, mereka cenderung mengalami tekanan lebih tinggi kerana peluang untuk mengandung secara semula jadi semakin berkurangan.

Semakin meningkat usia seorang wanita, semakin kurang penghasilan telur di dalam ovari. Maka, peluang untuk mengandung juga akan menjadi rendah. Perkara ini akan mendatangkan tekanan tinggi kepada individu tersebut kerana beranggapan bahawa dirinya tidak mampu untuk merealisasikan impian pasangan, menimang cahaya mata.

Selain itu, norma sosial dan jangkaan budaya turut mempengaruhi cara pasangan memandang dan mengatasi kesukaran mengandung. Sesetengah masyarakat kita menganggap bahawa memiliki anak adalah perkara penting dalam kehidupan berkeluarga. Ada juga individu, gemar membuat perbandingan sehingga menyebabkan perasaan terasing. Ini akan memberi kesan semakin mendalam terhadap pasangan tersebut.

Jenis rawatan dipilih dan hasil yang diperolehi turut mempengaruhi pengalaman emosi pasangan kerana ianya melibatkan tenaga, kos yang tinggi dan ketahanan mental individu. Oleh itu perlunya sokongan keluarga, sahabat atau kumpulan sokongan bagi membantu pasangan mengatasi kesukaran emosi dialami. Elakkan sebarang tekanan negatif supaya pasangan segera mempunyai anak kerana ia hanya memburukkan lagi keadaan.

Meskipun berdepan cabaran yang berat, pasangan yang mengalami kesukaran mengandung boleh mengambil pelbagai langkah atau tindakan bersesuaian untuk mengatasi emosi negatif, seterusnya meningkatkan kualiti hidup masing-masing. Antaranya bergabung dengan kumpulan sokongan kerana ia boleh membantu pasangan merasa tidak keseorangan dan mendapat sokongan emosi daripada individu yang menghadapi pengalaman serupa.

Terapi juga boleh membantu pasangan mengenal pasti dan mengatasi emosi dialami. Pasangan disaran merujuk kepada pakar seperti kaunselor, ahli terapi dan pakar perubatan untuk mendapatkan perkhidmatan bersesuaian. Pasangan juga boleh melakukan rawatan meditasi untuk membantu mengurangkan tekanan, khususnya untuk pasangan bukan Islam.

Bagi seorang muslim, disarankan untuk melihat kehidupan daripada pelbagai sudut supaya dapat menanam rasa syukur kepada Illahi atas kurniaan-Nya. Anda juga boleh melakukan senaman secara teratur untuk membantu meningkatkan mood dan mengurangkan kegelisahan.

Harus difahami bahawa kesukaran mengandung merupakan satu perjalanan emosi penuh kompleks dan mencabar. Sekiranya kita boleh memahami kerumitan emosi terlibat, kita dapat memberikan sokongan lebih baik kepada pasangan kita.

Penting juga untuk diingat bahawa setiap pasangan mempunyai pengalaman unik dan tidak ada satu pendekatan sesuai untuk semua pasangan. Namun dengan sokongan tepat, pasangan boleh menemukan kekuatan dalam diri mereka untuk mengatasi kesukaran seterusnya membina kehidupan lebih bahagia.

Oleh
Prof Madya Dr. Azmawaty Mohamad Nor
Nurfarahira Ahmad Yaccob
Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

MAT YUNUS BIN SABRI