SAUDARA PENGARANG
Tanggal 24 November 2024, genap dua tahun pemerintahan Kerajaan Perpaduan diterajui Perdana Menteri ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dalam tempoh ini, pelbagai pandangan, kritikan dan pemarkahan telah diberikan kepada Kerajaan Perpaduan termasuk yang terbaharu daripada Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih).
Bersih bukan sahaja ‘mengurniakan’ gred D kepada pentadbiran Anwar malah, mengkritik Kerajaan Perpaduan yang dikatakan gagal melakukan reformasi secara menyeluruh selain mencadangkan agar tempoh perkhidmatan perdana Menteri dihadkan tidak melebihi 10 tahun.
Menyusul kenyataan daripada Bersih, Anwar kemudian mengakui Kerajaan Perpaduan pada hari ini masih ‘muda’ dan bertekad untuk memberikan yang terbaik kepada rakyat serta negara dalam tempoh mendatang.
Jelasnya, gred D yang diperoleh Kerajaan Perpaduan masih boleh diperbaiki sekaligus menjanjikan masa depan negara yang lebih terbilang.
Cakap-cakap mengenai prestasi Kerajaan Perpaduan atau Kerajaan MADANI bukan hanya kedengaran dewasa ini. Sejak hari pertama Anwar di Putrajaya, ramai telah membuat penilaian sendiri sama ada daripada ‘ahli mesyuarat kedai kopi’ sehingga ke ‘kantor-kantor besar di tengah Kuala Lumpur’.
Apa sahaja dilakukan Anwar yang melibatkan polisi, langkah politik waima memakai songkok ketika lawatan rasmi luar negara habis semuanya mereka ‘ambil pusing’.
Namun, itulah kehidupan seorang Perdana Menteri apatah lagi sosok itu adalah Anwar, insan yang sudah sekian lama bercita-cita ingin menjadi orang nombor satu Putrajaya. Apa sahaja perkataan yang keluar daripada mulut Anwar pasti ada yang memerhati.
Jika penyokong pastinya menyokong dan jika pembangkang jadi sebaliknya. Pada pandangan penulis, penilaian paling penting adalah daripada rakyat ‘atas pagar’, lebih rasional dan berkecuali serta tidak mempunyai sebarang kepentingan peribadi.
Malaysia MADANI pacu agenda kemakmuran holistik
Ketekunan Anwar dalam memperjuangkan isu keadilan sosial merangkumi aspek pendidikan, kemiskinan, pembangunan insan dan hak asasi manusia pastinya tidak dapat dinafikan. Sejak menjadi ketua pembangkang lagi, Anwar sering membicarakan soal ini bukan sahaja di pentas Dewan Rakyat malah, sehingga ke jalanan.
Sekarang, Anwar sudah menjadi Perdana Menteri dan apa lagi halangan yang ada untuk beliau melaksanakan agenda reformasi ini? Walaupun ada pandangan Anwar dan pasukan Kabinetnya agak perlahan namun, sedikit pujian harus diberikan dalam soal ini.
Dua tahun pentadbiran Kerajaan Perpaduan, Anwar begitu ligat melaksanakan agenda meningkatkan taraf hidup rakyat. Projek mega jutaan ringgit bukan menjadi keutamaan namun, usaha membantu ekonomi rakyat khusus mereka tergolong dalam kumpulan B40 berada dalam senarai utama Anwar.
Sewaktu bercakap di hadapan para penjaja di Pulau Pinang pada awal November lalu bersempena Hari Penjaja dan Peniaga Kecil Peringkat Kebangsaan 2024, Anwar mengumumkan dana RM20 juta dengan peruntukan tambahan RM1 juta bagi pembangunan penjaja kecil.
Di Kuala Lumpur pula misalnya, Anwar telah mengarahkan agar gerai-gerai kecil termasuk medan selera dinaik taraf demi keselesaan peniaga dan pembeli. Tidak cukup dengan itu, Anwar juga masih mempedulikan nasib para peniaga di Kelantan dengan memperuntukan RM5.5 juta bagi menambah baik infrastruktur Pasar Siti Khadijah, Kota Bharu.
Nama Anwar dan Malaysia di pentas antarabangsa juga tidak kurang hebat. Tidak berniat untuk melambung pujian dalam soal ini tetapi hakikatnya, sudah lama negara ketandusan pemimpin berwibawa dan berkarisma di pentas antarabangsa.
Isu kemanusiaan di Palestin, Anwar senantiasa konsisten menyatakan pendirian Malaysia yang mendesak agar Israel menghentikan kekejaman dan penindasan ke atas penduduk Palestin.
Terbaharu, dengan berani Anwar menyinggung isu terkait krisis Palestin sewaktu menghadiri Kerjasama Asia Pasifik 2024 (APEC 2024) di Lima, Peru ketika mana tiada satu negara peduli menyuarakan hal tersebut.
MADANI dan masa depan Malaysia
Berbaki kurang tiga tahun pentadbiran Kerajaan Perpaduan, tidak dinafikan masih banyak urusan yang perlu diselesaikan Anwar. Generasi muda misalnya, antara golongan yang perlu diberi keutamaan dalam hal terkait pendidikan, ekonomi dan keseimbangan sosial.
Selain itu, masih wujud ruang besar dalam usaha memberi penerangan mengenai agenda MADANI kepada anak muda khusus untuk memahami falsafah di sebalik enam teras Malaysia MADANI yang sehingga kini tampak belum berjaya digarap sepenuhnya golongan berkenaan.
Sementara itu, Kabinet Anwar perlu lebih bersikap proaktif dan senantiasa bertindak pantas dalam melaksanakan tanggungjawab digalas. Anwar tidak boleh kelihatan “one-man show” dan barisan menteri Kabinet lain wajib mengambil tanggungjawab memastikan agenda Malaysia MADANI mencapai sasaran.
Polisi-polisi yang digariskan perlu digerakkan secara bersama demi memastikan rakyat dan negara beroleh manfaat sewajarnya.
Marilah kita bersama-sama memacu pertumbuhan ekonomi dan membina keharmonian tanpa terhalang oleh batas-batas tertentu.
Ini bukan masa untuk bermain sentimen politik sempit apatah lagi membabitkan isu kaum, agama dan Raja-Raja Melayu (3R).
Tanggungjawab membina negara adalah peranan setiap rakyat dan jika ada pun yang ingin bermain sentimen politik, nasihat penulis tunggu pilihan raya akan datang.
Kini, masa kita berpadu untuk Malaysia! Bak kata pepatah, jangan marahkan nyamuk sampai kelambu pula yang dibakar.
PENULIS, MOHD HASSANAL BOLQIAH MOHD YUSOFF, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pusat Polisi dan Hal Ehwal Ekonomi Malaysia (PEACE).
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.