fb fb fb fb fb

Cinta ekspres: Jangan terjebak "perjudian" perhubungan

Foto hiasan

SAUDARA PENGARANG

Dalam era moden yang serba pantas ini, hubungan percintaan sering kali terbentuk dengan begitu cepat dan tergesa-gesa, yang kadangkala digelar sebagai "cinta ekspres". Walaupun keghairahan dalam perasaan adalah sesuatu yang indah, keghairahan yang tidak disertai pemikiran mendalam boleh membawa risiko besar kepada perhubungan.

Cinta yang terlalu cepat tanpa asas yang kukuh berpotensi memperjudikan kestabilan hubungan jangka panjang. Konseptualnya, cinta ekspres sering dikaitkan dengan hubungan yang terjalin dengan terlalu cepat tanpa proses pengenalan diri yang mendalam antara pasangan.

Dalam situasi ini, keputusan besar seperti perkahwinan atau komitmen serius sering dibuat berdasarkan emosi sementara atau analisis yang kurang mendalam. Faktor seperti media sosial, aplikasi temu janji, dan tekanan untuk mengikut arus sering mendorong individu untuk tergesa-gesa dalam memilih pasangan. Cinta ekspres sering kali mengabaikan elemen penting dalam perhubungan, seperti pemahaman terhadap nilai-nilai teras, gaya hidup dan matlamat pasangan.

Statistik perceraian menunjukkan risiko nyata apabila hubungan dibina secara terburu-buru. Di Malaysia, statistik dari jabatan perangkaan (DOSM) menunjukkan kadar perceraian meningkat secara mendadak khususnya melibatkan pasangan muda dan usia perkahwinan yang kurang dari lima tahun yang berpunca dari kurangnya persefahaman, harapan tidak realistik dan tekanan emosi akibat konflik yang tidak diselesaikan.

Meskipun isu penceraian ini tidaklah menjadi cerminan langsung dari cinta ekspres, risiko cinta yang tergesa-gesa tanpa mempertimbangkan masa yang mencukupi untuk mengenali satu sama lain, pasangan mungkin gagal untuk memahami keperibadian, matlamat hidup dan nilai-nilai teras masing-masing. Hal ini boleh mencetuskan konflik apabila realiti kehidupan bersama mula terbongkar apabila pasangan mula melalui kitaran perhubungan dan keluarga yang lebih mendalam.

Malah, harapan yang tidak realistik mendorong pasangan untuk membina harapan tinggi yang tidak realistik terhadap satu sama lain. Kegagalan memenuhi harapan ini boleh menyebabkan kekecewaan dan ketegangan dalam hubungan yang akhirnya mencetuskan emosi yang goyah, berubah-ubah dan mudah berakhir apabila berhadapan dengan "scammer cinta" atau “love scam” kini menjadi ancaman besar dalam era digital, terutamanya melalui aplikasi temu janji dan media sosial.

Lebih membimbangkan apabila sumber Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendedahkan 11,092 kes penipuan cinta (love scam) dilaporkan dalam tempoh 2019–2022, dengan kerugian mencecah RM1.6 bilion di mana penipu (scammer) sering mengeksploitasi keinginan individu khususnya wanita yang rentan untuk mencari cinta dengan membina kepercayaan.

Risiko ini sangat berkait dengan fenomena hubungan ekspres atau cinta dalam talian, mangsa mudah terjerat dalam penipuan yang kelihatan meyakinkan, tetapi sebenarnya bertujuan untuk menipu secara kewangan. Keadaan ini sering berlaku kerana kurangnya pemeriksaan latar belakang dan kepercayaan berlebihan terhadap kenalan baharu dalam talian.

Justeru, sebagai langkah yang lebih praktikal , individu perlu meluangkan masa untuk memahami pasangan anda secara mendalam. Kenali cara mereka menangani tekanan, mengurus konflik dan matlamat hidup mereka. Oleh yang demikian, perbincangan dan komunikasi secara terbuka tentang matlamat hubungan, batasan dan nilai teras dalam diri membantu memastikan kedua-dua pihak berada di landasan yang sama.

Jangan biarkan tekanan daripada rakan sebaya, keluarga, atau media sosial mempengaruhi keputusan peribadi khususnya dalam mempertimbangkan risiko dan kesan dari perhubungan ekpres ini. Pastikan keputusan hubungan dibuat berdasarkan kesediaan dan keikhlasan hati. Berhati-hati dengan maklumat peribadi yang dikongsi dalam talian dan jangan membuat keputusan besar hanya berdasarkan komunikasi maya yang maklumatnya boleh dimanipulasi bila-bila masa.

Tidak dinafikan bahawa cinta sejati memerlukan usaha, masa dan kesabaran. Proses mengenali satu sama lain adalah asas penting dalam membina hubungan yang harmoni dan berkekalan. Cinta bukan sekadar perasaan yang indah tetapi juga satu komitmen untuk saling memahami, menghormati, dan menyokong antara satu sama lain.

Cinta ekspres mungkin kelihatan menarik pada permulaan, tetapi ia bukanlah jaminan kepada hubungan yang berjaya. Jangan memperjudikan masa depan hubungan dengan membuat keputusan yang terburu-buru. Luangkan masa untuk membina hubungan yang kukuh, berdasarkan kepercayaan, komunikasi dan kesefahaman.

Ingatlah, cinta sejati bukanlah tentang kepantasan, tetapi tentang kualiti dan ketulusan dalam menyayangi.

PENULIS, DR NORSAFATUL AZNIN A.RAZAK, Pensyarah Kanan Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling, Universiti Malaya.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

 

ROSLINA BINTI DIN