fb fb fb fb fb

Meladeni fenomena gaya hidup YOLO dan FOMO

Foto hiasan/RTM

SAUDARA PENGARANG

Perdana Menteri Malaysia ke-10, YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengumumkan kenaikan gaji bagi kakitangan awam untuk dua fasa bermula pada 1 Disember 2024 dan 1 Januari 2026. Pengumuman ini telah memberi suntikan positif kepada semua kakitangan awam di Malaysia untuk meningkatkan lagi produktiviti kerja.

Baru-baru ini juga, pihak kerajaan telah menyemak dan menetapkan gaji minimum sebanyak RM1700 bermula pada Februari 2025. Tidak cukup dengan itu, pihak kerajaan juga telah memberi saranan kepada semua pihak majikan untuk melaksanakan dasar gaji progresif supaya pembayaran gaji lebih adil kepada golongan pekerja.

Apabila berlakunya kenaikan gaji, maka dalam dunia yang serba pantas dan dipenuhi dengan pelbagai tarikan sosial, dua konsep yang semakin popular dan berpengaruh dalam gaya hidup masa kini ialah “YOLO” dan “FOMO” akan menghampiri pengguna di Malaysia.

YOLO, singkatan bagi "You Only Live Once" atau “Kamu Hanya Hidup Sekali," merupakan pemikiran yang menekankan kehidupan secara spontan dan tidak mengambil kira kesan jangka panjang terhadap kewangan atau kehidupan peribadi seseorang.

Manakala FOMO pula, atau "Fear of Missing Out" yang bermaksud “Takut Terlepas,” merujuk kepada ketakutan tertinggal peluang atau pengalaman menyeronokkan yang dinikmati orang lain. Walaupun konsep ini mungkin memberi inspirasi untuk meraih pengalaman hidup sepenuhnya, budaya YOLO dan FOMO sering menyebabkan perbelanjaan berlebihan, pengumpulan hutang, serta ketidakstabilan kewangan dalam jangka masa panjang.  

Artikel ini akan mengupas kesan negatif fenomena YOLO dan FOMO terhadap pengguna serta kaedah tuntas untuk mengawal kecenderungan ini daripada terus berleluasa di kalangan masyarakat.

Kesan buruk YOLO dan FOMO terhadap pengguna

1. Perbelanjaan berlebihan dan hutang yang meningkat

Salah satu kesan utama budaya YOLO dan FOMO terhadap pengguna ialah kecenderungan untuk berbelanja melebihi kemampuan. Apabila seseorang mengamalkan pemikiran YOLO dan FOMO, mereka sering terdorong untuk membuat keputusan kewangan yang impulsif (pembelian barangan berjenama, percutian mewah, gajet terkini, atau aktiviti hiburan yang luar biasa).

Mereka mungkin berbelanja di luar kemampuan kerana ingin mempunyai pengalaman ‘mewah’ semata-mata untuk mengikuti arus rakan sebaya atau trend terkini yang dipaparkan di media sosial tanpa mengambil kira beban kewangan yang bakal dihadapi.

2. Tekanan emosi dan kebimbangan

Kesan psikologi budaya YOLO dan FOMO tidak boleh diabaikan. Rasa cemburu, rendah diri, atau tidak mencukupi boleh timbul apabila seseorang itu merasa mereka tidak dapat menikmati atau memperoleh pengalaman yang sama seperti orang lain.

Fenomena FOMO yang dipacu oleh media sosial boleh menyebabkan tekanan emosi yang berpanjangan apabila pengguna terdedah kepada kehidupan "sempurna" yang sering dipaparkan oleh orang lain secara dalam talian.

Apabila mereka merasakan hidup mereka tidak seindah seperti yang dipamerkan oleh rakan-rakan atau selebriti, maka perasaan rendah diri dan kebimbangan boleh wujud dan dapat mengurangkan kepuasan hidup dan kesihatan mental seseorang.

3. Kurang penekanan terhadap perancangan kewangan jangka Panjang

Apabila pengguna terpengaruh dengan pemikiran YOLO dan FOMO, mereka cenderung untuk mengabaikan perancangan kewangan jangka panjang dan sering kali membawa kepada keputusan kewangan yang tidak bijak.

Dalam jangka masa panjang, pengguna yang terjebak dalam budaya YOLO dan FOMO mungkin mengalami kesukaran untuk bersara dengan selesa, penyediaan simpanan kecemasan serta lebih terdedah kepada risiko kewangan kerana terlepas pandang tentang pentingnya simpanan dan pelaburan untuk kestabilan kewangan masa depan.

Kaedah tuntas mengawal budaya YOLO dan FOMO

1. Tetapkan matlamat kewangan secara jelas

Langkah pertama untuk mengatasi budaya YOLO dan FOMO ialah dengan menetapkan matlamat kewangan jangka pendek dan jangka panjang yang jelas. Dengan ini, para pengguna akan lebih cenderung untuk berfikir secara rasional sebelum membuat perbelanjaan yang besar dan mengurangkan risiko untuk berbelanja secara impulsif.

2. Menyusun bajet dan mengamalkan disiplin kewangan

Penyusunan bajet yang teratur dapat membantu individu mengurus perbelanjaan mereka dengan lebih bijak. Dengan menetapkan peruntukan bagi keperluan asas, simpanan, dan perbelanjaan hiburan, seseorang itu akan dapat mengimbangi keinginan untuk menikmati kehidupan sambil mengelakkan pembaziran yang tidak perlu.

Mengamalkan disiplin kewangan dengan mengikut bajet yang telah ditetapkan dapat membantu pengguna mengawal perbelanjaan mereka serta menghindari godaan fenomena YOLO dan FOMO.

3. Mengurangkan pendedahan kepada media sosial

Pengguna disarankan untuk mengurangkan masa atau membataskan pendedahan kepada media sosial yang hanya memaparkan gaya hidup mewah bagi membantu mengurangkan tekanan sosial dan keinginan untuk berbelanja bagi memenuhi harapan atau standard sosial tertentu.

4. Menghargai nilai pengalaman berbanding barangan material

Pengguna juga boleh memberi tumpuan kepada pengalaman bermakna dan mempunyai kesan positif kepada kehidupan mereka seperti belajar kemahiran baharu, menghadiri kelas atau berbakti kepada komuniti setempat akan dapat memberikan kepuasan berpanjangan berbanding keseronokan sementara hasil daripada pembelian material.

Menerusi cara ini, seseorang itu boleh mencapai kepuasan hidup tanpa perlu berbelanja berlebihan atau mengikuti arus YOLO dan FOMO yang merugikan.

5. Membina rangkaian sokongan positif

Akhir sekali, dengan adanya rakan-rakan atau keluarga yang menyokong gaya hidup berhemah boleh mengelak seseorang itu daripada terjerat dengan fenomena YOLO dan FOMO.

Rangkaian sokongan sosial ini dapat memberi galakan untuk seseorang itu membuat keputusan kewangan yang bijak, membina disiplin diri serta dapat mengelakkan kecenderungan untuk terjebak dalam perbelanjaan yang tidak diperlukan.

Secara keseluruhan, budaya YOLO dan FOMO adalah fenomena moden yang memberi impak besar terhadap kehidupan kewangan dan emosi pengguna. Walaupun konsep ini mungkin memberikan kepuasan jangka pendek, kesan negatifnya terhadap kewangan dan kesejahteraan mental perlu diambil kira.

Justeru perlu untuk kita menetapkan matlamat kewangan yang jelas, menyusun bajet atau belanjawan, mengurangkan pendedahan kepada media sosial dan menghargai nilai pengalaman bermakna bagi mengelak kesan buruk daripada fenomena ini dan mencapai kestabilan kewangan serta kepuasan hidup yang berpanjangan.

Apa yang paling dibimbangi ialah seseorang itu mungkin akan menerima rasuah atau menggunakan produk-produk tiruan bagi mendokong fenomena YOLO dan FOMO.

PENULIS DR. ABDUL RAHMAN ZAHARI, Pensyarah Kanan, UNITEN Business School, Universiti Tenaga Nasional (UNITEN). Boleh dihubungi melalui e-mel Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya..

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

MAT YUNUS BIN SABRI