SAUDARA PENGARANG
Masalah kesihatan mental dalam kalangan remaja di Malaysia kian meningkat. Menurut Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2022, hampir 29% remaja mengalami masalah kesihatan mental seperti kemurungan, kebimbangan, dan tekanan emosi. Peningkatan kes ini menimbulkan kebimbangan terhadap punca dan impaknya terhadap golongan muda di negara ini.
Salah satu faktor utama yang menyumbang kepada masalah ini adalah tekanan akademik. Remaja sering berhadapan dengan tekanan untuk cemerlang dalam pelajaran, terutama dalam sistem pendidikan yang berorientasikan pencapaian akademik.
Tekanan untuk mencapai keputusan terbaik dalam peperiksaan seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menyebabkan ramai pelajar mengalami tekanan yang berpanjangan, gangguan tidur, dan kebimbangan. Mereka yang mempunyai pencapaian akademik yang kurang tinggi,mudah terdedah kepada masalah kesihatan mental seperti kemurungan dan kecemasan.
Selain itu, pengaruh media sosial turut menjadi faktor penyumbang kepada peningkatan masalah kesihatan mental di kalangan remaja. Penggunaan media sosial yang meluas menyebabkan remaja sering kali terdedah kepada perbandingan sosial yang tidak sihat.
Kehidupan rakan sebaya yang tampak sempurna di platform seperti Instagram dan TikTok, serta tekanan untuk memenuhi piawaian kecantikan atau gaya hidup mewah, menyebabkan remaja mengalami rasa rendah diri. Hal ini meningkatkan risiko kemurungan dan kegelisahan, selain mempengaruhi imej diri mereka.
Masalah keluarga juga menyumbang kepada gangguan kesihatan mental remaja. Konflik rumah tangga, penceraian ibu bapa, dan kurangnya sokongan emosi daripada ahli keluarga mencetuskan perasaan terasing dan tidak dihargai dalam kalangan remaja.
Akibatnya, mereka cenderung mengalami kemurungan, pemikiran bunuh diri, dan tingkah laku antisosial. Sokongan keluarga yang kukuh amat penting dalam memastikan kesejahteraan mental remaja.
Faktor lain adalah kurangnya sokongan kesihatan mental di sekolah dan komuniti. Meskipun kesedaran tentang pentingnya kesihatan mental semakin meningkat, perkhidmatan kaunseling dan sokongan masih belum mencukupi.
Banyak sekolah kekurangan kaunselor yang terlatih untuk membantu remaja menangani tekanan emosi mereka. Ini menyebabkan remaja sukar mendapat bantuan apabila diperlukan, yang seterusnya menyebabkan masalah kesihatan mental mereka menjadi lebih buruk.
Dalam Belanjawan 2024 yang dibentangkan pada Oktober lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kerajaan memandang serius isu kesihatan mental dikalangan remaja.
Beliau menyatakan bahawa masalah ini perlu ditangani secara holistik kerana ia bukan sahaja menjejaskan individu, malah memberi kesan kepada kesejahteraan sosial dan ekonomi negara.
Anwar turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM200 juta untuk memperkukuh perkhidmatan kesihatan mental di seluruh negara. Ini termasuk menambah jumlah kaunselor di sekolah serta menyediakan lebih banyak pusat kaunseling komuniti untuk memastikan remaja mempunyai akses mudah kepada sokongan yang diperlukan.
Kerajaan juga akan memperkenalkan program kesedaran kesihatan mental di sekolah, yang bertujuan meningkatkan pengetahuan pelajar tentang pentingnya menjaga kesihatan mental dan menghapuskan stigma terhadap mereka yang menghadapi masalah ini. Program ini akan melibatkan pendidikan tentang cara menangani tekanan, kebimbangan, dan bagaimana mendapatkan sokongan daripada keluarga dan rakan-rakan.
Remaja meruppakan tonggak negara. Dengan itu, masalah kesihatan mental dalam kalangan remaja di Malaysia memerlukan perhatian serius daripada semua pihak. Tekanan akademik, pengaruh media sosial, masalah keluarga, dan kekurangan sokongan kesihatan mental merupakan punca utama krisis ini.
Bagaimanapun, dengan komitmen kerajaan melalui Belanjawan 2024 serta sokongan masyarakat, keluarga, dan sekolah, diharapkan masalah ini dapat ditangani dengan lebih berkesan. Kesihatan mental remaja adalah kunci kepada masa depan negara yang lebih baik dan produktif.
PENULIS NORHAYATI ABDUL HAMID, Pensyarah Jabatan Perdagangan, Politeknik Seberang Perai, Pulau Pinang dan ROZLINI MOHAMED, Pensyarah Kanan Jabatan Kejuruteraan Perisian, Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.