SAUDARA PENGARANG
Kesedaran terhadap kelestarian alam sekitar semakin menjadi isu penting, khususnya dalam kalangan pelajar politeknik di Malaysia. Namun, menurut laporan terkini, tahap kesedaran dan pemahaman mengenai amalan kelestarian masih sederhana. Ramai pakar menegaskan bahawa langkah lebih menyeluruh perlu diambil untuk meningkatkan kefahaman dan penglibatan pelajar dalam usaha menjaga alam sekitar.
Pemahaman asas tentang kepentingan menjaga alam sekitar adalah sesuatu yang penting bagi generasi muda. Pendidikan lestari perlu ditekankan di peringkat politeknik yang bukan sahaja sekadar teori, tetapi juga perlu diterjemahkan dalam amalan harian para pelajar.
Dalam satu kajian perbandingan antara Malaysia dengan beberapa negara maju, menunjukkan bahawa tahap kesedaran pelajar institusi pendidikan tinggi di negara-negara maju seperti Jepun, Jerman, dan Sweden lebih tinggi.
Kajian yang diterbitkan oleh Universiti Kyoto, Jepun, pada tahun lalu menunjukkan bahawa 85% pelajar universiti di Jepun memahami kepentingan amalan kitar semula, berbanding hanya 55% pelajar politeknik di Malaysia yang mengambil inisiatif serupa.
Kita perlu belajar dari negara-negara maju yang sudah lama mengamalkan polisi dan kempen yang konsisten dalam pendidikan alam sekitar. Di Malaysia, kebanyakan pelajar masih kurang terdedah kepada pengetahuan mendalam tentang kepentingan kelestarian, khususnya berkaitan isu-isu yang lebih kompleks seperti perubahan iklim dan kehilangan biodiversiti.
Bagaimanapun, di Malaysia, beberapa kempen alam sekitar seperti Hari Alam Sekitar Sedunia dan Program Politeknik Lestari dianjurkan secara tahunan. Program Politeknik Lestari, misalnya, diperkenalkan dengan tujuan memupuk kesedaran dalam kalangan pelajar untuk mengamalkan gaya hidup lestari.
Aktiviti seperti penanaman pokok, pembersihan kawasan pantai, dan kempen kitar semula telah dianjurkan untuk memberi pendedahan praktikal kepada pelajar.
Namun, cabaran terbesar yang dikenal pasti adalah kesinambungan kempen ini. Beberapa kempen hanya diadakan sekali setahun, menyebabkan mesej kelestarian tidak berterusan dalam kehidupan pelajar.
Kesedaran terhadap kelestarian alam sekitar memerlukan penglibatan yang aktif dari pelbagai pihak, terutamanya institusi pendidikan seperti politeknik. Sistem pendidikan perlu memainkan peranan lebih proaktif dengan memasukkan modul alam sekitar secara komprehensif dalam silibus pembelajaran.
Di peringkat individu, pelajar juga digesa untuk lebih bertanggungjawab dalam tindakan seharian mereka, seperti mengurangkan penggunaan plastik dan membudayakan amalan kitar semula. Dengan komitmen daripada pelajar dan institusi pendidikan, Malaysia dapat melahirkan generasi yang lebih peka terhadap alam sekitar.
Dalam menghadapi cabaran alam sekitar yang semakin kritikal, pendidikan alam sekitar di politeknik Malaysia harus diperkuatkan. Pelajar bukan sahaja perlu didedahkan dengan kempen kesedaran tetapi juga perlu diingatkan tentang tanggungjawab mereka dalam memastikan kelestarian alam sekitar.
Jika semua pihak, termasuk pelajar, institusi pendidikan, dan masyarakat berganding bahu, usaha ini dapat menghasilkan impak positif dan memastikan alam sekitar terus terpelihara untuk generasi akan datang.
PENULIS SITI NOOR BINTI ADNAN, Pensyarah Jabatan Perdagangan Politeknik Seberang Perai, Pulau Pinang dan RUHAYA BINTI AB. AZIZ Pensyarah Kanan, Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat, UTHM
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.