fb fb fb fb fb

Strategi memperkasa Perpaduan Nasional

(FOTO HIASAN)

SAUDARA PENGARANG

Kemajuan sesebuah negara sangat bergantung kepada pemeliharaan sosioekonomi dan sosiobudaya sesebuah negara.

Lihatlah apa yang terjadi sekiranya perpaduan negara hancur disebabkan kancah peperangan yang berlaku di beberapa buah negara di Asia Barat dan Ukraine.

Penderitaan rakyat akibat peperangan berterusan ini telah merobek keagungan dan kegemilangan harga kemerdekaan yang pada suatu ketika negara-negara tersebut mengecapi kemajuan dan kemakmuran.

Air mata rakyat tidak dapat menebus harga kemerdekaan sekiranya perpaduan sejagat yang telah hancur, tidak dapat dibina kukuh melawan arus gelombang politik yang rakus.

Kita yang menempa kehidupan di negara Malaysia makmur haruslah insaf dengan penderitaan rakyat dan kezaliman peperangan yang meragut kebebasan dan kemerdekaan negara seperti itu.

Perpaduan negara yang bersandarkan kepada kerukunan perlembagaan telah memahat pemeliharaan kedaulatan dan kesejahteraan negara sekalipun pelbagai konflik, kontroversi dan ancaman keselamatan menimbulkan paradoks kebimbangan rakyat terhadap keselamatan negara.

Inilah hasil kebijaksanaan kerajaan mentadbir dan menguruskan negara dangan ikhlas tanpa mempedulikan sentimen-sentimen atau anarki yang boleh manganggu gugat kestabilan politik, ekonomi dan sosial di negara ini.

Strategi memperkukuh perpaduan rakyat menerusi pemerkasaan jenama Masyarakat Madani merupakan suatu kesinambungan daripada penjenamaan dasar-dasar sosial dan perpaduan negara yang diperkenalkan oleh kerajaan Malaysia sebelum ini.

Berbeza dengan slogan-slogan perpaduan sebelum ini, slogan 'Segulai Segalai' yang diangkat oleh Datuk Seri Anwar semasa meraikan hari Gawai di Sarawak baru-baru ini memberi satu mesej yang jelas, iaitu memperlihatkan kesungguhan kerajaan untuk memeterai perpaduan masyarakat majmuk di negara ini dengan semarak simbol kesepaduan masyarakat tanpa mengira kaum dan agama.

Sementara itu pula, konsep Masyarakat Madani menampilkan kesinambungan institusi perpaduan rakyat yang memfokuskan kepada semangat kekitaan tanpa mengira kaum, bangsa dan ideologi politik.

Slogan yang menjadi nadi perpaduan rakyat negara ini boleh diangkat sebagai satu penyatuan usaha masyarakat berbilang kaum dengan memanfaatkan jiwa merdeka dan menghargai harga kemerdekaan yang disanjungi ini.

Dalam erti kata lain, kesinambungan dasar ini memberikan signifikasi bahawa Masyarakat Madani harus memiliki pengisian wadah institusi rakyat yang dinamik, dahagakan anjakan paradigma yang boleh membangunkan sosioekonomi yang lebih baik di masa hadapan.

Pengisian-pengisian inilah menurut Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebagai elemen-elemen yang perlu diterjemahkan dalam konteks sosio budaya masyarakat hari ini dan rentak nadi harapan rakyat untuk merasai semula kehidupan bersepakatan teguh sedia kala.

Masyarakat Madani adalah simbol pemerkasaan perpaduan semua kaum di bawah satu bumbung, iaitu Malaysia yang makmur.

(Masyarakat Madani adalah simbol pemerkasaan perpaduan semua kaum di bawah
satu bumbung, iaitu Malaysia yang makmur / FOTO HIASAN)

Kesamarataan dalam kalangan masyarakat di negara ini bermaksud mendirikan suatu semangat rumpun masyarakat berbilang kaum yang berteraskan kepada semangat rukunegara, persefahaman, menyingkir perbezaan ideologi politik bersama-sama membantu kerajaan mendirikan negara yang teguh dari segi sistem sosial.

Walau bagaimanapun strategi-strategi tersebut seharusnya lebih bersifat komprehensif, anjal mengikut rentak peredaran masa, mudah diterjemahkan ke dalam pemikiran dan tingkah laku rakyat dengan pelaksanaan yang boleh merangsang penyatuan harapan rakyat di negara ini utk menjalinkan rasa keharmonian kaum tanpa prejudis antara satu sama lain.

Dasar sosial negara harus dijadikan suatu indikator untuk mewujudkan masyarakat Madani, berpegang teguh terhadap prinsip rukun negara, semangat patriotik dan kecintaan kepada negara bangsa dan bersama-sama bersatu teguh memperjuangkan nilai kemerdekaan dan pasak semangat patriotik dalam kalangan masyarakat Malaysia sejak bangku persekolahan sehinggalah menempa alam pekerjaan nanti.

Justeru, penubuhan masyarakat Malaysia Madani yang dilaungkan oleh kerajaan hari ini haruslah bersifat kompak, berwibawa, didominasikan oleh seluruh warga masyarakat dari pelbagai pengalaman kepakaran yang boleh menampilkan merit kesempurnaan tugas yang terbaik, berkhidmat untuk rakyat dan negara.

Pada keseluruhannya, pendekatan dan peranan kabinet Datuk Seri Anwar akan menjadi indikator kepada persepsi rakyat terhadap kewibawaan kerajaan baharu yang dipimpini beliau dengan memperkenalkan langkah-langkah bersepadu drastik yang mampu menterjemahkan dasar-dasar negara demi kebaikan rakyat pada keseluruhannya.

Ini juga bererti bahawa dasar-dasar yang bakal diperkenalkan nanti mampu mreredakan suhu politik dan pada masa yang sama mengembalikan kepercayaan dan keyakinan rakyat untuk berganding bahu memulihkan negara hari ini dan masa depan.

Menjelangnya musim kemerdekaan yang kita nanti-nantikan ini, kita mengharapkan negara lebih makmur apabila kerajaan dan rakyat saling memahami berusaha untuk mendirikan Malaysia yang teguh akar umbinya dan matang menghadapi apa juga anarki dengan kebijaksanaan supaya harga kemerdekaan hari ini dapat diwarisi kepada generasi akan datang.

PENULIS, TS. DR. SYED AGIL ALSAGOFF merupakan Pensyarah Kanan Media dan KomunikasiFakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM).

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Media Baharu