fb fb fb fb fb

Menterjemah kerja enteng?

(Sebahagian pelajar yang mengikuti kursus penterjemahan/Foto Universiti Islam Selangor)

SAUDARA PENGARANG

Penterjemah bukanlah karier yang dikenali ramai. Akan tetapi, khidmat mereka amatlah diperlukan apabila adanya keperluan untuk menterjemahkan sesuatu teks daripada bahasa berbeza. Namun, tidak ramai tahu bahawa untuk menterjemah, ada beberapa jenis pengetahuan dan kemahiran perlu dipelajari.

Ramai yang menganggap bahawa kerja menterjemah adalah semudah membelek kamus dan menggantikan padanan dalam bahasa sasaran. Ada juga yang menggunakan Google Translate, kemudian sekadar menyalin dan menampal terjemahan yang diberikan.

Ada juga yang mengambil mudah kerja menterjemah sehinggakan ada yang menggunakan Google Translate untuk menjimatkan kos mengupah penterjemah. Contohnya, untuk menterjemahkan laman web. Kita boleh perhatikan bahawa terjemahan yang dihasilkan oleh Google Translate kebiasaannya menggunakan padanan kata dan struktur ayat yang agak janggal dan tidak sejadi dalam bahasa sasaran.

Ini syarat menjadi penterjemah

Terdapat dua aspek penting perlu dipertimbangkan apabila seseorang itu ingin menjadi penterjemah. Pertama, mereka perlu mempunyai pengetahuan tentang bidang penterjemahan dan kedua, mereka perlu ada kemahiran bahasa dan penulisan.

Pengetahuan dalam bidang penterjemahan merangkumi teori penterjemahan seperti kaedah dan pendekatan dalam terjemahan terutama apabila menterjemahkan teks yang berbeza genre. Selain itu, pengetahuan tentang teks berbeza genre juga sangat penting.

Kemahiran bahasa pula merangkumi aspek tatatabahasa dan penulisan. Kemahiran menulis diperlukan kerana penterjemah perlu tahu mengungkapkan semula maklumat supaya mudah difahami oleh pembaca. Kemahiran menulis perlu digandingkan dengan pengetahuan tatabahasa supaya ayat dapat distrukturkan dengan baik.

Salah tanggapan terhadap penterjemah

Sekadar mengetahui dua bahasa sebenarnya tidak mencukupi untuk menjadi seorang penterjemah. Kerja menterjemah bukanlah semata-mata membaca dan memahami teks tetapi juga memindahkan maklumat yang terkandung dalam teks yang diterjemahkan. Terjemahan ialah proses memahami dan mengungkapkan semula mesej dalam bahasa sasaran.

Kerja memindahkan maklumat ini bukan hanya membelek kamus atau merujuk kamus dalam talian semata-mata demi mencari padanan perkataan yang sesuai. Tidak semua perkataan boleh diterjemahkan berdasarkan konsep padanan satu lawan satu.

Terdapat banyak peringkat yang perlu dilalui bagi menghasilkan sesuatu terjemahan. Bagaimanapun, ramai yang tidak mahu mengupah penterjemah dan ingin dikenakan caj yang rendah jika menggunakan khidmat penterjemah.

Ada juga beranggapan bahawa penterjemah boleh menterjemah semua topik dari segenap bidang asalkan mereka mengetahui banyak bahasa. Kerjanya tidak semudah itu.

Penterjemah bukanlah ensiklopedia bergerak yang mengetahui semua perkara. Penterjemah yang mahir biasanya memfokuskan hanya kepada satu bidang. Jika ada penterjemah yang menterjemahkan teks dari pelbagai bidang, barangkali itu adalah atas faktor minat dan ketekunan mereka.

Banyak rujukan dan pembacaan yang perlu dilakukan sebelum menterjemah. Penterjemah yang beretika perlu membuat rujukan silang jika menterjemahkan teks yang sukar.

Sebenarnya, penterjemah boleh dikategorikan kepada beberapa kategori iaitu penterjemah teks sastera, penterjemah teks teknikal, penterjemah teks iklan, penyarikata dan sebagainya. Mereka ini biasanya mempunyai pengetahuan latar belakang dan kemahiran yang berbeza.

Penterjemah juga tidak boleh menggunakan kaedah dan teknik yang sama apabila menterjemahkan teks yang berbeza genre. Kaedah atau pendekatan ini hanya boleh dipelajari jika seseorang itu mengikuti program pengajian atau kursus berkaitan penterjemahan.

Menterjemahkan teks iklan berbeza daripada menterjemahkan teks sastera. Menterjemahkan novel pula berbeza daripada menterjemahkan puisi atau lagu. Ciri atau elemen yang ada pada teks itulah yang menyebabkan penterjemah perlu memilih kaedah atau pendekatan yang bersesuaian.


(Sebahagian pelajar yang mengikuti kursus penterjemahan/Foto Universiti Islam Selangor)

Cabaran sebagai penterjemah

Apabila menterjemah, biasanya penterjemah akan memfokuskan kepada makna dan gaya. Ada masanya penterjemah terpaksa mengorbankan gaya demi mengekalkan makna asal teks sumber. Keadaan ini biasanya berlaku apabila penterjemah tidak mampu mencari padanan satu lawan satu.

Cabaran yang dihadapi penterjemah berbeza apabila menterjemahkan teks sastera, teks teknikal dan iklan. Ini kerana setiap teks mengandungi elemen berbeza.

Contohnya, apabila menterjemahkan teks sastera, elemen seperti budaya dan bahasa kiasan perlu diberikan perhatian. Menterjemahkan elemen budaya kadangkala agak mencabar kerana tiada padanan yang khusus boleh digantikan dalam teks sasaran.

Berlainan pula keadaannya apabila menterjemahkan teks teknikal yang banyak mengandungi istilah. Ramai penterjemah berada dalam dilema kerana mereka tersepit dalam situasi sama ada untuk meminjam istilah atau menggunakan istilah sedia ada dalam bahasa sasaran. 

Penterjemah juga perlu bijak memilih dan menentukan laras bahasa sesuai apabila menterjemah. Ada masanya penterjemah perlu menggunakan bahasa formal, bahasa kurang formal dan sebagainya bergantung kepada jenis teks dan juga pembaca sasaran. Laras bahasa pula dipengaruhi oleh pemilihan perkataan yang digunakan oleh penterjemah.

Penterjemahan & kejurubahasaan perkara berbeza

Walaupun penterjemahan dan kejurubahasaan (atau interpretasi) berada bawah payung sama iaitu bidang pengajian penterjemahan, namun masyarakat perlu tahu bahawa penterjemahan dan kejurubahasaan adalah berbeza.

Penterjemahan melibatkan kerja menterjemahkan teks bertulis manakala kejurubahasaan pula melibatkan penterjemahan secara lisan. Kedua-duanya memerlukan pengetahuan dan kemahiran berbeza.

Apabila melakukan penterjemahan, penterjemah biasanya mempunyai tempoh tertentu untuk menghasilkan terjemahan. Mereka boleh merujuk bahan dalam talian, teks selari, bertanya kepada yang pakar, menggunakan alat bantuan terjemahan seperti perisian dan lain-lain lagi. 

Berbeza pula dengan jurubahasa yang mempunyai masa yang agak terhad dan perlu mengalih bahasa pada ketika itu juga. Ini termasuklah di persidangan, mesyuarat, majlis dan banyak lagi.

Teknologi membantu penterjemah

Terjemahan berbantukan komputer atau CAT (computer assisted translation) dilihat semakin berkembang pesat dan banyak membantu penterjemah dalam melakukan kerja-kerja menterjemah.

Banyak manfaat yang diperolehi oleh penterjemah apabila adanya perisian komputer. Perisian ini membantu penterjemah, menterjemah dengan lebih pantas dan dapat meningkatkan kualiti terjemahan terutama sekali apabila melibatkan penterjemahan teks dalam kuantiti yang banyak. Antaranya seperti OmegaT, SDL Trados Studio, WordFast Pro, Smartcat, dan lain-lain.

Bagaimanapun, ada juga perkara yang tidak boleh diterjemahkan oleh komputer seperti makna perkataan mengikut konteks, makna kiasan dan makna yang mengandungi elemen emosi terutama sekali dalam teks sastera.

Oleh itu, penterjemah harus tahu memanfaatkan perisian ini ketika menterjemah dan bukannya bergantung sepenuhnya kepada perisian untuk menterjemahkan teks.

Menterjemah memerlukan ilmu teori dan amali. Jika tiada salah satunya, maka banyaklah kesilapan yang akan dilakukan penterjemah. Seumpama belajar memandu, awalnya berpandukan kepada teori yang dipelajari di kelas memandu, namun lama-kelamaan setelah kita mahir memandu, kita tidak lagi mengikuti satu-persatu kemahiran  yang diajar di kelas memandu.

Di Malaysia, terdapat beberapa institusi atau organisasi yang melatih dan membimbing penterjemah. Namun, tidak ramai yang tahu tentang program pengajian dan kursus terjemahan yang ditawarkan.

Antaranya seperti Institut Terjemahan Buku Malaysia (ITBM), Persatuan Penterjemah Malaysia (PPM) dan Universiti Sains Malaysia (USM). Ada juga sesetengah universiti yang menawarkan kursus penterjemahan dalam program pengajian mereka termasuk di Universiti Islam Selangor (UIS) yang menawarkan kursus berkaitan penterjemahan kepada pelajar mereka yang mengikuti Diploma Pengajian Bahasa Inggeris dan Ijazah Sarjana Muda Bahasa Inggeris dengan Komunikasi Korporat.

Jadi, menterjemah bukanlah semudah mengalihkan bahasa dengan menggantikan padanan kata yang tepat semata-mata tetapi menterjemah adalah suatu amanah berat dalam menghubungkan dua bangsa dan negara. Seseorang perlu mempunyai kemahiran dan kualiti tertentu untuk menjadi seorang penterjemah yang baik.

Tugas penterjemah tidak boleh dipandang enteng kerana penterjemah inilah yang banyak membantu membina peradaban atau tamadun manusia seperti kata-kata yang disebut oleh Pushkin.

 “Translators are horses changed at the posthouses of civilization”

PENULIS WAN NOR HAZWANI WAN RAMLI, Pensyarah Program Pengajian Bahasa Inggeris, Jabatan Bahasa Inggeris dan Komunikasi, Fakulti Pengurusan dan Muamalah, Universiti Islam Selangor (UIS).

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Media Baharu