fb fb fb fb fb

Ini senarai pencapaian Kerajaan Perpaduan

(Foto hiasan/FB Anwar Ibrahim)

ULASAN BERITA

Siapa tuduh kerajaan Perpaduan tidak berfungsi? Jangan cakap tanpa bukti… Nanti malukan diri sendiri.

Hakikatnya, proses merangka, mengolah dan merealisasikan dasar-dasar negara demi kesejahteraan rakyat dan negara mengambil masa, bukan semudah A-B-C.

Namun itu tidak bermakna Kerajaan Perpaduan lepas tangan dan tidak peduli. Kerajaan ada pilihan untuk melaksanakan pendekatan populis; tetapi, menolak kerana impaknya tidak akan bertahan lama.

Lebih baik sakit sekarang daripada nanti. Dulu ada yang mengecam. Kini ramai yang terbuka mata. Terbukti kerajaan Perpaduan serius, tekad untuk selesaikan masalah rakyat!

Pelbagai langkah proaktif diambil bagi memastikan kehidupan rakyat berada pada tahap selesa. Jika dulu, rentaknya mungkin agak perlahan. Namun, sekarang, semakin rancak.

Hampir setiap minggu, ada sahaja inisiatif baharu diperkenal. Macam minggu lepas, kira-kira 10 inisiatif diumumkan. Antaranya subsidi RM300.00 tiket penerbangan untuk pelajar IPTA; elaun minimum RM800.00 kepada pelatih industri di pejabat kerajaan dan GLC; Dana RM10 juta untuk golongan tidak berkemampuan yang memerlukan bantuan guaman; serta, peruntukan tambahan RM150 juta untuk menyelenggara kemudahan agensi Kementerian Dalam Negeri.

7-Julai 2023, genap tujuh bulan Kerajaan Perpaduan memerintah. Dalam tempoh itu, sekurang-kurangnya 19 inisiatif dilaksana untuk membantu mengurangkan beban ekonomi rakyat.

Inisiatif kerajaan itu merupakan usaha menyeluruh dan meliputi pelbagai golongan masyarakat, serta memberi fokus kepada aspek pendidikan, kesihatan dan pengangkutan; yang merupakan keperluan asas masyarakat umum.

Menerusi satu video khas siri pertama Kad Laporan Tujuh Bulan Kerajaan Perpaduan, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil, merangkumkan inisiatif berkenaan.

Ia melibatkan pengenalan beberapa inisiatif dan bantuan baharu serta menaikkan kadar bantuan sedia ada. Daripada 19 inisiatif yang telah dilaksanakan, sembilan melibatkan peningkatan kadar bantuan sedia ada.

Inisiatif-inisiatif itu memanfaatkan pelajar, anak muda, golongan berpendapatan rendah, guru Kelas Al-Quran & Fardu Ain (KAFA), penjawat awam, pesara kerajaan dan pekebun.

Ia merangkumi kenaikan elaun sara hidup pelajar tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam, Bantuan Awal Persekolahan dan Bantuan e-Tunai Belia Rahmah.

Malah, Sumbangan Tunai Rahmah diberi sehingga RM2500.00, berbanding RM1,800.00 bagi Bantuan Prihatin Rakyat, sebelum ini.

Pada masa sama, tiga bantuan baharu diperkenal... iaitu Bantuan Khas Aidilfitri sebanyak RM200.00 kepada pesawah, nelayan dan pekebun. Buat pertama kali juga, pesawah mendapat sumbangan tambahan RM250.00 hasil agihan sumbangan syarikat Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) berjumlah RM60 juta.

 
(Foto hiasan/FB Anwar Ibrahim)

Tiga inisiatif penurunan harga atau perkhidmatan PERCUMA kepada rakyat turut dilaksanakan. Antaranya harga internet jalur lebar serendah RM69.00 kepada golongan B40 menerusi Pakej Perpaduan dan rawatan percuma di klinik swasta terpilih.

Selain itu, tiga inisiatif baharu iaitu Menu Rahmah dengan harga makanan siap serendah RM5 dan Jualan Madani dengan diskaun sehingga 30% untuk barangan mentah, serta insurans dan Takaful Rahmah, serendah RM5 sebulan.

Itu baru untuk rakyat.

Dalam Siri Dua pula, Fahmi membentangkan LIMA bukti bahawa Malaysia kini berada di kedudukan yang lebih baik sepanjang pentadbiran Kerajaan Perpaduan.

Antara yang digariskan, ekonomi Malaysia mencatat pertumbuhan lebih baik pada suku pertama tahun ini dengan 5.6% berbanding tempoh sama bagi tahun lepas iaitu 4.8%.

Jumlah pelaburan ke Malaysia pula meningkat kepada RM71.4 bilion bagi suku pertama 2023 berbanding RM44.7 bilion bagi suku pertama 2022.

Manakala, kadar inflasi negara semakin rendah iaitu 3.9% bagi suku pertama dan 3.6% bagi suku kedua tahun ini. Berbanding 3.7% dan 4.2%, masing-masing bagi suku ketiga dan suku keempat pada 2022.

Indeks Kebebasan Akhbar juga bertambah baik dari tangga ke-113 pada tahun lepas ke tangga ke-73 bagi 2023.

Manakala, kedudukan Daya Saing Dunia naik lima anak tangga kepada ke-27 tahun ini berbanding ke-32 pada tahun lepas.

Nah! Bukti dah jelas terpampang.

Menjelang PRU DUN ke-15, bulan depan, para pengundi di enam negeri terlibat, buatlah pilihan yang bijak. Seperti peribahasa "jikalau mengangin, jangan tumpah padinya"; bermaksud ‘berhati-hati apabila memilih, supaya tidak terbuang yang baik’.

Ingat! Undi anda penentu masa depan negara, bangsa dan agama.

Ulasan berita ini disediakan oleh Emmi Noraliza Adnan, Editor Kanan Berita Radio RTM.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Media Baharu