fb fb fb fb fb

Mengangkat kepakaran akademia melalui penyelidikan, persidangan dan penerbitan

(Perbincangan meja buat kalangan ahli akademik di Universiti Islam Selangor, Foto hiasan KUIS)

SAUDARA PENGARANG

Pengajaran dan pembelajaran bukan semata-mata agenda utama sebagai seorang pensyarah atau ahli akademik (akademia). Peranan dan tanggungjawab mereka mempunyai cabang yang lebih luas untuk dilunaskan. 

Bukan sekadar tanggungjawab mendidik mahasiswa dan dokumentasi berkaitan dengannya, malah ahli akademik juga perlu menyumbang kepada komuniti dan negara.

Ahli akademik perlu mengisi ‘bakul’ jawatan yang disandang dengan lima tanggungjawab utama. Pengisian 'bakul' itu meliputi penyelidikan, penulisan dan penerbitan, pembentangan dan persidangan, perundingan serta khidmat komuniti atau CSR.

Malah ada juga sarjana yang menyenaraikan tanggungjawab itu sehingga lebih 10 ‘P’ antaranya sebagai penceramah, pengkomersialan produk atau inovasi, penyelia, penilai, pewasit dan perhubungan industri & jalinan kerjasama.

Penyelidikan sebagai nilai tambah

Penyelidikan merupakan tanggungjawab kedua terpenting seseorang ahli akademik selepas tugasan melaksanakan pengajaran dan pembelajaran. Melalui penyelidikan, nilai tambah kepakaran pensyarah lebih menonjol. 

Ini kerana proses dan penguasaan penyelidikan serta penerokaan aspek-aspek baharu, teori dan kaedah penyelidikan khususnya yang berkait rapat dengan bidang kepakaran seseorang akademia memerlukan ketelitian dan dijalankan secara sistematik serta lebih mendalam.

Secara tidak langsung, penyelidikan juga berupaya memberi nilai tambah, pembaharuan kandungan, bukti dan contoh jelas dalam meningkatkan  kualiti proses pengajaran dan pembelajaran. 

Jaringan penyelidikan

Penyelidikan yang bermutu dan bernilai tinggi kepada masyarakat dan negara memerlukan dana dan pembiayaan besar. 

Keadaan itu memerlukan kumpulan penyelidik yang proaktif untuk mendapatkan geran atau pembiayaan dari institusi-institusi berkepentingan seperti kementerian serta agensi kerajaan berkaitan, institusi kewangan dan perbankan mahupun syarikat korporat dalam industri berkaitan.

Universiti Islam Selangor (UIS) misalnya, melalui Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi (RIMC) telah menerima pelbagai dana dan pembiayaan sekali gus menyokong dan mengamanahkan ahli akademik UIS untuk menjalankan penyelidikan, inovasi dan turut berjaya melahirkan graduan di peringkat sarjana dan doktor falsafah. 

Menerusi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), UIS menerima tiga geran utama iaitu; Fundamental Research Grant Scheme (FRGS),  Konsortium Kecemerlangan Penyelidikan (KPP) dan Malaysia Laboratories For Academia-Business Collaboration (MyLAB). 

Sementara itu di peringkat Kerajaan Negeri Selangor pula, UIS turut diberi kepercayaan untuk menguruskan Geran Penyelidikan Negeri Selangor. Pembiayaan dana juga diterima dari Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), dan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) yang membuka laluan serta mempergiatkan penghasilan penyelidikan, penerbitan, inovasi dan persidangan di UIS. 

Hubungan ahli akademik dengan pihak pembiaya ini secara tidak langsung akan mewujudkan jaringan kerjasama antara pihak-pihak terlibat sebagai pemegang taruh.

Hubungan dua hala itu juga bukan sahaja terhad kepada pembiayaan material semata-mata, bahkan dapat membantu menjayakan sesebuah penyelidikan dalam sudut pandang dan peranan yang berbeza.

Sebagai contoh, kepakaran ahli akademik dalam satu-satu disiplin ilmu mungkin terhad kepada teori dan konsep sahaja. Namun kepakaran atau buah fikiran dari sudut aplikasi, teknikal dan juga pengalaman pengamal industri turut diperlukan agar penyelidikan  yang dijalankan benar-benar bermanfaat dan menyumbang impak besar kepada industri, masyarakat dan negara.

Penyelidikan ahli akademik seharusnya tidak terhenti di peringkat kumpulan dan institusi sahaja, malah perlu dikembangkan dan disebar luas kepada masyarakat umum, khususnya ahli-ahli akademik lain dan pihak-pihak berkepentingan serta berkaitan dengan penyelidikan tersebut. 

Dengan kata lain, dapatan penyelidikan perlu diterjemahkan dan dikongsikan kepada banyak pihak sama ada melalui penulisan, pembentangan, atau melalui produk inovasi yang dapat dimanfaatkan oleh kelompok-kelompok tertentu dalam masyarakat dan negara. 


(Presiden/Naib Canselor Universiti Selangor (UNISEL) Prof Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman
(dua, kiri) antara panel jemputan Forum Perdana Ehwal Islam bertajuk 'Legasi Merdeka'
bersempena Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan
Kibar Jalur Gemilang 2023/Foto hiasan BERNAMA)

Penulisan dan persidangan ilmiah

Penulisan ilmiah merupakan hasil utama daripada penyelidikan yang perlu diketengahkan dalam akademia. Penulisan gaya ilmiah ini sedikit sebanyak melambangkan kepakaran ahli akademik kerana ia adalah penulisan berasaskan bukti atau dapatan penyelidikan yang boleh meyakinkan pembaca.  

Selain itu, artikel ilmiah turut menzahirkan keupayaan ahli akademik dalam penyelidikan dan penulisan melalui gaya penulisan tersendiri. Ini dapat dilihat melalui keupayaan menghasilkan artikel bermutu dengan menggabung jalin aspek teori dan praktikal terhadap dapatan penyelidikan yang turut disokong atau dibahaskan dengan penemuan penyelidik-penyelidik terdahulu.

Selain dibuktikan dengan dapatan kajian, penulisan ilmiah juga memupuk daya fikir yang kritikal dan analitikal dalam menghasilkan artikel bernilai tinggi. 

Sebagai ahli akademik, penulisan ilmiah perlu menjadi sebahagian daripada rutin kerja yang sebati dalam jiwa. Penulisan itu bukan sekadar ingin memenuhi petunjuk prestasi utama (key performance indicator – KPI) individu atau institusi, malah ia perlu dilaksanakan dengan jiwa yang ikhlas agar maklumat dapat difahami dan bermanfaat kepada pembaca.

Lazimnya penyertaan pembentangan hasil penyelidikan dalam seminar atau persidangan di peringkat nasional, antarabangsa atau global turut menjadi agenda utama dalam kalender akademik di semua institusi pengajian tinggi. 

Penganjuran persidangan dan penyertaan sebagai pembentang turut menyumbang merit kepada pensyarah dan universiti. 

Persidangan-persidangan penyelidikan menjadi platform untuk ahli akademik, pemain industri, kerajaan dan penaja persidangan bertukar-tukar idea, menjalin dan mengukuh jaringan strategik penyelidikan yang lebih luas, malah menjadi ruang sinergi pelbagai rundingan persefahaman.

Bagi Fakulti Pengurusan dan Muamalah, Universiti Islam Selangor (UIS) misalnya, penganjuran International Conference on Management and Muamalah (ICoMM) setiap tahun, kini telah memasuki siri ke-10, pada tahun ini.

Persidangan yang bermula sejak tahun 2013 itu telah berjaya menghimpunkan lebih 800 penyertaan sebagai pembentang dan peserta dalam kalangan ahli akademik dan pelajar pasca siswazah dalam dan luar negara. 

Penyertaan dan kerjasama sebelum ini melibatkan beberapa buah universiti luar negara misalnya Fatoni University (Thailand), Universiti Islam Sultan Sharif Ali (Brunei), Sekolah Tinggi Ilmu Ekonomi Sutaatmadja (STIESA) (Indonesia) dan Federal University of Technology, Minna, Niger State (Nigeria).

Penganjurannya juga menerima kerjasama baik dari pelbagai agensi kerajaan dan swasta antaranya Unit Perancang Ekonomi Negeri Selangor, Majlis Agama Islam Krabi (Thailand), Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) dan International Shariah Research Academy for Islamic Finance (ISRA).

ICoMM ke-10 bakal berlangsung pada 6 September 2023 itu nanti akan menampilkan tiga sarjana sebagai Pengucap Utama iaitu Prof. Madya Dr. Baharom Abdul Hamid dari International Centre for Education in Islamic Finance (INCEIF), Prof. Madya Dr. Sharifah Norzehan Syed Yusuf dari Institut Penyelidikan Perakaunan UiTM, Shah Alam dan Dr Md. Rozalafri Johari dari Universiti Islam Selangor (UIS). Persidangan kali ini bertemakan ‘Internalising Sustainability and Mutual Prosperity through Research and Knowledge Sharing’.

Universitas Darussalam Gontor dan Sekolah Tinggi Ilmu Ekonomi Sutaatmadja (STIESA) (Indonesia) turut mengesahkan persetujuan sebagai rakan kerjasama dengan menghantar sekumpulan para akademia masing-masing sebagai pembentang.

Penerbitan ilmiah dan rencana umum media

Penulisan dan persidangan telah selesai, namun proses penerbitan pula menyusul.  Penerbitan Jurnal berindeks, Scopus, ERA, WoS dan lain-lain sudah menjadi penanda aras buat pensyarah universiti terutama bagi universiti bertaraf penyelidikan (Research University).

Malah sering menjadi petunjuk prestasi utama (KPI) kepada kenaikan pangkat pensyarah dan kedudukan universiti di pelbagai peringkat.

Ke semua aspek itu menjadi satu bentuk keterlihatan (visibility) terhadap peranan dan tanggungjawab IPT dan kepakaran para sarjananya. 

Penerbitan ilmiah melalui pelbagai prosiding dan jurnal berindeks ini adalah sebagai usaha dokumentasi hasil penyelidikan yang bakal dirujuk oleh para ahli akademik lain, pelajar pasca siswazah, agensi kerajaan dan pengamal industri berkaitan.

Penerbitan itu juga boleh dirujuk sebagai asas merangka dasar baharu, mempengaruhi rangka kerja dan membentuk hala tuju tertentu pihak-pihak yang berkaitan. 

Selain daripada itu, penulisan umum separa ilmiah juga boleh dihasilkan untuk bacaan orang awam dalam pelbagai peringkat. Masyarakat turut berhak untuk mengetahui apakah sumbangan hasil penyelidikan yang telah dibiayai oleh kerajaan yang sering dilaporkan melalui pembentangan belanjawan tahunan negara.

Begitu juga dengan dana dari pelbagai sektor kerajaan dan swasta. Sumbangan kepakaran universiti melalui ahli akademik wajar ditulis sebagai bacaan umum yang boleh difahami oleh semua peringkat masyarakat.

Penulisan umum separa ilmiah ini juga merupakan satu bentuk kerjasama dalam menyediakan kandungan rencana media kepada portal-portal berita dan akhbar tempatan. Ia merupakan satu pengiktirafan media kepada universiti melalui kepakaran ahli akademik dan sumbangan kepada masyarakat dengan menyediakan kandungan yang berkedibiliti. 

PENULIS RAHMAHTUNNISAH SAILIN, Pensyarah Program Komunikasi (Penyiaran), Fakulti Pengurusan dan Muamalah, Universiti Islam Selangor (UIS) dan DR. NAZIFAH MUSTAFFHA, Pensyarah Program Perakaunan/Penolong Dekan, Fakulti Pengurusan dan Muamalah (UIS).

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Media Baharu