SAUDARA PENGARANG
Islam telah menggariskan etika haiwan yang universal dan komprehensif berdasarkan sunnah Rasulullah SAW. Dalam artikel ini, hadis-hadis berkaitan etika haiwan peliharaan dan ternakan dalam bentuk suruhan dan dan larangan dikumpulkan untuk sama-sama kita hayati. Baginda SAW amat mementingkan pendekatan berlembut (rifq) dan ihsan sesama makhluk.
Sabda Nabi SAW: "Barangsiapa yang tidak mengasihi nescaya dia tidak akan dikasihi" – Riwayat al-Bukhari dan "Kasihanilah siapa yang ada di bumi ini, nescaya kalian dikasihi oleh yang ada di langit" – Riwayat al-Tirmizi.
Interaksi manusia dan haiwan mempunyai nilai spiritual kerana turut menjadi penentu sama ada individu itu mendapat ganjaran pahala dan syurga atau mengakibatkan seseorang mendapat dosa dan dibalasi neraka sepertimana hadis Riwayat al-Bukhari tentang kisah seorang wanita penzina yang diampuni dosanya disebabkan memberi minum seekor anjing.
Suruhan berlembut dan larangan berkasar
Terdapat pelbagai hadis Rasulullah SAW, antaranya ada menyebutkan tentang ganjaran terhadap perbuatan baik dan larangan melakukan, antaranya:
"Para sahabat bertanya: "Wahai Rasulullah, apakah kita akan dapat pahala dengan berbuat baik kepada haiwan?" Baginda SAW menjawab: "Terhadap setiap makhluk bernyawa diberi pahala" – Riwayat al-Bukhari.
“dan Allah SWT akan memberikan ganjaran daripada kelembutan apa yang tidak diberikan ke atas sikap keras dan kasar serta selainnya” – Riwayat Muslim.
“Sesungguhnya unta tersebut telah mengeluh kepadaku bahwa engkau menyakitinya dan membuatnya menjadi letih" – Riwayat Abu Dawud.
“Bertaqwalah kepada Allah terhadap haiwan-haiwan yang bisu ini. Tunggangilah dengan baik dan berilah makan dengan baik” – Riwayat Abu Dawud.
“Pada hari kiamat, orang yang menunggang lembu betina akan diremukkan oleh lembu tersebut seraya berkata; Aku diciptakan bukan untuk ini, tapi aku diciptakan untuk membajak" - Riwayat al-Bukhari.
“Janganlah sewenang-wenangnya dalam bersikap terhadap unta ternaknya ketika memerah susunya" – Riwayat Hanbali.
“Nabi SAW melarang dari membuat wasm (membuat tanda dengan besi panas) di wajah (binatang) dan memukul” – Riwayat al-Tirmizi.
Berdasarkan hadis-hadis di atas, kita dapat memahami bahawa Rasulullah SAW menyuruh umat Islam bertindak dengan beretika terhadap haiwan, memanfaatkan dan mendapatkan manfaat dari haiwan mengikut kesesuaian fitrah, kemampuan fizikal, dengan kaedah yang sesuai serta tidak membuat tanda di tubuh haiwan dengan cara yang menyakitkan.
Suruhan dan larangan
Rasulullah SAW amat mengambil berat aspek keselamatan dan kebersihan tempat tinggal atau tempat rehat haiwan bagi memastikan kesihatan dan keselesaannya sehingga tempat tersebut sesuai untuk didirikan solat berhampirannya. Sabda baginda SAW: “Abu Hurairah berkata; Ya, kalau begitu usaplah hingusnya (kambing), bersihkan kandangnya serta solatlah kalian di samping kandangnya kerana ia merupakan haiwan syurga" – Riwayat Hanbali.
Baginda SAW juga menegah mengurung haiwan tanpa memberinya makanan dan mengurungnya dengan tujuan untuk dijadikan sasaran panah dan dibaling batu.
"Seorang perempuan diseksa kerana seekor kucing yang dikurung hingga mati, maka dari itu dia masuk neraka kerana kucing tersebut, disebabkan dia tidak memberinya makan dan tidak pula memberinya minum ketika mengurungnya, dan tidak pula membiarkannya memakan serangga di bumi". – Riwayat al-Bukhari.
Ibnu Umar berkata, "Siapakah yang melakukan perbuatan ini? Allah telah melaknat orang yang melakukan hal ini. Sungguh, Rasulullah SAW mengutuk orang yang menjadikan makhluk bernyawa sebagai sasaran" - Riwayat Muslim.
Menunaikan hak haiwan dan larangan menafikan hak
Haiwan adalah makhluk Tuhan yang juga mempunyai hak asasi yang perlu dijaga dan ditunaikan. Dalam hadis Baginda SAW ada menyatakan:
"Kami pun bertanya, "Ya Rasulallah, apakah haknya?" baginda menjawab: "Membenihkan jantannya, menternakkan betinanya, memerah susunya, membawanya ke air dan menggunakannya di jalan Allah” - Riwayat Muslim.
Haiwan mempunyai hak untuk hidup dan tidak boleh sewenang-wenangnya dibunuh tanpa sebab yang dibenarkan hukum syarak atau atau membiarkan matinya sia-sia tanpa dimanfaatkan. Haiwan yang dibunuh akan mempersoalkan kembali di hari akhirat nanti. Rasulullah SAW bersabda: “Wahai Tuhanku, sesungguhnya si fulan telah membunuhku dengan sia- sia dan dia tidak membunuhku untuk dimanfaatkan”. – Riwayat al-Nasa’i
Rasulullah SAW juga melarang membakar haiwan sepertimana diperjelaskan dalam sabdanya: “Siapakah yang membakar ini? Kami jawab: Kami. Nabi SAW bersabda: tidak patut menyeksa dengan api kecuali Tuhannya api”. “Hanya seekor semut yang menggigitmu, lalu engkau musnahkan suatu umat yang selalu membaca tasbih” – Riwayat Abu Dawud.
Jaga emosi haiwan dan elak pemisahan
Islam mengiktiraf haiwan juga mempunyai perasaan yang perlu dijaga. Rasulullah SAW telah melarang perbuatan provokasi yang boleh mengganggu emosi seperti mengurung haiwan bagi tujuan sabung ayam dan juga melarang perbuatan melagakan (tahrish) antara satu binatang dengan yang lainnya. “Rasulullah SAW menegah daripada melaga-lagakan antara binatang ternakan” - Riwayat Abu Dawud
Rasulullah SAW juga amat prihati terhadap emosi haiwan dengan melarang umatnya dari memisahkan ibu dan anak haiwan sepertimana dalam hadis yang bermaksud: “Siapakah yang membuatkan burung ini sedih kerana anaknya? Kembalikanlah anak burung ini kepada ibunya” - Riwayat Abu Dawud
Penutup
Berdasarkan hadis-hadis di atas, Islam telah menggariskan etika haiwan yang komprehensif sama ada dari aspek fizikal, mahupun emosi. Malah interaksi manusia dan haiwan juga merupakan suatu bentuk interaksi spiritual. Sabda Baginda SAW: "pada setiap yang mempunyai hati yang basah itu terdapat pahala" – Riwayat al-Bukhari.
Hadis-hadis Baginda SAW begitu seimbang, tidak hanya menyuruh malah turut melarang. Dalam mengendalikan haiwan peliharaan dan ternakan mahupun haiwan jalanan, kita perlu menguruskannya dengan penuh seimbang kerana segala-galanya akan memberikan implikasi bukan sahaja duniawi malah ukhrawi.
Usahlah kerana memperjuangkan hak haiwan, kita menafikan kebenaran dan hak sesama insan, saling berbalah dan menuduh salah tanpa usul periksa. Kita diamanahkan Tuhan sebagai khalifah untuk menguruskan haiwan dengan bijaksana, bukanlah sampai kita berlaga-laga mengalahkan haiwan.
Murnikanlah niat dan tindakan berasaskan sunnah agar tindakan kita akan lebih berhemah dan berhikmah.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.
Dr. Mohd Istajib Mokhtar
Pensyarah Kanan Bidang Sosio-perundangan Islam
Program Sarjana Kelestarian
Fakulti Sains, Universiti Malaya.
E-mel: