SAUDARA PENGARANG
Pelaksanaan Matlamat Pembangunan Lestari atau lebih dikenali sebagai Sustainable Development Goals (SDG) kini berbaki haya tujuh tahun sahaja lagi. Namun, konsep SDG bahkan pembangunan lestari secara amnya masih lagi asing dalam kalangan masyarakat sedangkan agenda ini memerlukan penglibatan menyeluruh secara sistemik bagi memastikan keberkesanannya.
Pembangunan lestari adalah istilah yang mencadangkan agar pembangunan ekonomi, sosial dan alam sekitar dilaksanakan secara seimbang dalam memastikan keperluan masa kini tidak menjejaskan keperluan generasi akan datang.
SDG pula merupakan kerangka pelan tindakan yang dibangunkan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) untuk menyelesaikan isu-isu pembangunan di seluruh dunia dalam tempoh 15 tahun bermula pada tahun 2016 sehingga 2030.
Baru-baru ini negara telah dikejutkan dengan dua insiden pokok tumbang di tengah-tengah bandaraya Kuala Lumpur dalam tempoh seminggu. Insiden ini adalah akibat daripada ribut dan hujan lebat sehingga menyebabkan kematian.
Antara respons daripada masyarakat mencadangkan agar pokok-pokok di kawasan tersebut ditebang kerana kewujudan pokok tidak diperlukan di kawasan pembangunan pesat. Ini menunjukkan pemahaman yang kurang tepat.
Ketiadaan pokok boleh menyebabkan peningkatan suhu yang tinggi selain menggangu kestabilan tanah dan ekosistem. Pokok juga mampu menjadi agen penyerapan karbon. Oleh itu, perancangan bandar memerlukan alternatif yang berinovatif bagi menyelesaikan isu tersebut.
Hal ini menunjukkan keperluan yang sangat tinggi untuk memperkenalkan agenda SDG ke segenap lapisan masyarakat termasuk generasi muda sebagai pelapis inovator masa depan. Pendidikan merupakan platform paling berkesan untuk tujuan ini.
Adalah lebih baik jika ia dapat diarusperdanakan dalam sistem pendidikan negara. Selain itu, intervensi pendidikan harus dirancang ke arah mencapai SDG, bukannya melabelkan program sedia ada sebagai program SDG tanpa perancangan teliti. Kita juga tidak mahu konsep SDG sekadar menjadi konsep retorik tanpa mengetahui hala tuju bagaimana untuk merealisasikan kepenggunaannya.
Bagi memupuk budaya SDG dalam kalangan generasi muda, Fakulti Pengajian Pendidikan, Universiti Putra Malaysia (FPP, UPM) telah bekerjasama dengan Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh, Kementerian Pendidikan Malaysia (BPSBP, KPM) baru-baru ini telah menganjurkan Sustainnovation Workshop.
Mengangkat tema “Inovasi STEM untuk Kelestarian”, Sustainnovation Workshop direka bentuk untuk menyemarakkan budaya inovasi dalam kalangan pelajar dan guru, melahirkan generasi pelapis berdaya inovatif yang menyumbang kepada penyelesaian masalah kelestarian, memberi pendedahan peluang pengkomersilan produk inovasi serta potensi kolaborasi merentas tahap pendidikan dan industri.
Seramai lapan orang pakar daripada pelbagai latar belakang dari UPM terlibat untuk menjayakan bengkel tersebut. Para peserta pula terdiri daripada 225 orang guru dan murid sekolah berasrama penuh dari seluruh Malaysia, dan sekolah rendah dari sekitar Selangor. Bengkel dilaksanakan selama tiga hari dua malam itu dirasmikan oleh Tuan Ab Aziz Mamat, Pengarah BPSBP, KPM.
Melihat kepada kejayaan bengkel tersebut, program Sustainnovation Workshop yang julung kali diadakan pada tahun ini dapat dilaksanakan pada setiap tahun dengan penglibatan kumpulan sasaran lebih besar supaya impak SDG dapat diperluaskan.
Bengkel itu juga diharap menjadi inspirasi kepada pelaksanaan lebih banyak program seumpamanya, khususnya anjuran institusi-insitusi pendidikan negara sebagai persediaan dan pengetahuan berguna untuk generasi muda.
Ia kerana mereka adalah pewaris planet. Sebagai penduduk masa depan, mereka mempunyai pemahaman yang unggul tentang keperluan generasi akan datang berbanding generasi yang lebih tua. Sebagai anak jati teknologi moden, mereka akan dapat melihat isu keperluan tersebut daripada perspektif lebih relevan.
Bagaimanapun, pemahaman terhadap keperluan sahaja tidak memadai. Tujuan utama mengapa SDG perlu diterapkan melalui pendidikan adalah untuk membina kompetensi diri yang mampu berfikir secara kritis dan kreatif dalam menyelesaikan isu kelestarian pada masa akan datang.
PENULIS DR. SHARIFAH INTAN SHARINA SYED ABDULLAH, Pensyarah Kanan Jabatan Pendidikan Sains dan Teknikal, Fakulti Pengajian Pendidikan, UPM. Boleh dihubungi melalui e-mel sharifahintansharina @upm.edu.my.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahupun pendirian rasmi RTM.