fb fb fb fb fb

Menangani sikap antisosial kanak-kanak di taska dan tadika

Foto hiasan

SAUDARA PENGARANG

Sejak akhir-akhir ini terdapat keluhan amat membimbangkan daripada segelintir pengusaha Taman Asuhan Kanak-kanak (Taska) dan Taman Didikan Kanak-kanak (Tadika) berkaitan tingkah laku antisosial kanak-kanak di pusat asuhan mereka; rata-rata mula menunjukkan perubahan agak luar biasa. Namun, situasi ini bukan berbentuk positif terhadap perkembangan kanak-kanak tersebut malahan ia menimbulkan rasa gusar sekiranya tidak dibendung dari awal.

Tingkah laku tidak pandai bergaul dengan kanak-kanak lain dan menunjukkan sikap pentingkan diri sendiri amat ketara dalam kalangan kanak-kanak di Taska dan Tadika. Mereka juga tidak mahu berkongsi permainan dan peralatan dengan rakan, dan tidak pandai menjaga tingkah laku dalam pergaulan.

Jika hendak marah, mereka terus sahaja membaling, memukul dan menggigit tanpa ada rasa belas terhadap rakan. Sikap ini menjadikan mereka sering bergaduh dengan rakan lain dan kadangkala bertindak di luar batas, sekali pun pada usia masih muda. Mereka juga diperhatikan tidak mempunyai kesabaran jika bermain dan bertindak di luar jangkaan seorang kanak-kanak.

Keluhan disuarakan oleh pengusaha Taska dan Tadika ini dilihat remeh tetapi jika ianya tidak dibendung dari awal, berkemungkinan generasi yang akan dilahirkan pada usia muda akan bertingkah laku tidak sebagaimana diharapkan.

Kanak-kanak di taman asuhan juga diperhatikan tidak pandai menguruskan diri walaupun untuk perkara-perkara asas seperti makan, berpakaian, dan menggunakan tandas. Ada yang masih memakai lampin pakai buang walaupun telah berusia 5 atau 6 tahun. Mereka juga tidak tahu menghiburkan diri dengan aktiviti yang dijalankan kerana mereka mungkin terlalu dipengaruhi dengan gajet yang diberikan oleh ibu bapa mereka.

Kanak-kanak ini juga diperhatikan tidak mencapai tingkat kemahiran motor halus mungkin disebabkan oleh permainan terhadap gajet yang terlalu lama. Mereka juga diperhatikan tidak boleh faham kepada arahan dan fokus kepada apa yang diajarkan dan ada dalam kalangan mereka masih tidak boleh bertutur (speech delay) kerana ketika dirumah mereka lebih banyak berinteraksi dengan gajet berbanding berkomunikasi dengan adik beradik.

Ada dalam kalangan kanak-kanak ini tidak dapat memberi respon ketika nama mereka dipanggil kerana berkemungkinan ketika dirumah, mereka hanya dipanggil dengan nama samaran seperti abang, baby, kakak dan adik. Justeru, mereka tidak biasa dengan panggilan nama sebenar. Selain daripada itu, pengasuh di Taska dan Tadika juga mengeluh tentang sikap tidak peka kanak-kanak ini tentang arahan diberikan.

Mereka juga tidak mengenali barang sendiri serta tidak peka terhadap kawan sekeliling. Jika terlanggar atau tersepak barang-barang kawan, tidak tahu apa yang perlu dilakukan dan tiada sikap untuk minta maaf sebaliknya ketawa dan berlalu pergi tanpa merasa bersalah.

Jika mereka mahu marah, guru juga dipukul dan dibaling dan tingkah laku mereka tidak ada rasa simpati dan empati dengan rakan dan sering bertindak diluar kawalan. Cara mereka bermain juga dikatakan lebih kepada membuli, menolak, menyepak dan memukul.

Ini berkemungkinan pengaruh menonton yang diperolehi oleh mereka di media sosial dan pendedahan kepada gejala sebegini menjadikan mereka bertingkah laku ganas tanpa mereka tahu ianya bersalahan dengan peraturan.

Terdapat juga kanak-kanak yang bertingkah laku seperti orang dewasa. Imitasi ini berkemungkinan diperolehi daripada persekitaran keluarga atau pemerhatian mereka terhadap apa yang mereka tonton setiap hari. Ada yang datang pada awal pagi dengan tangisan dan memaki hamun cikgu dengan perkataan tidak sepatutnya.

Mereka juga kadangkala bertindak memukul dan membaling apa sahaja yang mereka pegang tanpa mempedulikan orang lain. Ada dengan bangga menyatakan kepada pengasuh mereka di Taska dan Tadika bahawa apabila dewasa nanti mereka ingin menjadi seperti bapa mereka dengan menghisap vape dan rokok.

Semua ini amat merungsingkan pengasuh-pengasuh di Taska dan Tadika kerana kanak-kanak ini bukan sahaja sukar dibentuk dan ditegur malahan sekiranya dimarahi, pastinya ibu bapa mereka akan datang ke sekolah dan memarahi semula pengasuh-pengasuh tadi.

Melihat akan kegusaran pengasuh-pengasuh di Taska dan Tadika akan tingkah laku yang tidak terkawal ini, ibu bapa seharusnya memandang serius akan hal ini kerana mereka adalah guru pertama kanak-kanak. Anak-anak adalah kain putih yang perlu dicorakkan dengan pelbagai warna agar kanak-kanak itu membesar dengan seimbang dan harmonis sebagaimana diharapkan.

Ibu bapa tidak sepatutnya menyerahkan anak-anak mereka bulat-bulat untuk dididik oleh pengasuh di Taska dan Tadika kerana kanak-kanak menghabiskan masa lebih lama bersama keluarga berbanding tinggal di pusat asuhan. Tadika dan Taska cuma tempat mengukuhkan tingkah laku dan didikan ibu bapa dalam membentuk sahsiah kanak-kanak.

Ibu bapa seharusnya menyokong usaha Tadika dan Taska dalam membentuk perkembangan anak-anak mereka. Sekiranya pihak pengasuh memberikan nasihat dan tunjuk ajar kepada anak-anak mereka, ibu bapa haruslah menerima nasihat tersebut dengan hati terbuka dan berkompromi dengan pusat asuhan dalam mendidik untuk melahirkan generasi beradab dan berpendidikan.

Bagi melahirkan generasi mulia dan beradab, usaha mendidik tidak hanya diberikan kepada pusat asuhan semata-mata sebaliknya ia adalah usaha bersama. Kepada pihak pengusaha Taska dan Tadika, teruskan mendidik dan membentuk generasi beradab dan berpendidikan walaupun cabaran yang dihadapi alaf ini semakin berat.

Sokongan kepada pusat asuhan seperti Taska dan Tadika ini seharusnya berterusan bagi memastikan kanak-kanak ini mewarisi nilai-nilai murni yang tinggi dan menjadi permata yang bakal meneraju negara pada masa akan datang.

PENULIS DR ABD RAZAK ZAKARIA Pengerusi, Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Keluarga Universiti Malaya (UMFRDC). Boleh dihubungi melalui e-mel Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya..

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahupun pendirian rasmi RTM.

MAT YUNUS BIN SABRI