SAUDARA PENGARANG
Memetik mutiara kata penulis terkenal Indonesia, Pramoedya Ananta Toer dalam bukunya Bumi Manusia, “Kalian boleh maju dalam pelajaran, mungkin mencapai deretan gelar kesarjanaan apa saja, tapi tanpa mencintai sastra, kalian tinggal hanya hewan yang pandai” membawa makna mendalam tentang kepentingan sastera.
Diucapkan oleh watak Magda Peters, guru kepada protagonis Bumi Manusia, Minke. Pesannya begitu jelas. Walau berotak pintar sekalipun dengan gelaran sarjana yang berderet, ia tidak bermakna jika tidak mencintai sastera. Lalu, ada apa dengan sastera?
Masalah umum sastera di Malaysia
Sastera bukan sekadar merujuk kepada subjek atau mata pelajaran yang memerlukan para pelajar membaca bahan bacaan tertentu seperti novel, cerpen mahupun puisi di dalam kelas, tetapi sastera perlu disorot dari sudut pandang lebih luas, terutamanya sudut pandang penerimaan sastera oleh masyarakat. Pandangan peribadi penulis melihat perkembangan penerimaan sastera di Malaysia masih lagi tidak mencapai tahap sepatutnya.
Daripada perspektif pensyarah yang mengajar kursus sastera bahasa Inggeris kepada para pelajar di institusi pengajian tinggi, didapati majoriti pelajar tidak kenal dengan pengkarya sastera dan bahan bacaan sastera yang digunakan di dalam kelas. Sastera kelihatannya kurang difahami dan juga sesuatu yang asing kepada pelajar. Apabila ditanya kepada para pelajar tentang novel kesukaan mereka, ia selalunya dijawab dengan sunyi sepi.
Walaupun komponen sastera ada diterapkan dalam silibus bahasa di sekolah rendah dan sekolah menengah, ia terhad kepada sastera dalam bahasa Inggeris sahaja. Pengajaran dan pembelajaran komponen sastera dalam subjek bahasa kelihatan bersifat acuh tak acuh, kerana masa guru lebih difokuskan kepada subjek-subjek lain yang dianggap lebih kritikal. Tidak diketahui juga nasib sastera dalam bahasa Melayu di peringkat sekolah mahupun pun di peringkat pengajian tinggi.
Pengamatan penulis juga melihat penerimaan masyarakat terutamanya golongan muda terhadap sastera tidak memberangsangkan. Ya, Malaysia membaca. Anak muda Malaysia membaca. Tetapi, bahan bacaan yang dipilih untuk dibaca lebih bersifat ringan dan popular (popular media) yang topiknya agak remeh, berkisar cinta dan angan-angan.
Penulis tidak menafikan media popular juga boleh dianggap sastera tetapi sudah sampai masanya golongan muda memilih untuk membaca sastera yang lebih bersifat kritikal dan sastera budaya tinggi (high culture literature).
Selain itu, budaya menghadiri majlis apresiasi, diskusi dan kritikan sastera juga bukanlah sesuatu yang lazim ataupun satu kebiasaan dalam kalangan rakyat negara ini. Ianya dilihat sebagai sesuatu yang hanya berlaku di pinggir laman akademik dan di ceruk dunia sastera. Oleh itu, apabila sastera dibincangkan secara terbuka dalam khalayak umum, ia dilihat sebagai satu yang canggung dan janggal dan selalunya kurang mendapat respon memberangsangkan.
Aktiviti-aktiviti sastera juga seolah-olahnya dilihat sebagai sesuatu yang tidak ada nilai komersial dan tidak menyumbang kepada produktiviti yang boleh meningkatkan taraf ekonomi dan kedudukan sosial. Ibu bapa lebih rela menghantar anak-anak ke kelas-kelas tuisyen, jika tidak pun menyertai kelab-kelab sukan daripada menghadiri aktiviti-aktiviti berkaitan seni dan sastera.
Jika ada pun aktiviti sastera yang dihadiri, ia lebih bersifat persembahan seperti pertandingan deklamasi sajak ataupun pertandingan bercerita.
Realitinya pada masa kini, masyarakat lebih cenderung membaca bahan daripada media sosial yang bersifat santai, dan menonton Youtube atau Tik Tok. Ini merupakan kesan daripada perkembangan teknologi terkini, penggunaan telefon pintar, perisian AI (Artificial Intelligence) yang membolehkan kita tidak perlu lagi memegang dan membaca buku.
Mungkin ada yang akan mengutarakan hujah, ‘kami boleh baca e-book’, tapi satu kajian yang dijalankan di California University of Science and Medicine mendapati membaca melalui telefon pintar memberi impak negatif kepada kesihatan otak dan mengurangkan pemahaman semasa membaca. Oleh itu, bukankah lebih baik kita membaca sesuatu karya sastera itu secara fizikal dan mengurangkan masa membaca di media sosial?
Sastera Pemangkin Masyarakat
Sesebuah hasil karya sastera bukan hanya satu bentuk pendokumentasian ekspresi rasa dan jiwa seseorang pengkarya. Lebih dari itu, hasil karya sastera itu juga adalah refleksi dan perakam zeitgeist (semangat zaman) serta weltanschauung (pandangan hidup) sesebuah bangsa atau negara.
Dari sudut sejarah, tempatan mahupun antarabangsa, penulis-penulis karya sastera adalah antara agen-agen perubahan yang membawa pemikiran baharu dalam kalangan masyarakat. Mereka adalah golongan intelektual yang bukan sahaja mempunyai kemampuan untuk menyampaikan sesuatu mesej dengan cara sangat persuasif, menghiasi mesej tersebut dengan nilai estetika tinggi, tetapi mereka juga mempunyai mata hati yang tajam yang mana mereka mampu untuk melihat kebobrokan dan kecurangan yang berlaku di sekeliling mereka yang perlu kepada keadilan dan pembaharuan.
Contohnya, ketika era pemerintahan ratu Victoria di England, muncul tokoh penulis seperti Charles Dickens (1812-1870) dan Thomas Hardy (1840-1928) yang mengangkat isu ketidakadilan, eksploitasi serta jurang sosial yang membarah disebabkan oleh revolusi industri dan pengembangan empayar yang telah ‘memakmurkan’ Britain pada ketika itu.
Manakala, di Amerika Syarikat, ketika perhambaan manusia masih lagi suatu perkara norma dalam sistem masyarakat, muncul penulis seperti Mark Twain (1835-1910) yang mengetengahkan tema pengertian nilai kemanusiaan dalam novel-novel beliau. Terdapat juga novel seperti Uncle Tom’s Cabin (1852) oleh Harriet Beecher Stowe (1811-1896) yang cuba menyedarkan kepada khalayak tentang realiti ‘gelap’ dunia perhambaan.
Atas kesedaran penulis-penulis ini melalui naratif yang mereka bawakan tentang isu-isu kemanusian dan perhambaan, kini Amerika Syarikat dikenali sebagai ‘land of the free’ dan masyarakatnya mempunyai kesedaran yang tinggi tentang isu-isu ketidakadilan dan ketidakserataan walaupun negara ini dari masa ke masa masih lagi perlu menangani isu-isu sosial terutamanya isu perkauman.
(Foto hiasan)
Di Malaysia pula, sastera telah memainkan peranan yang penting pada era sebelum dan selepas kemerdekaan, sehinggalah ke era pemodenan serta pasca modenisasi, dan membawa ke era teknologi maklumat dan kecerdasan buatan.
Semasa era gerakan kemerdekaan Tanah Melayu, perjuangan untuk mendapatkan kemerdekaan bukan sahaja dibawa oleh pemimpin-pemimpin politik (sama ada kiri mahu pun kanan), tetapi juga dalam kalangan ahli sastera. Penulis-penulis seperti Ishak Haji Muhammad (Pak Sako) dan Ahmad Bakhtiar cuba mengetengahkan dalam karya-karya mereka suatu naratif yang cuba untuk menjadi pemangkin semangat nasionalisme dan antikolonialisme dalam kalangan ahli masyarakat.
Kemudian, semasa era pascakemerdekaan, timbul pula penulis-penulis yang menghidangkan kepada masyarakat naratif yang bertujuan untuk membina dan menguatkan jati diri sebuah bangsa merdeka, serta dalam masa sama; cuba mengingatkan tentang kewujudan imperialisme bentuk baharu yang wujud dalam masyarakat setelah berakhirnya kolonialisme dan pulangnya imperialis barat ke tempat asal mereka.
Penulis-penulis selepas kemerdekaan banyak mengetengahkan isu-isu masyarakat dalam karya-karya mereka, contohnya, Shahnon Ahmad (Sasterawan Negara) yang cuba membawa kesedaran kepada pembacanya tentang kemiskinan yang mencengkam golongan petani di luar bandar yang hidup serba daif seperti dalam novel beliau Ranjau Sepanjang Jalan (1972).
Kemudian, isu perhubungan antara kaum dalam masyarakat majmuk juga menjadi naratif signifikan yang diketengahkan dalam karya seperti Interlok (1971) oleh Abdullah Hussain (Sasterawan Negara). Selain daripada itu, Abdullah Hussain dalam novel beliau Masuk ke Dalam Cahaya (1983) juga ada mengangkat tema tentang bagaimana masyarakat Melayu moden yang hidup dalam dunia materialistik telah kehilangan pedoman dalam kehidupan spiritual mereka dan bagaimana mereka cuba mencari jalan kembali kepada Tuhan.
Dalam era negara ini masuk ke dalam fasa pembangunan dan kemajuan, ramai dalam kalangan masyarakat telah mencapai tahap sosioekonomi yang tinggi. Malangnya, peningkatan tahap sosioekonomi ini juga telah menyumbang kepada keruntuhan moral terutamanya dalam kalangan golongan Melayu-bumiputera kelas menengah dan atasan. Isu ini ada disentuh; contohnya dalam himpunan cerpen (short stories) oleh Karim Raslan bertajuk Heroes and Other Stories (1996).
Kemudian, pada abad mutakhir ini, isu-isu seperti hak asasi manusia, seksisme dan orientasi seksual juga ada disentuh dalam karya-karya penulis tempatan sebagai contoh, novel Profesor (2017) oleh Faisal Tehrani.
Selain daripada karya-karya sastera dalam bahasa Melayu, harus juga disedari bahawa terdapat karya-karya lokal yang ditulis dalam bahasa-bahasa lain terutamanya Bahasa Inggeris. Ianya didominasi oleh penulis-penulis bukan melayu dan penulis berbangsa Melayu yang mendapat pendidikan barat/ Inggeris. Kebanyakan karya-karya yang dihasilkan adalah berkenaan cabaran-cabaran dalam kehidupan, isu masyarakat terpinggir, status identiti bangsa Malaysia itu sendiri serta banyak lagi.
Adalah penting bagi seluruh rakyat Malaysia untuk mengenali bukan sahaja karya-karya tempatan dalam bahasa Melayu tetapi karya dalam bahasa-bahasa lain juga supaya kita lebih mengerti dan memahami psike setiap lapisan rakyat di negara ini. Ini bagi membolehkan kita bergerak kehadapan untuk membina peradaban negara bangsa kita secara kolektif.
Sastera membina peradaban
Perkembangan sastera seantero dunia seiring perkembangan tamadun sesebuah kawasan. Bermula dengan tamadun kuno seperti Babylon, Mesopotamia dan Mesir, sastera mula bertapak dengan penceritaan secara lisan sehingga berkembang kepada bentuk bertulis dan digital seperti yang kita ketahui hari ini.
Sastera memanusiakan manusia. Dalam erti kata lain, sastera membina peradaban manusia, dimulai dengan penceritaan tentang kepercayaan terhadap kuasa kosmik dan supernatural di zaman tamadun kuno. Menyelami perkembangan sastera sebenarnya membawa kita menyelami perkembangan peradaban manusia. Seperti kata pengkritik dan ahli sejarah seni Bernard Berenson, “Literature is the autobiography of humanity”.
Sastera mencakupi ruang lingkup agama, sosio-politik dan budaya. Sastera membincangkan isu seperti percanggahan agama dan pemikiran sekular, norma budaya masyarakat pelbagai zaman dan pertembungan budaya Timur dan Barat. Sastera pascakolonial misalnya merupakan penulisan yang asalnya bersifat reaktif terhadap kuasa imperialisme dan pemikiran barat. Sastera zaman moden di England ketika era Victoria seperti yang dinyatakan sebelum ini pula merupakan refleksi revolusi industri pada ketika itu.
Pelbagai genre sastera wujud untuk bacaan masyarakat. Daripada genre berbentuk realis, sejarah, magic realism, thriller, misteri, bildungsroman sehingga genre seram, fantasi dan fiksyen sains. Banyak pilihan untuk masyarakat untuk memilih bahan sastera berkualiti sebagai bahan bacaan. Banyak juga pilihan karya yang ditulis oleh penulis anak tempatan ataupun penulis dari luar negara.
Sebuah negara bangsa yang bertamadun adalah negara bangsa yang kaya dengan tradisi sastera yang hebat, sama ada karya sastera itu bersifat lisan atau penulisan. Semakin besar dan tinggi hasil karya sastera yang dihasilkan sesebuah negara bangsa maka semakin dipandang tinggi ketamadunan yang telah dicipta.
Lihat sahaja tamadun Greek kuno. Siapa yang tidak kenal dengan ahli falsafah mereka seperti Socrates, Plato dan Aristotle. Sehingga kini hasil karya dan pemikiran mereka masih relevan dan terus diperbincangkan. Di England ketika zaman English Renaissance, semasa era pemerintahan Ratu Elizabeth I, siapa yang tidak mengenali pemuisi dan dramatis hebat seperti William Shakespeare, Christopher Marlowe dan Ben Jonson yang telah membawa revolusi kepada sastera Inggeris itu sendiri.
Sehingga kini, hasil karya mereka masih lagi dibaca, dipentaskan dan ditelaah di sekolah-sekolah serta universiti seluruh dunia. Tidak dilupakan tamadun Islam yang unggul hingga ratusan tahun juga adalah terbina antaranya daripada hasil-hasil karya sastera yang dihasilkan oleh ilmuwan-ilmuwan Islam yang disanjungi dan terkenal di timur mahupun di barat.
Pokok pangkalnya, pilihan untuk membudayakan sastera dan menjadikan sastera sebagai sebahagian daripada cara hidup berbalik kepada pertimbangan ahli masyarakat itu sendiri. Mereka boleh membuat pilihan, sama ada membuat pilihan bijak dengan membaca dan mencintai karya sastera, atau kekal sebagai ‘hewan yang pandai’ tanpa kecintaan terhadap sastera dan kemanusiaan.
PENULIS ZAIRIL AZMIR ZAIYADI DAN SITI HAWA MUHAMAD, pensyarah Bahasa dan Kesusasteraan Inggeris di Jabatan Bahasa Inggeris dan Komunikasi, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS).
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.