ULASAN BERITA
Adakah anda punyai kenalan pencarum KWSP, yang telah cecah usia persaraan 55 tahun, tetapi tidak mahu mengeluarkan simpanan mereka secara penuh? Mereka sebaliknya memilih untuk membuat pengeluaran berkala atau bulanan.
Setiap bulan ada wang masuk, tiap tahun dapat dividen. Lebih untung katanya.
Namun menurut Ketua Pegawai Eksekutif, Kumpulan Wang Simpana Pekerja (KWSP), bilangan pencarum yang berbuat demikian tidak banyak dan mereka melakukannya secara sukarela, tanpa sebarang tekanan mahupun paksaan.
Lantaran itu Rabu lepas, KWSP mencadangkan agar pengeluaran secara berkala atau bulanan dijadikan mandatori sebaik pencarum berusia 55 tahun. Ya! mandatori. Bukan lagi pilihan.
Pembaharuan itu dicadangkan untuk pencarum baharu. Pencarum sedia ada kekal dengan dasar semasa. Boleh keluar penuh atau sebahagian.
Menurut tuan CEO, pengeluaran berkala beri peluang kepada ahli KWSP menguruskan wang persaraan dengan lebih baik. Ia juga memberi mereka peluang untuk terus menikmati dividen tahunan berdasarkan baki simpanan sedia ada.
Semalam, Perdana Menteri komen, katanya kerajaan terbuka dengan cadangan itu. Ia dilihat sebagai salah satu cara memastikan pencarum sentiasa ada wang yang cukup untuk menyara hidup sepanjang tempoh persaraan.
Beliau sendiri selaku Menteri Kewangan, tidak keberatan. Bergantunglah pada keupayaan KWSP katanya.
Bagaimanapun beberapa kekangan perlu diambil kira, termasuk jumlah simpanan yang terlalu kecil dalam kalangan pencarum. Baiklah, itu pandangan KWSP, Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.
Bagaimana pula pandangan ahli ekonomi? Secara kasarnya mereka terbahagi kepada dua kem. Kem A menyifatkan cadangan tersebut sebagai penambahbaikan yang dialu-alukan.
Apa tidaknya? Langkah itu dapat memastikan pencarum mempunyai satu bentuk bayaran berkala setelah bersara.
Ini penting dalam menghadapi cabaran kenaikan kos sara hidup yang dijangka terus meningkat pada masa akan datang.
Menerusi pengeluaran berkala, pesara juga terus menikmati dividen KWSP walaupun dalam jumlah yang berkurangan.
Berbeza dengan pengeluaran penuh, yang secara automatik menggugurkan kelayakan mereka menerima dividen tahunan. Hujah Kem A sememangnya rasional.
Lebih-lebih lagi jika dilihat dari segi disiplin pengurusan kewangan individu. Seperti yang kita sedia maklum, tahap disiplin diri setiap individu adalah berbeza. Ditambah pula dengan ancaman pelbagai sindiket penipuan yang menyasarkan golongan pesara baharu.
Tidak sedikit yang tewas kepada tutur kata penipu yang meyakinkan. Ditambah pula dengan sikap orang kita yang sentiasa berbaik sangka dan mudah percaya.
Berita pesara menjadi mangsa penipuan membabitkan kerugian beratus ribu ringgit bukan lagi sesuatu yang asing. Mereka tidak mungkin menanggung kerugian sebanyak itu jika akses kepada wang persaraan dapat dihadkan.
(Foto hiasan)
Baik, sekarang kita beralih kepada Kem B. Kem B berpandangan, pengeluaran secara berkala atau bulanan sewajarnya dijadikan pilihan, bukannya mandatori.
Menurut mereka cadangan yang diutarakan KWSP lebih kepada penambahbaikan skim pengeluaran sedia ada.
Pengeluaran bulanan boleh dianggap sebagai "wang pencen" untuk menampung kegunaan bulanan pencarum setelah bersara. Namun fleksibiliti untuk mengeluarkan jumlah wang lebih besar boleh membantu memenuhi impian mereka.
Mungkin untuk beli aset atau mengerjakan ibadah di tanah suci. Impian ini agak sukar dicapai jika sekadar bergantung pada pengeluaran bulanan.
Ada juga pencarum yang mungkin perlu melunaskan sepenuhnya hutang dalam jumlah yang besar atau ingin memulakan perniagaan.
Mereka pastinya perlu menyediakan modal perniagaan, termasuk modal kerja yang mencukupi.
Di sini jelas, fokus Kem B lebih terarah kepada penjanaan sumber pendapatan selepas bersara.
Kesimpulannya, sisi pandang kedua-dua kem perlu diambil kira sebelum keputusan akhir dibuat. Mungkin pengeluaran berkala lebih sesuai dijadikan mandatori kepada kelompok tertentu, misalnya yang mempunyai baki simpanan dalam jumlah besar. Pencarum dengan baki rendah pula dikecualikan.
Kami yakin, KWSP pastinya lebih arif dalam menentukan yang terbaik bagi pencarum.
Sementara menanti pengumuman KWSP, apa kata kita letak diri kita di tempat pembuat keputusan. Kita ini menjadi pengkritik memang mudah. Sekali-sekala rasakan pula beban yang ditanggung pembuat keputusan.
Anda cenderung ke arah Kem A atau Kem B? Atau mungkin perlu dibentuk Kem C pula?
PENULIS BAKHTIAR EFFENDY MOHD DOM ialah Editor Kanan Berita Radio RTM.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.