fb fb fb fb fb

Pasca politik baharu mencabar kepimpinan Kerajaan Madani

(Foto BERNAMA)

SAUDARA PENGARANG

Menghitung hari, semboyan Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRU DUN) ke-15 di enam negeri akan berbunyi dan bermulalah gendang politik berdendang.

Sekali lagi pilihan raya kali ini akan memberi nafas baharu kepada kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Biarpun usia pemerintahan beliau sebagai perdana menteri boleh dianggap pada tahap permulaan, tetapi pendekatan politik Anwar telah merubah wajah landskap politik negara ini ke arah era penyatuan rakyat Malaysia secara reformasi kemakmuran dan perpaduan yang lebih tersusun bagi menghadapi gelombang arus masa depan negara yang lebih mencabar.

Penyatuan strategi negara menghadapi kemelut ekonomi negara sebenarnya adalah anugerah buat masa depan politik pemimpin negara ini.

Sebabnya pada ketika inilah usaha penyatuan dan perpaduan rakyat menghadapi gelombang mencabar ini menjadi tanda aras kebijaksanaan pimpinan Anwar untuk membina sebuah wajah Malaysia baharu yang dahulunya tergores dengan pelbagai masalah dan rintangan semasa berlakunya pergolakan politik tanah air.

Pasca politik baharu yang disifatkan memberi gambaran kematangan rakyat memahami dan mengharungi realiti di sebalik kehidupan berisiko yang menuntut keadilan dan pemusatan gaya pengurusan negara yang lebih transparansi, menyanjung etika tadbir urus dan bijaksana melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan.

Bermula dengan idea penyatuan nasional menerusi slogan Malaysia Madani sebagai teras dan kayu ukur pentadbiran beliau, Anwar telah mengorak suatu gagasan permulaan pasca politik Malaysia yang menyatukan semua kaum di bawah panji perpaduan rakyat, sekali gus menjadi saksi kemegahan rakyat membina negara yang ketika ini kalut diselubungi tempias arus kemelut ekonomi yang membelenggu negara dan kegusaran rakyat mengharungi dilema politik yang tidak berkesudahan.

Tidak cukup itu, Anwar memandang serius terhadap kegusaran rakyat terhadap penambahbaikan taraf sosioekonomi dan pendapatan rakyat yang terjejas akibat ketidakstabilan ekonomi negara akibat tempias masalah ekonomi antarabangsa yang melemahkan mata wang ringgit kita.

Bertepatan dengan kesungguhan kerajaan untuk memulihkan kos sara hidup rakyat yang terkesan akibat fenomena kegawatan ekonomi ini, Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar telah mengorak langkah menyatukan kefahaman prinsip politik bipartisan dengan menyatukan parti-parti politik yang bersetuju untuk bernaung di bawah payung demokrasi Kerajaan Perpaduan yang digagaskan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Kesediaan kerajaan pimpinan Anwar untuk meminda perlembagaan Persekutuan yang membuka lembaran baharu yang bakal menyaksikan penggubalan akta-akta baharu dan penambahbaikan akta-akta sedia ada selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ini adalah hadiah demokrasi yang ditunggu-tunggu oleh penggiat politik dan rakyat negara ini supaya amalan keadilan demokrasi dapat dimartabatkan.

Selaras dengan itu juga, pelbagai usaha dan inisiatif kerajaan pimpinan Anwar memperlihatkan penyantuan beliau terhadap kemahuan rakyat dengan mendahulukan keperluan rakyat membina semula nilai kehidupan mereka yang terjejas akibat kehilangan pekerjaan, wabak bencana dan peningkatan kos kehidupan akibat ketidakstabilan ekobomi global.

Contohnya, inisiatif permulaan membantu rakyat memperoleh pekerjaan menerusi pelan strategik telah nampak keberhasilannya apabila lebih 20,000 rakyat memperoleh pekerjaan menerusi MyFutureJobs adalah suatu permulaan terbaik kepada kepimpinan negara untuk mencari penyelesaian kemasukan berjuta buruh asing bagi mengisi pelbagai ruang pekerjaan di negara ini.

Bukan sekadar itu sahaja, kerajaan berusaha menyalurkan pelbagai inisiatif Teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) kepada sektor industri kecil dan sederhana (IKS) bagi meningkatkan keuntungan dan pulangan pelaburan terhadap komitmen mereka memperkasa dan mengembangkan bidang industri tersebut.

Kepimpinan Anwar teruji apabila pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) bipartisan belum mencapai matlamat sepenuhnya.


(Foto BERNAMA)

Pentas PRU DUN ke-15 di enam negeri akan menjadi pertaruhan terhadap keutuhan kerajaan pimpinan beliau dan penerimaan rakyat terhadap dasar-dasar dan penekanan baharu yang diperkenalkan oleh kerajaan beliau bagi menyelesaikan isu-isu kritikal negara seperti pemulihan kos sara hidup rakyat, rasuah dan penyalahgunaan kuasa, pendidikan, penambahbaikan kesihatan rakyat dan sebagainya.

Fokus untuk menggubal akta-akta yang dapat memelihara kemakmuran, keselamatan dan kebebasan bermaklumat dalam kalangan rakyat di negara ini memerlukan penelitian daripada sudut perundangan dan impak kepada pelbagai pihak bukanlah suatu tugas yang mudah untuk dilaksanakan, apatah lagi ia merupakan agenda utama selepas PRU15 dan PRU enam negeri yang bakal mempertaruhkan kewibawaan Anwar untuk terus menerajui kepimpinan negara hari ini dan akan datang.

Permuafakatan politik dengan parti-parti pembentukan Kerajaan Madani pimpinan Anwar dan merupakan suatu agenda yang tidak boleh diperlekehkan. Kepercayaan dan keyakinan semua parti terhadap agenda kepimpinan Anwar sentiasa menjadi agenda "semak dan imbang" dalam kalangan parti-parti politik di bawah pemerintahan Kerajaan Perpaduan ini untuk menguji kebijaksanaan dan keupayaan kabinet pimpinan Anwar mengemudi Malaysia dengan lebih makmur dan berdaya maju.

Asakan dan cabaran dari politik pembangkang juga merupakan faktor cabaran yang mengundang kebijaksanaan Anwar untuk menggalas dua peranan utama, iaitu pemimpin kerajaan dan tokoh negarawan yang sudah pasti akan mendorong Anwar bersikap profesional dan adil apabila membuat keputusan politik terhadap pelbagai kes melibatkan dua peranan ini, ibarat "menarik rambut dalam tepung, rambut jangan putus dan tepung tidak berselerak".

Kepopularitian Anwar sekali lagi teruji apabila strategi meraih pengundi baharu melibatkan remaja berusia 18 tahun ke atas dilaksanakan di pada PRU15 baru-baru ini. Cabaran untuk meraih minat golongan generasi Y dan Z kali ini untuk mengambil bahagian dalam kegiatan politik tanah air bukanlah perkara mudah. Apatah lagi golongan ini sangat dipengaruhi oleh media sosial yang banyak memberi kesan psikologi terhadap pemikiran, tingkah laku dan pembuatan keputusan mereka untuk memilih bakal-bakal pemimpin negara nanti.

Hasil pemerhatian daripada penglibatan golongan ini di PRU15 belum boleh dianggap suatu kejayaan besar apabila masih ramai lagi daripada golongan ini tidak terangsang untuk menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pengundi automatik dalam pilihan raya tersebut.

Langkah komprehensif, drastik tetapi tersusun untuk meraih golongan ini dengan mempersiapkan pengetahuan mereka terhadap asas kenegaraan dan politik Malaysia mengundang pelbagai polemik dalam kalangan penggiat-penggiat politik negara. Ini merupakan suatu langkah berstrategik yang harus diterajui kepimpinan Kerajaan Madani pimpinan Anwar secara bijaksana bagi menyantuni golongan ini.

Penginstitusian ilmu kenegaraan politik tanah air harus dilaksanakan secara sistematik bagi mempersiapkan remaja melunaskan tanggungjawab mereka sebagai pengundi muda yang bijaksana dan pandai membuat pilihan pada pilihan raya akan datang. Pendedahan ilmu kenegaraan dan penstrukturan sistem perlembagaan dan politik negara, sama ada dalam kurikulum formal atau tidak formal harus diangkat menjadi agenda strategik yang adil menerusi perkongsian maklumat secara berterusan supaya golongan ini memahami peranan dan tanggungjawab mereka sebagai pengundi pilihan raya akan datang.

Keengganan kerajaan untuk membenarkan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bukan langkah untuk menafikan permintaan rakyat yang tersempit untuk meneruskan kehidupan mereka di saat mereka terjebak dalam kencah krisis ekonomi, tetapi kesempatan ini harus dimainkan kerajaan untuk mendidik tabungan rakyat pada masa depan dan memberikan peluang meraih kepopularitian Anwar menterjemahkan langkah tersebut untuk memperkasa imej dan reputasinya sebagai pemimpin yang prihatin terhadap kebajikan rakyat.

Menghadapi kancah penurunan mata wang ringgit berbanding dolar Amerika dan menyaksikan ketidakseimbangan sosiopolitik antarabangsa pada masa ini juga memerlukan keputusan bijak kerajaan untuk menyusun strategik yang boleh dimanfaatkan kepada semua golongan rakyat, lebih-lebih lagi negara akan beralih ke era endemik tidak lama lagi setelah lebih tiga tahun bertarung dengan pandemik COVID-19.

Hakikatnya, bukan mudah semua cabaran tersebut dapat digalas bagi menjamin kelestarian Anwar menerajui negara. Penyusunan strategi maklumat dan komunikasi dalam kalangan rakyat masih belum dapat dilaksanakan dengan berkesan lebih-lebih lagi rakyat harus berdepan dengan pelbagai masalah akibat ketidaktentuan sosiopolitik dan ekonomi global yang akan memberikan kesan negatif berpanjangan sekiranya tidak dapat ditangani dengan bijaksana.

Strategi bekalan makanan dan tanaman asas bagi mengatasi krisis makanan global dan kaedah penyusunan harga ternakan dan tanaman juga terus menjadi agenda penting pasca PRU15. Ini akan menyaksikan kebijaksanaan Anwar menerajui permasalahan ini dan mencari kaedah terbaik untuk menyelesaikan masalah ini dengan cekap, adil dan saksama.

Pemeliharaan imej dan reputasi Kerajaan Madani menerusi strategi komunikasi yang tersusun dan berkesan akan membolehkan kerajaan pimpinan Anwar dianggap lebih relevan terhadap situasi politik dan ekonomi tanah air, sekali gus mengembalikan taruhan kepercayaan dan keyakinan rakyat untuk terus melakarkan sokongan padu terhadap Anwar.

Namun apakah pendekatan sebegini akan terus dinikmati oleh rakyat terutamanya pelbagai pihak yang selama ini menyokong kepimpinan Anwar sekiranya pelbagai isu negara terus menjadi taruhan sekiranya pendekatan strategik pemulihan sosiopolitik dan ekonomi negara tidak dapat diselesaikan dengan bijaksana? Inilah cabaran dan dugaan Anwar memacu agenda pemulihan ekonomi Malaysia di mata dunia yang harus dipertaruhkan.

PENULIS TS. DR SYED AGIL ALSAGOFF, Pensyarah Kanan Media dan Komunikasi, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Media Baharu