fb fb fb fb fb

Kos ibadah korban meningkat, laksana ikut kemampuan

(Foto hiasan)

SAUDARA PENGARANG

Ibadah korban adalah amalan yang amat dituntut Islam atas umatnya yang berkemampuan, khususnya daripada segi kewangan. Ia melibatkan kewangan kerana orang yang berniat untuk melakukan ibadah korban perlu membayar harga korban binatang sekurang-kurangnya satu bahagian (untuk lembu, unta dan kerbau) atau seekor kambing.

Harga korban perlu dibayar kepada pihak yang menguruskan ibadah korban oleh mereka yang ingin berkorban meningkat setiap tahun. Pada tahun 2023, seekor lembu berharga kira-kira RM6,000. Pada tahun sebelumnya harga seekor lembu adalah sekitar RM5,500 – RM5,700 berbanding RM5,300 – RM5,600 pada tahun 2021.

Untuk satu bahagian lembu, harga korban pada tahun 2023 adalah RM800 – RM850, dan pada tahun 2022, RM786 – RM 815 berbanding RM758 – RM800 untuk tahun 2021. Pada tahun 2015 pula, kos satu bahagian lembu adalah sebanyak RM600.

Polar peningkatan kos ibadah korban ini amat membimbangkan kerana dalam jangka masa panjang; akan mengakibatkan hanya individu kaya dan berkemampuan sahaja boleh melakukan ibadah korban.

Sedangkan ibadah korban adalah amalan yang amat digalakkan. Akibat daripada kenaikan kos ibadah korban yang semakin meningkat pada setiap tahun, sudah apa pihak menawarkan skim pinjaman kepada mereka yang ingin melakukan ibadah korban sedangkan mereka tidak mampu daripada segi kewangan.

Kesannya; pengurus-pengurus ibadah korban menawarkan pelbagai pakej ibadah korban di negara-negara luar dengan harga lebih murah. Sebagai contoh antara pakej ibadah korban di negara luar adalah antara RM300 – RM400 pada tahun ini dan pada 2022, RM350 untuk satu bahagian.

Bagi membantu mereka yang ingin mengerjakan ibadah korban, pihak-pihak pengurusan ibadah korban seperti masjid, surau serta badan bukan kerajaan, menawarkan skim simpanan empat (4) hingga lima (5) bulan sebelum tarikh ibadah korban.

Memahami ibadah korban

Ibadah korban merujuk kepada binatang ternakan tertentu yang disembelih pada Hari Raya Haji dan tiga (3) hari tasyri’ iaitu 11, 12 dan 13 Zulhijjah. Upacara penyembelihan tersebut menjadi ibadah apabila ianya dilakukan atas tuntutan Allah SWT sesuai dengan Sunnah Nabi Ibrahim AS. Firman Allah SWT dalam surah As-Saaffat, ayat ke 102 yang bermaksud:

“(Ibrahim berkata) wahai anakku, sesungguhnya aku telah melihat dalam mimpi bahawa aku menyembelih kamu, maka telitikanlah apa pandangan kamu. (Ismail berkata) wahai bapaku, lakukanlah apa yang telah diperintahkan kepadamu. Nescaya kamu akan mendapati bahawa aku ini – Insya-Allah – tergolong daripada kalangan mereka yang sabar.”

Begitu juga dalam sebuah hadis Nabi S.A.W bersabda yang mafhumnya:

“Aku diperintahkan dengan menyembelih korban itu dan ia adalah sunat ke atas kamu”. (Hadis Riwayat Tirmidzi).

Ibadah korban tersebut dilakukakan ketika umat Islam menyambut Hari Raya Aidiladha. Dalil menunjukkan bahawa ibadah korban antara aktiviti yang diiktiraf dalam Islam, seperti firman Allah SWT dalam surah Al-Kauthar: 2; bermaksud:-

“Maka kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata dan sembelihlah korban sebagai bersyukur”.

Melakukan ibadah korban merupakan sesuatu yang amat dituntut bagi umat Islam berkemampuan daripada segi kewangan. Namun bagi mereka berkemampuan tetapi memilih untuk tidak melakukannya adalah makruh. Bagaimanapun jika seseorang itu tidak melakukannya tanpa sebarang keuzuran adalah tidak berdosa. Sebaliknya, jika ada amaran kepada mereka yang berkemampuan tetapi tidak melakukan ibadah korban seperti hadis daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu katanya, sabda Nabi SAW: Maksudnya:- 

“Barangsiapa yang ada kemampuan untuk berkorban tetapi tidak melakukannya, janganlah dia hadir bersama kami di tempat sembahyang kami”

Harga Ibadah Korban

Harga ibadah korban adalah kos korban yang perlu dibayar kepada pengurus program ibadah korban. Sekiranya individu tersebut berniat untuk melakukan korban, boleh memilih untuk korban seekor lembu atau seekor kambing atau seekor unta. Untuk lembu individu juga boleh memilih untuk korban 1 bahagian daripada 7 bahagian seekor lembu. Kebiasannya pengurus ibadah korban akan menetapkan kos 1 bahagian/seekor termasuk kos pengurusan. Namun terdapat juga pengurus ibadah korban tidak mengenakan caj pengurusan.

Menurut data daripada beberapa penternak lembu seperti Rimbayu Agro, Antara Gapi Agro, Gombak Agro 2, Sungai Merab Agro, berikut merupakan harga korban untuk seekor lembu:-

Tahun

Harga (RM)
Seekor lembu

Harga (RM)
Sebahagian lembu

2023

6,000

800 - 850

2022      

5,500 – 5,700

785 - 814

2021      

5,300 – 5,600

757 - 800

2020      

4,800 – 5,000     

685 - 714

2019      

4,550

650

2018      

4,550

650

2017      

4,500

642

2016

-

-

2015      

4,200

600

Berdasarkan data di atas, secara purata harga seekor lembu meningkat sebanyak 1 – 12 % setahun. Kenaikan paling tinggi adalah pada tahun 2020 ke 2021 iaitu 12% dan paling rendah 1%; tahun 2015 ke 2017. Harga lembu ditetapkan oleh penternak lembu mengikut gred lembu. Untuk seekor lembu, kos terlibat termasuk dedak, serami padi kering, rumput hijau, ubat-ubatan dan kos elektrik serta air.


(Penduduk Kampung Mata Kuching, Melaka melapah daging korban pada Program Korban

Berkelompok anjuran Surau At Taqwa pada 1 Julai 2023/Foto hiasan BERNAMA)

Punca kenaikan kos

Rata-rata penternak lembu menyalahkan kenaikan harga lembu kepada peningkatan kos makanan lembu terutamanya dedak. Ada benarnya kerana menurut Pengarah Urusan Fatimah MZ Agro Farm Sdn Bhd, En. Zainol Abidin Mohamad, kenaikan kos dedak sebanyak RM27 seguni pada tahun 2021 kepada RM40 seguni pada tahun 2022 (meningkat 48%) sedikit sebanyak memaksa penternak lembu meningkatkan harga seekor lembu sebanyak RM500 seekor.

Peningkatan kos makanan lembu ini ada kaitannya dengan kejatuhan nilai Ringgit Malaysia. Berikut statistik purata kadar matawang Ringgit Malaysia kepada Amerika Dolar:-

TAHUN

KADAR MATAWANG

2022

4.3998

2021

4.1444

2020

4.2015

2019

4.1418

2018

4.0363

2017

4.2992

2016

4.1433

2015

3.9043

Statistik purata kadar matawang Ringgit Malaysia kepada Dolar Amerika menunjukkan polar menurun dan selari dengan kenaikan harga lembu seperti di atas. Apabila kadar matawang Ringgit Malaysia jatuh berbanding dengan Dolar Amerika, harga barang import dari Amerika Syarikat menjadi lebih mahal termasuk harga import jagung dan kacang soya.

Selain peningkatan kos import jagung dan kacang soya, permintaan tinggi terhadap lembu sempena sambutan Hari Raya Korban juga menyumbang kepada kenaikan harga lembu. Pengarah Urusan Sumobek Sdn Bhd, Mohd Nasir Samat, berkata pihaknya terpaksa menaikkan kadar lembu korban kerana permintaan yang tinggi berbanding dengan stok yang ada.

Secara keseluruhan, berdasarkan kajian-kajian lepas serta maklumat daripada penternak lembu, dapat disimpulkan bahawa antara faktor kenaikan harga lembu adalah disebabkan peningkatan harga makanan lembu terutamanya dedak. Antara bahan asas dalam pengeluaran dedak ialah jagung dan kacang soya dan kedua-dua bijirin itu kebiasaannya diimport dari Amerika Syarikat.

Kenaikan harga barang-barang import adalah disebabkan beberapa faktor seperti kejatuhan nilai matawang Ringgit Malaysia dan kenaikan kos jagung dan kacang soya di Amerika Syarikat. Dalam konteks harga ibadah korban, selain daripada permintaan yang tinggi, peningkatan kos dedak memaksa penternak lembu meningkatkan harga lembu dalam pasaran. Maka harga ibadah korban akan turut meningkat dan kesannya dirasai oleh individu tidak berkemampuan.

Senario ini boleh ditangani dengan mengawal kejatuhan nilai Ringgit Malaysia berbanding dengan Dolar Amerika. Pada masa sama, kebergantungan kepada import jagung dan kacang soya juga perlu dikurangkan manakala sumber protein lain untuk makanan lembu boleh digalakkan seperti bahan daripada kelapa sawit antaranya formulasi diperkenalkan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).

Formulasi MPOB mengandungi lebih 80 peratus bahan berasaskan sawit iaitu dedak isirung sawit (PKC), tandan buah kosong (EFB) dan minyak sawit mentah (MSM). Bagi menangani masalah permintaan yang tinggi, usaha bagi membanyakkan penternak-penternak lembu perlu juga harus dipergiatkan.

PENULIS AHMAD YANI ISMAIL ialah Pensyarah/Penyelidik di Fakulti Pengurusan dan Muamalah Universiti Islam Selangor.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Media Baharu